Total Pageviews

Jepun - Day 7


Selasa - 30.04.2015

Trip Dalam Hati Ada Taman : Kintai-kyo Bridge, Miyajima, Floating Tori Gate, Hiroshima


Hari ke 7. Makin liat nak bangun pagi untuk teruskan pengembaraan hari ini. Mungkin sebab keletihan dan tak cukup tido. Namun apakan daya, kena gagahi juga untuk bangkit daripada tido.

Hari ni bangun agak lewat sedikit daripada jadual asal. Bangun dan terus bersiap sedia untuk aktiviti hari ke tujuh pulak. Breakfast cuma minum milo panas. Dah tak larat nak makan roti dan biskut yang masih berbaki. 

View pagi ini daripada jendela kamar

Pengembaraan hari ini aku akan ke Hiroshima dan untuk ke sana aku akan ambil Shinkansen dari Shin-Osaka Station. 

Selesai semua terus gerak daripada hotel menuju ke Tanimachi9-chome Station. Aku ambik Osaka City Subway Tanimachi Line dari Tanimachi9-chome Station ke Higashiumeda Station dengan tambang 240 yen seorang. 

Lepas tu jalan kaki ke Osaka Station. Sampai di Osaka Station ambil subway JR Kyoto Line Local ke Shin-Osaka Station pulak dengan tambang 160 yen seorang.

Budaya membaca di Jepun

Sampai je di Shin-Osaka Station terus pegi ke kaunter untuk reserved seat shinkasen ke Hiroshima. Setelah selesai apa yang patut, tengok ada masa lagi sebelum train sampai dan memandangkan tadi hanya minum milo dan masih belum bersarapan lagi, so aku terus cari convenient store dalam station tu. Cari apa-apa yang boleh dimakan untuk alas perut.

Cari origini, sushi roll dan salad. Origini dan sushi roll ni ada bermacam-macam isinya. Kena cari yang seafood. Kalau sushi roll tu boleh nampak isinya. So kita boleh kenalpasti samaada itu seafood atau bukan. Tapi kalau origini isinya kat dalam memang tak boleh nak tengok dan semua tulisan adalah dalam tulisan Jepun. Maka orang rumah aku tanya kat pekerja situ. Key word nya adalah 'shifudo?' Kalau bukan, so tak boleh lah ambil. Kalau ye tu baru betul. So boleh lah ambil. Senang gitu kan.


Selesai sesi membeli makanan, aku terus gerak ke platform. Kali ni aku akan naik train Shinkansen Hikari untuk ke Hiroshima pukul 8.14 pagi dan dijangka akan tiba di Hiroshima pukul 10.00 pagi. 




Bila train dah sampai, terus naik. Perut dah lapar so apa lagi, makanlah dulu. Makan sambil layan view. Memang sedap makanan yang aku beli tadi tu. Original dari Jepun lah katakan.

Banyak juga aku beli tadi. Sekali stok untuk makan tengahari kat Hiroshima. Takut takde masa nak mencari benda makan kat sana nanti.

Sedap wei rasanya

Ni pun layan

Selesai makan, perut pun dah kenyang berisi, mata pun apa lagi mulalah mengantuk. So tido je lah aku sepanjang perjalanan. Maklumlah tak cukup tido. Memang pantang duduk dalam train. Terus terlelap.

Pegawai akan check reserved seat ticket.

Ada sediakan plug untuk cas apa saje gajet

Perjalanan mengambil masa 1 jam 45 minit. Tepat pukul 10.00 pagi sampai di Hiroshima Station. Begitulah ketepatan masa public transport di Jepun. Senang nak merancang aktiviti dan perjalanan.


Destinasi pertama aku hari ni di Hiroshima ialah ke Kintai-kyo Bridge. Sampai di Hiroshima Station aku ambil train JR Sanyo Line dan berhenti di Iwakuni Station. Untuk ke Kintai-kyo Bridge ada dua cara. Samaada menaiki train atau bas. Pilihan di tangan anda. 

Mula-mula aku plan nak naik train. Tapi bila dah sampai di Iwakuni Station, tengok next train ke Kintaikyo Bridge lambat lagi. Memandangkan takut kesuntukkan masa nak cover attraction lain kat Hiroshima ni, wife aku ajak tengok jadual bas pulak. 

Station bas sebelah je dengan train station. Keluar daripada train station jalan sikit terus jumpa bas station. Tanya kat pekerja yang jaga kaunter tiket bas ke Kintaikyo. Bas gerak lebih awal. So kitorang decided ambil bas ke Kintaikyo Bridge. Terus beli tiket. Boleh beli tiket return terus. Tambang 250 yen seorang sehala. Tapi aku beli one way je dulu. Sebab nak tengok train lebih awal gerak dulu atau bas. 

Jadual bas

Sementara tunggu bas, hujan pun dah mulai turun maka wife aku terpaksalah pegi beli payung di supermarket bersebelahan dengan station bas. Cari harga paling murah tapi yang dia suka. Payung transparent yang memang dah lama dia nak dengan harga 500 yen.

Bas sampai terus naik dan gerak ke Kintaikyo Bridge. Oh lupa nak bagitau. Kalau naik train dari Iwakuni Station kena berenti di Yamaguchi Station. Kalau naik train covered by JR. So tak perlu nak keluar duit. Sebab kesuntukkan masa terpaksa lah melabur sikit bayar tambang bas.

Bas ke Kintaikyo Bridge

Tiket bas

Perjalanan menaiki bas mengambil masa 20 minit. Kena berhenti di Kintaikyo Bus Stop. Dalam bas ada skrin dalam tulisan Jepun dan English. 

Bas betul-betul berhenti di hadapan Kintaikyo Bridge. Lebih senang daripada naik train. Kalau naik train kena jalan kaki lebih kurang 20 minit untuk sampai ke Kintaikyo Bridge ni daripada Yamaguchi Station.



Kintai-kyo Bridge merupakan mercu tanda terkenal di Iwakuni dan sangat dikagumi sejak beratus tahun dahulu kerana diperbuat daripada kayu tanpa menggunakan sebarang paku. Direka berbentuk lima buah gerbang dengan beralaskan tiang batu yang besar merentasi Sungai Nishiki.


Jambatan ini dibina bagi mengantikan jambatan yang sebelum ini musnah akibat daripada arus deras. Pembinaan ini telah ditugaskan kepada Kikkawa Hiroyoshi dan telah siap dibina pada tahun 1673.  


Jambatan ini telah diubahsuai semula untuk pertama kali sejak ia dibina semula dan telah siap pada tahun 2004. Kos pengubahsuaian telah menelan belanja lebih 2 billion yen. Oleh itu, bayaran akan dikenakan sebanyak 300 yen kepada pengunjung yang ingin melalui jambatan tersebut untuk ke seberang.


Di seberang Kintai-kyo Bridge ada Kikko Park. Lepas menyeberang jambatan ni akan nampak Statue Kikkawa Hiroyoshi iaitu tuan ketiga Iwakuni yang ditugaskan membina jambatan ini. Selain terdapat taman yang luas di sini, ada juga terdapat beberapa muzium dan kediaman golongan samurai ketika Zaman Edo boleh dilawati.


Gunung Shiroyama

Daripada Kintai-kyo Bridge boleh nampak Gunung Shiroyama. Di atas gunung tu ada sebuah istana yang dikenali sebagai Iwakuni Castle yang dibina pada tahun 1608 iaitu pada awal tempoh Zaman Edo.

Di dalam istana tu ada dipamerkan pedang samurai, perisai dan sejarah istana. Turut dipamerkan Kintai-kyo Bridge dan jambatan-jambatan lain yang terkenal di seluruh Jepun.


Bangunan atas tu Iwakuni Castle

Untuk ke Iwakuni Castle boleh lah naik ropeway. Harga 550 yen untuk round trip. Bayaran masuk ke castle pulak 260 yen seorang. Bagi pengunjung yang nak pegi semua ni lebih baik ambik combination tiket dengan harga 940 yen. Tiket ni cover castle, ropeway dan bridge sekali. Lebih menjimatkan.


Aku tak pegi pun seberang sana. Cuma ambik gambar jambatan dan turun jalan-jalan sekitar bawah kawasan sungai ni je sebab tak cukup masa. Aku nak kejar ke attraction lain pulak lepas ni.

Puas ambik gambar, aku terus gerak ke bus stop tadi nak ambik bas untuk ke destinasi seterusnya. Bas balik ke Iwakuni Station memang banyak. Tak perlu nak tunggu lama sangat. Beli tiket, bas dah sampai terus naik bas dan gerak ke Iwakuni Station.


Destinasi kedua hari ni ke Floating Tori Gate di Miyajima. Dari Kintai-kyo Bridge ambil bas ke Iwakuni Station. Lepas tu naik train ke Miyajimaguchi Station. Kemudian kena ambik feri ke Miyajima. 

Dari Miyajimaguchi Station kena jalan kaki ke Jeti. Lalu underground passage untuk ke Jeti. Terdapat dua perkhidmatan feri disediakan. Satu under JR dan yang satu lagi under company lain. Memandangkan aku ada JR Pass, maka JR menjadi pilihan sebab tak perlu nak keluar duit untuk bayar tambang.


Ikut anak panah ini


JR Jeti

Tak lama tunggu feri nak ke Miyajima ni. Feri sampai terus naik. Aku tak duduk dalam pun. Lepak kat luar sebab nak tengok dan ambik gambar view luar. Memang cantik tapi sejuk.



Jarak tak jauh sangat. Dalam lebih kurang 15 minit dah sampai. Sampai terus keluar daripada Jeti akan nampak banyak kedai-kedai. 


Kena jalan kaki. Jalan dalam keadaan santai dan relaks. Sambil jalan nanti akan nampak banyak rusa berkeliaran. Rusa-rusa ni memang dibiar berkeliaran di sekitar ni dan jinak belaka. Di sini tidak seperti di Nara, pengunjung tidak dibenarkan memberi makanan pada rusa-rusa ni sebab dikhuatiri akan menyebabkan rusa ni sakit.



Rasa seronok tengok rusa-rusa ni. Ada jugak nampak rusa yang pergi ke kedai makan minta makanan. Kemudian tuan kedai akan beri rusa ni makanan. Nampak menarik senario tu. Di Jepun, rusa dianggap sebagai haiwan suci pada masyarat mereka. Sebab tu dibiarkan rusa-rusa ni berkeliaran.

Kalau berani boleh pegang dan usap-usap bulunya. Bulu rusa ni agak kasar jugak rasanya.



Teruskan lagi perjalanan menghala ke Tori Gate dengan melalui deretan kedai. Bermacam-macam kedai makan dan cenderahati ada di sini. Semua nampak menarik.

Masa jalan tu sampai kat satu gerai ni ada jual oyster. Di Miyajima ni memang terkenal dengan oyster segar. Wife aku nak cuba rasa. Kitorang berhenti di gerai tu. Order oyster grill. Harga 400 yen untuk satu set. Satu set ada dua. Sorang satu. Cuma nak rasa je.


Letak kicap sikit. Memang sedap wei!!

Lepas makan teruskan lagi perjalanan sambil cuci mata. Ikut hati nak cuba semua makanan yang ada. Menarik. Mana yang yakin boleh dimakanlah. Teruskan perjalanan lagi dan lagi hinggalah sampai di lokasi yang ditujui.

Miyajima ni adalah sebuah pulau kecil. Terkenal dengan 'Floating Tori Gate'. Sebenarnya bukan terapung pun. Bila air pasang nampak seperti terapung. Bila air surut nampak tori gate tu di atas daratan. Tapi view kalau air pasang memang cantik. 


Tapi malang, masa aku sampai sini air tengah surut. Nampak daratan. Kalau air surut, kita boleh jalan sampai ke Tori Gate tu.



Nama rasmi ialah Itsukushima tapi pulau ni biasa dipanggil sebagai Miyajima yang bermaksud 'kuil pulau'. Ini kerana pulau ni dikait rapat dengan kuil utama iaitu Itsukushima Shrine. Shrine ni turut dibina di atas air.


Ada yang kata Miyajima ni antara tempat yang romantik. Mungkin sebab di waktu malam kawasan ni sangat aman dan sunyi. Ada penginapan ryokan di sini untuk sesiapa yang nak stay overnight.


Aku jalan sampai Itsukushima Shrine je. Shrine tu pun aku tak masuk sebab kena bayar. Tiket masuk berharga 300 yen. Malas nak keluar duit. Ala, kuil je pun. Lebih kurang je rasanya dengan kuil-kuil lain.


Aku terus gerak jalan menghala ke Jeti. Nak teruskan ke destinasi lain pulak lepas ni. Sesiapa ada masa boleh pergi ke puncak Mt. Misen. 

Untuk pergi ke Mt. Misen ni, kena ambik ropeway. Ropeway station lebih kurang 10 minit jalan kaki dari Itsukushima Shrine. Kalau dari Jeti lebih kurang 20 minit. Naik ropeway ke atas ambik masa lagi lebih kurang 20 minit untuk sampai ke stesen atas. Dari stesen atas nak ke Shishi-iwa Observatory kena jalan kaki lagi dalam 30 minit. Hari dah petang mana nak sempat pegi. Sebab tu aku tak masukkan pun dalam itinerary.

Jalan kaki ke Miyajima Feri Jeti akan melalui deretan kedai lagi. Kalau tadi masa datang daripada belah lain, kali ni balik aku lalu belah lain pulak.


Masa jalan-jalan tu jumpa macam-macam makanan menarik. Ada satu kedai ni jual kuih macam ala-ala baulu tapi berperisa dan berbentuk daun. Cantik. Wife aku try. Dia kata sedap. So kitorang beli perisa cheese 2 kotak untuk bawak balik. Harga 300 yen sekotak.

Lepas tu sambung jalan lagi. Ternampak pulak orang ramai beratur beli macam ala-ala baulu tu tadi tapi ni yang goreng. Kitorang cuba juga beli satu untuk rasa. Beli perisa cheese jugak. Harga 180 yen satu. Pun sedap jugak.



Lepas settle makan terus gerak ke Jeti. Kalau layan makin lambat pulak nanti. Sampai Jeti nasib baik tak tunggu feri lama sangat. Feri sampai terus naik.



Sampai di Jeti terus gerak ke Miyajimaguchi Station ambik train Sanyo-Line ke Hiroshima Station. Destinasi aku seterusnya ialah Hiroshima Atomic Bom Dome. 


Sampai di Hiroshima Station terus ambik Tram nak ke Genbaku Dome-mae Station dengan tambang 150 yen. Perjalanan mengambil masa 15 minit je. 


Dari Genbaku Dome-mae Station melintas, jalan terus sikit dah boleh nampak A-Bomb Dome. A-Bomb Dome ni adalah bekas Bangunan Hiroshima Prefectural Commercial Exhibition Hall. Bangunan ni merupakan salah satu bangunan yang masih kekal berdiri sehingga hari ni kesan akibat daripada letupan bom. 



Bangunan ni biasa digunakan untuk art exhibition dan cultural event. Sewaktu kejadian hanya sebahagian daripada struktur bangunan ini sahaja yang masih selamat. Kawasan sekitarnya hancur seperti padang jarak padang terkukur.



Pada 6 Ogos 1945, jam 8.15 pagi, sewaktu Perang Dunia ke-2, pihak tentera Amerika telah mengugurkan bom atom ke atas bandar Hiroshima dan telah menghancurkan kawasan sekitarnya dengan keluasan jarak 2km. Dianggarkan kira-kira 70,000 orang telah terbunuh serta merta dan dianggarkan seramai 200,000 orang telah mati sehingga tahun 1950 akibat penyakit barah serta kesan jangka panjang daripada letupan itu. 



Jalan depan sikit akan jumpa satu bangunan seperti menara yang dikenali sebagai Memorial Tower To The Mobilized Students. Menara ini dibina untuk memperingati pelajar-pelajar yang telah terkorban semasa zaman Perang Dunia ke-2 dan juga terkorban akibat tragedi bom atom tersebut.


Lepas meninjau-nijau A-Bomb Dome dan Memorial Tower To The Mobilized Studentsaku pegi ke seberang sana pulak. Ikut laluan jambatan. 



Akan nampak Children's Peace Monument di situ. Monument ini dibina bagi mengenang Sadako Sasaki dan ribuan kanak-kanak yang meninggal kesan akibat serangan bom atom.

Sadako mati kerana penyakit leukemia kesan daripada serangan bom atom yang digugurkan dan diabadikan dengan sebuah patung yang diletakkan di atas puncak monument tersebut. 


Ada banyak origami berbentuk burung di sekeliling monument. Mengikut tradisi dan kepercayaan masyarakat Jepun, sesiapa yang berjaya membuat seribu origami maka hajatnya akan dimakbulkan. Origami burung tu melambangkan bahawa kanak-kanak yang membuatnya inginkan dunia bebas daripada perang nuklear dan hidup dalam aman dan damai.



Jalan ke depan lagi akan nampak Cenotaph for The A-Bomb Victims atau Tugu Peringatan Mangsa Bom Atom. Tugu Peringatan yang menyerupai makam melengkung ini dibina bagi memperingati mereka yang mati kerana bom sama ada kerana letupan awal atau akibat pendedahan radiasi. Di bawah gerbang ada sebuah batu yang menyenaraikan lebih daripada 220,000 nama-nama mereka yang telah terkorban.


Di hadapan Tugu Peringatan ini ada Peace Memorial Museum. Aku tak masuk sebab dah sampai lewat petang. Lagi pun waktu ni, muzium sedang dalam proses renovation. Kalau tak silap sampai tahun 2016. Rasa satu kerugian juga tak dapat masuk. Sebab bila kat dalam tu kita akan dapat lebih gambaran dan menghayati peristiwa hitam ini. Mesti lebih sedih dan menyayati hati nanti. Kat luar ni saja pun dah rasa sedih dan sayu.

Setiap tahun akan diadakan majlis sambutan ulangtahun peristiwa letupan bom di taman ini. Majlis akan bermula dengan bertafakur tepat pukul 8.15 pagi iaitu masa kejadian letupan itu berlaku.

Bermacam-macam monument yang ada kat kawasan ni sebenarnya. Bila datang dan tengok sendiri hati kita pasti akan tersentuh dengan peristiwa hitam yang dah terjadi.




Habis satu kawasan ni aku explore, lama juga aku kat sini, hari pun dah semakin senja, jadi aku ambil keputusan terus gerak ke Genbaku Dome-mae Station tadi ambik tram balik ke Hiroshima Station. 


Tram di Hiroshima

Gadis Jepun yang sedang leka dengan handphone masing-masing

Sampai di Hiroshima Station terus ke kaunter tiket untuk reserved seat Shinkansen ke Shin-Osaka. Kali ni aku naik Shinkansen Sakura dan bertolak pukul 7.51 malam. 




Shinkansen sakura ni nampak lebih cantik dan exclusive pada bahagian dalamannya. Kerusi pun lebih empuk dan lebih laju lagi daripada Shinkasen Hikari. Lebih kurang 15 minit awal.



Ruang tengah

Toilet pun besar

Siap ada vending machine lagi  

Stewardess


Sampai di Shin-Osaka tepat pukul 9.25 malam. Masih belum habis lagi penjelajahan aku hari ni. Seterusnya aku nak ronda-ronda Bandar Osaka di waktu malam. Namba menjadi pilihan untuk malam ini. Orang kata meriah kat situ. Kena alami dan saksikan dengan mata sendiri.

Dari Shin-Osaka Station ambil subway JR Kyoto Line Local pegi ke Osaka Station. Lepas tu dari Osaka Station jalan kaki ke arah Umeda Subway lepas tu naik Osaka City Subway Midosuji Line For Nakamozu dan turun di Namba Station dengan tambang 240 yen. Dari Namba station jalan kaki keluar bangunan lepas tu melintas jalan besar dah sampai kat kawasan Shinbaibashi Shopping Arcade

Shinbaibashi Shopping Arcade ni panjang dan kat sini ada banyak kedai-kedai aksesori dan butik fesyen baju. Jalan terus sepanjang laluan sambil  tengok ape yang ada. Tapi banyak kedai yang dah tutup. Gerai-gerai kecil saje yang ada. Ada gerai yang macam baru nak bukak pun ada.


Masa jalan terus tetiba sebelah kanan nampak macam meriah. Terus masuk belah kanan. Rupanya itu adalah kawasan Dotonbori. Kat sini memang terkenal dikalangan pelancong. Juga sangat dikenali sebagai destinasi makanan. Pada waktu malam tempat ni memang meriah dengan lampu neon dan signboard iklan yang menarik dan berwarna-warni. 


Hajat hati nak cari Glico Man dan nak cuba makan kat kedai ketam besar tu. Plan nak makan kat kedai ketam tu esok. Malam ni nak cari gerai jual ketam tu. Tapi malang, bila sampai gerai tu dah tutup sebab makanannya dah sold out. Hampanya. 


Giler laku gerai ni. Masyuk!

Teruskan misi mencari Glico Man Running. Sambil cari tu jumpa macam-macam kedai makan. Memang banyak kedai makan kat kawasan ni. Meriah sangat. Macam-macam signboard kedai makan yang kreatif kitorang jumpa kat sini.




Teruskan jalan lagi sambil mencari Glico Man dan takoyaki pulak. Takoyaki adalah makanan snek jepun yang berasal dari Osaka. Mestilah wajib makan. 


Masa tengah jalan tu nampak ramai orang beratur di satu gerai takoyaki ni. Aku pun ikut beratur jugak nak beli. Biasalah tanggapan orang. Bila ramai beratur tu pasti sedap. Memang sedap jugaklah. Tapi macam lembik sikit. Mungkin orang ramai, dorang masak pun cepat. Tak sempat nak tunggu betul-betul masak. Rasa tetap masih sedap.



Lepas makan takoyaki, kitorang teruskan perjalanan lagi tengok apa yang ada. Masa tengah jalan-jalan tu wife aku sempatlah tengok menu di kedai-kedai yang kitorang lalu. 

Tengok punya tengok sampai kat satu kedai ni jual udon, nampak menu menyakinkan. Wife aku ajak masuk untuk makan malam. Wife aku order tempura udon dan aku pulak order set tempura dengan nasi sekali. 

Memang sedap makanan kat kedai ni. Kitorang makan tak abis sebab portion nya banyak. Lagi pun kitorang baru lepas makan takoyaki tadi kan. Sayang...

Kat Jepun makan sup dengan senduk kecik


Berdasarkan daripada note dan duit yang ditinggalkan menunjukkan, ramai pelancong yang datang makan kat kedai ni.


Selesai makan, badan pun dah rasa tak larat. Tengok jam dah pukul 11.00 lebih. Risau train takde nanti nak balik Hotel, so kitorang batalkan niat meneruskan misi mencari Glico Man. 

Owner kedai tu ada bagitau yang hotel aku sebenarnya dekat je dari sini. Jalan kaki pun boleh sampai. Rupanya jalan punya jalan tadi kitorang dah sampai ke Nipponbashi

Memandangkan badan dah penat, kitorang ambil keputusan balik Hotel je. Terpaksa lepaskan niat nak cari Glico Man di waktu malam. Sebenarnya, nak ke Glico Man, dari Shinsaibashi kena ambil kiri dah boleh jumpa Glico Man. Tadi kitorang ambil kanan. 

Demi nak menjimatkan duit aku ajak wife jalan kaki je balik ke Hotel. Wife aku terpaksa ikut. Jalan punya jalan boleh tahan jauh jugaklah. Lebih dari 20 minit jugak jalan kaki baru sampai. Ambik kau!

Tapi selamat juga sampai Hotel. Sampai hotel masuk bilik terus buat ape yang patut, then terus tido. Penat wei!. Sambung esok, hari terakhir di Osaka sebelum balik ke Tokyo. Hari ke lapan.

Perbelanjaan hari ke 7 :

  1. Dari Tanimachi9-chome Station ke Higashiumeda Station - 240 yen x 2 = 480 yen
  2. Dari Osaka Station ke Shin-Osaka Station - 160 yen x 2 = 320 yen
  3. Beli makanan - 1,300 yen
  4. Bas ke Kintai-kyo Bridge - 500 yen return x 2 = 1,000 yen
  5. Oyster grill - 400 yen
  6. Baulu cheese - 300 yen x 2 = 600 yen
  7. Baulu cheese goreng - 180 yen
  8. Fridge magnet - 450 yen
  9. Tram ke Genbaku Dome-mae Station - 300 yen return x 2 = 600 yen
  10. Dari Shin-Osaka Station ke Osaka Station - 160 yen x 2 = 320 yen
  11. Dari Osaka Station ke Namba - 240 yen x 2 = 480 yen
  12. Takoyaki - 350 yen
  13. Makan malam - 1,410 yen
Total - 7,890 yen