Total Pageviews

Kuala Gandah - Elephant Sanctuary

Isnin - 14.12.2015

Kuala Gandah - Elephant Sanctuary & Deerland Park


Sempena cuti menyambut kemenangan pasukan Selangor memenangi Piala Malaysia kali ke 33, aku dan wife pegi melawat ke Kuala Gandah - Elephant Sanctuary untuk mengisi masa yang terluang. Lawatan kali ini adalah lawatan kali ke 2. Sebelum ni aku pegi masa cuti sekolah pada tahun 2011.


Kami bertolak dari rumah lebih kurang pukul 10.30 pagi. Singgah isi minyak, topup Touch N Go dan beli makanan untuk sarapan di dalam kereta sahaja.

Untuk ke Kuala Gandah dari KL kena melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ke arah Temerloh exit Lanchang. Dari Kuala Lumpur lalu tol Gombang kena bayar RM6.00. Lepas tu tempoh pulak tol Bentong kena bayar tol RM3.50. Dari tol Bentong dah tak jauh. Kena masuk exit Lanchang. Kalau terlepas kena u-turn kat exit Temerloh. Jauh juga jaraknya. Lebih 30km.

Apa yang ada di Kuala Gandah ni? Di Kuala Gandah ini ada Pusat Pemuliharaan Gajah yang telah ditubuhkan pada tahun 1989 oleh Jabatah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).


Dari tol Lanchang masuk simpang kanan. Kat simpang tu ada signboard. Jalan terus ke dalam nanti akan nampak perkampungan dan kelihatan berhutan sedikit. Terus je sampai jumpa simpang tiga. Ke Kuala Gandah simpang belah kiri tapi aku ambil belah kanan sebab nak pegi Deerland Park dulu. Jalan terus sampai jumpa Deerland.


Bayaran masuk sebanyak RM6.00 seorang. Waktu operasi dari pukul 10.30 pagi hingga 5.00 petang. Lepas bayar tiket, terus masuk dalam. Jalan menuju ke kandang rusa, kita akan nampak binatang-bintang lain terlebih dahulu. 


Sampai saje di kandang rusa tu, kita akan diberi sebakul kecil ubi yang telah dipotong kecil-kecil untuk diberi makan kepada rusa-rusa yang ada di situ.


Bila pegang makanan tu ditepi kandang rusa, maka banyaklah rusa-rusa yang akan menghampiri kita sebab bau makanan. Banyak juga rusa kat sini tapi semua dalam kandang.



Deerland ni adalah milik persendirian. Mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2004. Di Deerland ni terdapat 4 jenis rusa iaitu rusa dari Indonesia, Asia Timur, rusa tempatan yang dikenali sebagai Sambar dan rusa Mouse.





Bila makanan dah habis, gambar pun dah ambil, kitorang terus gerak keluar sambil tengok apa yang ada lagi di sini.

Di taman ini juga ada binatang lain seperti burung Golden Pheasant, Crested Fireback Pheasant, Sun Conure dan Ferret. Terdapat juga ular sawa tempatan yang dikenali sebagai Batek Python.







Selepas habis meronda satu taman, kitorang singgah kejap di kedai souvenir. Beli satu fridge magnet berharga RM7.00 seketul untuk dijadikan kenangan. Mahal juga fridge magnet sekarang. 


Keluar dari taman ni terus gerak ke Pusat Gajah pula. Ambil jalan masa datang tadi. Jalan terus saje sampai jumpa pintu masuk.



Terus pegi ke Convention Centre untuk dapatkan sticker masuk untuk dilekatkan di baju. Tiada bayaran masuk yang dikenakan. Tapi boleh beri sumbangan ikhlas sekiranya berminat bagi membantu menampung dana pusat ini.



Pusat ini ditubuhkan untuk mencari, menyelamatkan dan menempatkan semula gajah dari kawasan habitat dari seluruh Semenanjung seperti Taman Negara bagi mengelakkan kemerosotan populasi gajah dengan menempatkan semula lebih 600 ekor gajah liar.


Turut menjadi tempat translokasi dan rumah untuk beberapa penduduk dan gajah yatim juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai masalah gajah di Malaysia dan untuk menyokong penyelidikan gajah translokasi dan pemuliharaan. Pusat itu juga berusaha untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan habitat dan pemeliharaan alam sekitar. 


Pelawat digalakkan untuk menonton video sebelum masuk ke dalam. Video mengenai isu-isu gajah liar, pengurangan habitat dan translocation. Waktu tayangan ada 3 sessi iaitu pada pukul 12.30, 1.00 dan 1.30 petang.

Aku tak tengok pun tayangan video ni sebab aku dah tengok masa 1st time datang dulu. Sesiapa yang baru pertama kali datang sebaiknya pegilah tengok untuk mendapatkan sedikit info.


Selain menonton video ada juga pertunjukkan gajah di sini. Waktu pertunjukkan pada pukul 2.00 petang. 

Oleh kerana time sampai sini memang dah dekat time show, kitorang terus masuk dalam menuju ke tempat pertunjukkan gajah. Terus ambil tempat duduk menghadap stage.


Ramai juga penonton yang dah ambil tempat duduk masing-masing sambil tunggu ketibaan barisan gajah yang akan membuat pertunjukkan. Kebetulan cuti sekolah, ramailah keluarga yang datang membawa anak-anak mereka berjalan. Ada juga pelancong asing tapi tak berapa ramai sangat berbanding masa aku datang dulu.

Setelah menunggu beberapa minit, tibalah kedatangan gajah-gajah bersama tuannya dari belah kiri tempat duduk penonton.





Pertunjukkan gajah kali ini biasa-biasa saje pada aku. Entah kenapa seperti kurang menarik. Tak de ummmph. Aku rasa lebih menarik pertunjukkan masa aku penah tengok dulu. Patutlah pelancong asing pun dah berkurangan yang datang.

Selesai pertunjukkan, orang ramai diberi peluang untuk beri makanan kepada gajah-gajah tadi. Pihak pusat menyediakan beberapa bekas makanan yang mengandungi betik untuk diberi kepada gajah. Aku pun ambil peluang bagi makan gajah. 




Paling seronok tengok kanak-kanak yang sangat excited dan berani bagi makan kepada gajah-gajah tu. Setelah habis semua makanan, sesi bergambar pula bersama gajah.

Kitorang tak bergambar pun dengan gajah-gajah tu sebab orang agak ramai. Cadang nak keluar dari tempat tu tapi sempat lagi singgah di kandang gajah berhampiran dengan stage tadi. Di situ ada lah beberapa ekor gajah-gajah kecil.




Kalau dulu lepas bagi makan, pengunjung diberi peluang untuk menunggang gajah. Selepas sessi menunggang, pengunjung diberi peluang pula untuk mandi bersama gajah di sungai yang terdapat di pusat ini.

Menarik kan? Tapi itu dulu!. Sekarang ini tiada lagi sessi menunggang gajah mulai Oktober 2012. Nasib baik aku sudah pernah merasai pengalaman itu dulu.

Bagi sessi mandi bersama gajah pula bergantung kepada keadaan cuaca dan sungai. Kalau sungai deras aktiviti tersebut terpaksa dibatalkan demi keselamatan. 

Kebetulan waktu aku datang ni adalah musim hujan. Jadi air sungai dalam dan deras. So takdelah aktiviti mandikan gajah. Kecewa.

Di sungai inilah tempat mandi gajah



Aku ada tanya pada salah seorang pekerja di situ, kenapa takde lagi sessi menunggang gajah lagi. Menurut pekerja tersebut, aktiviti itu telah diberhentikan kerana isu kecederaan yang dialami oleh seorang pengunjung. Menurutnya juga, tiada sebarang aduan dibuat pada hari kejadian. 

Tapi isu ini tiba-tiba panas bila pengunjung tersebut terus membuat aduan di suratkhabar. Jadi pihak atasan telah mengambil keputusan terus memberhentikan saja aktiviti tersebut kepada orang ramai bagi mengelak perkara tersebut berulang lagi. Begitulah ceritanya. Kebenaran tu aku tak berapa pasti. Mungkin boleh google keratan akhbar kalau nak kesahihan.

Selesai semua, gerak keluar nak cari makanan pula untuk perut kitorang yang masih belum diisi. Ada satu gerai di dalam pusat ni. Menu biasa-biasa saje. So kitorang order nasi goreng untuk makan tengahari. Selesai makan, terus pegi solat dulu di surau sebelum berangkat pulang.


Selesai segala urusan terus gerak ke kereta dan bertolak pulang.



Sampai KL terus singgah IKEA Cheras pegi makan meatball untuk makan malam. Selesai makan terus pulang ke rumah. Esok kena pegi kerja semula. Selamat bekerja semula!