Total Pageviews

Penang - Day 1

Trip JJCM - Nasi Kandar Deen Jelutong, Wonderfood Musuem Penang, Penang Road Famous Teochew Cendol, Nasi 7 Benua & Pasembur


Sabtu - 26.08.2017


Trip ni merupakan sempena sambutan ulangtahun perkahwinan kami yang ke 12 tahun. Cepat masa berlalu. Dah 12 tahun kami hidup bersama. Bermacam-macam pengalaman pahit, manis dan susah senang dirasai bersama. 

Sebenarnya ada beberapa perancangan trip dibuat untuk menyambut ulangtahun perkahwinan kami pada awal tahun hari tu. Tapi disebabkan beberapa faktor kami terpaksa membatalkan niat membeli tiket flight. Sedih juga bila dikenang melepaskan harga tiket yang agak murah pada waktu itu. 

Bila keadaan kembali pulih, cuba juga riki-riki tiket flight. Tapi malangnya semua mahal belaka. Rasa tak berbaloi langsung kalau nekad nak beli juga. Dan akhirnya, beberapa minggu sebelum tarikh ulangtahun aku putuskan pergi ke Penang untuk aktiviti jalan-jalan cari makan.


Seawal pukul 7 pagi kami bertolak menuju ke Penang. Alhamdulillah perjalanan lancar walaupun di beberapa tempat kenderaan agak banyak. Sekitar pukul 12.15 tengahari selamat sampai di Penang. Sesampai di Penang hujan renyai sudah mulai turun menyambut kedatangan kami.



Tempat pertama kami terjah kali ini di Penang ialah Nasi Kandar Deen, Jelutong. Alhamdulillah dapat parking tidak jauh dari kedai. Kemudian aku terus cari meja sesudah sampai di kedai. Manakala wife aku beratur untuk ambil makanan.


Masa kitorang sampai kedai sememangnya sudah penuh. Pengunjung yang beratur waktu tu tak terlalu ramai. Tapi lepas wife aku beratur terus line semakin panjang. Alhamdulillah dipermudahkan bagi kami. 

Sampai giliran, wife order dua pinggan nasi kandar dengan lauk ayam goreng dan satu lagi ayam kari. Tak lupa juga sayur bendi, telur dadar dan papadam. Air minuman pula hanya order air siram limau. Rasa kuah campuran kari untuk nasi kandar di sini tidak dinafikan memang sedap. Recommended.

Peha takde time ni. Sedih!

Memandangkan masa masih banyak dan tema trip kali ini adalah makan, makan dan makan, maka selepas selesai makan kami terus menuju ke Penang Wonderfood Museum


Sebenarnya kami takde buat apa-apa itinerary pun. Semuanya main terjah bergantung pada masa dan apa yang terfikir di kepala. Tiket masuk muzium bagi pemegang mykad ialah RM15.00 untuk dewasa.


Penang Wonderfood Museum merupakan satu-satunya muzium di dunia yang mempamerkan pelbagai jenis makanan dan memaparkan budaya pemakanan penduduk tempatan di Penang khususnya dan secara amnya penduduk Malaysia. Muzium ini terletak di dalam bangunan kolonial tahun 1940 di Georgetown. 


Semua model hyper-realistik di dalam muzium ini dibuat oleh pemilik muzium iaitu Sean Lao yang menggunakan teknik replikasi makanan dari Jepun. Sesiapa yang pernah pergi ke Jepun pasti ada melihat replika makanan yang dipamerkan di hadapan kedai-kedai makan di sana. Jadi teknik yang sama digunakan untuk semua pameran makanan di muzium ini.


Muzium ini terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pertama atau zone info mempamerkan lebih daripada 100 jenis makanan jalanan (street food) yang popular.



Serta makanan tradisional penduduk Malaysia iaitu Melayu, India, Cina dan Peranakan.




Turut menampilkan replika patung-patung kecil tentang bagaimana penduduk tempatan makan pada hari biasa termasuk sarapan pagi di gerai nasi lemak tepi jalan, bubur gaya cina untuk makan tengahari dan roti canai serta teh tarik di gerai mamak.

Sarapan pagi di gerai nasi lemak

Makan tengahari bangsa cina dulu

Warung mamak yang sentiasa menjadi pilihan

Gerai nasi campur untuk makan tengahari


Lepak di kedai mamak pada malam hari


Yee sang pada malam tahun baru cina

Turut dipamerkan makanan yang dihidang di atas meja dalam beberapa situasi di luar kebiasaan untuk pengunjung mengambil gambar mengikut imaginasi masing-masing.

Makanan yang terbiar dan berkulat

Situasi hura hara

Makanan terbang

Black and white


Beraneka manisan

Bahagian kedua atau zone wow pula memaparkan replika gergasi makanan yang menjadi tumpuan dan tarikan besar di kalangan penduduk tempatan dan pelancong. Makanan wajib cuba semua orang.

Pasembur

Mee kari

Nyonya mee kari

Sate

Selesai menjelajah di tingkat bawah, kami naik ke tingkat 2 pula. Kali ini kita boleh mengimbau kembali suasana kegiatan jual beli makanan waktu dulu-dulu di bahagian 'time tunnel'. 





Secara jujurnya melihat replika di 'time tunnel' ini sangat mengusik di jiwa. Teringat kehidupan kami masa kecil. Rindu zaman itu walaupun kehidupan waktu itu tidak sesenang sekarang.

Kanak-kanak riang bermain guli


Bakar lemang sebelum raya


Suasana di pasar malam


 Pasar malam paling di nanti ketika dulu

Makanan termahal di dunia juga turut dipamerkan di muzium ini. Sebahagian makanan dan ruangan ini diselaputi dengan emas 24 karat. Oleh sebab itu, ruang ini di jaga oleh seorang penjaga dan sentiasa di awasi dengan CCTV. 


Setiap makanan mahal itu semua ada tertera harga sekali. Emas pada makanan tu boleh dimakan. Orang ada ada saje yang mampu makan makanan ni semua. Kita rakyat marhean hanya mampu tengok replika saje. 




Di bahagian ketiga atau zone pendidikan pula pengunjung boleh lihat yang makanan harian kita juga boleh dijadikan sebagai hasil seni.

Monalisa

Selain itu, zone pendidikan juga cuba mendidik pengunjung dan memberi kesedaran tentang bagaimana pilihan makanan tertentu boleh memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan. 

Bagi pengemar shark fin soup, sanggupkah anda melihat kesannya?!

Kandungan gula setiap makanan

Tidak lupa juga kesedaran pada semua tentang pembaziran lebihan makanan. Di negara kita sangat mewah dengan makanan. Sehingga kebanyakkan daripada penduduk Malaysia mendapat penyakit berpunca daripada pemakanan dan merupakan salah satu punca kematian. 



Di negara miskin seperti di beberapa negara di benua Afrika contohnya mati akibat kebuluran disebabkan ketiadaan makanan. Jadi sebelum membuat sebarang pembaziran beringatlah.



Tidak dinafikan terdapat banyak gerai, kedai dan restoran makanan di negara kita. Dengan ekonomi yang merundum dan kesibukan urusan harian menjadikan gerai makanan muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Setiap gerai, kedai dan restoran makanan ini semua tetap ada customer mereka sendiri. Ditambah dengan kuasa viral di media sosial, sedikit sebanyak memeriahkan lagi industri makanan di negara kita.


Walau negara kita sangat mewah dengan makanan, namun masakan orang yang tersayang yang di masak di rumah adalah makanan yang paling sedap dan terbaik di dunia.



Selesai menyaksikan semua pameran di muzium ini, kami terus terjah ke tempat makan ke dua untuk trip ini iaitu Teochew Cendol famous tu yang terletak di Penang Road. Kami park kereta di tempat letak kereta berbayar tak jauh dari kedai cendol tu. Sekali masuk RM3.00.


Uncle ni dari Thailand

Masa kami sampai tak panjang sangat queue. Sebab makan di situ, jadi hanya order lepas tu dorang akan hantar ke meja. Ada disediakan meja dalam kedai tak jauh dari stall cendol. 



Selain cendol ada juga makanan lain yang dijual di sini antaranya char kuew tiaw left handed, rojak buah dan asam laksa. Semua ni yang halal punya. Kami hanya makan cendol saje dan rasa cendolnya sememangnya sedap dan tidak terlalu manis.

Masak char keuw tiaw pun kidal ok!

Lepas makan, sebelum gerak ke tempat lain, kami ambil gambar kawasan sekitar sekejap. Makin ramai pelanggan yang datang beratur untuk beli cendol. Nasib baik waktu kami sampai line tak begitu panjang.

Memandangkan jam ketika ini masih pukul 4 lebih lagi, kami ambil keputusan untuk ke destinasi makan-makan yang ke tiga iaitu Laksa Tempurung di Teluk Kumbar. Gerai ni agak jauh sedikit dari Penang Road tadi. Tapi selagi ada masa kita terjah saje.

On the way nak ke laksa tempurung, di kawasan Bayan Lepas ke atas kelihatan awan hitam yang menandakan hujan lebat akan turun. Memang betul. Sampai berhampiran laksa tempurung tu hujan sangat lebat. Akhirnya kami batalkan niat makan laksa. Takut tak selesa nanti sebab gerai kot. Ditambah dengan hujan lebat.

Jadi kami tukar destinasi makan ke tiga ke Nasi 7 Benua di Koo Boo Cafe, Bayan Lepas. Jarak tak berapa jauh sangat. Kebetulan sampai hujan sudah mulai reda. Cara makan di sini self service. Kena pergi ke counter nasi kemudian ambil lauk apa yang kita nak. 



Nasi 7 benua ni adalah campuran dari 7 jenis nasi iaitu nasi putih, nasi lemak pandan, nasi tomato, nasi hujan panas, nasi minyak, nasi lamuni dan nasi kacang. Wife aku ambil lauk ayam masak merah. Aku hanya ambil ayam goreng. Kemudian kami tambah dengan lauk dalca dan papadam. Rasanya memang sedap. Recommended.


Hari sudah menghampiri maghrib, jadi selesai makan kami putuskan menuju ke hotel penginapan untuk malam ini iaitu di Cititel Express Hotel di Lebuh Noordin, George Town. Harga untuk satu malam RM126.20 termasuk tax. Book terus melalui hotel website.



Selesai urusan check-in, lepak sekejap di bilik kemudian kami keluar semula meneruskan misi makan untuk kali ke empat hari ini iaitu Pasembur di Gurvey Drive. Dulu masa datang ke Penang kami makan pasembur di Padang Kota. Kali ini nak cuba pula di Gerai Famous Disco Pasembur. Gerai ni pernah popular dan tular di internet dengan gelaran pasembur menari. Sekarang dah tak menari lagi. Sodih den.




Lepas makan kami terus balik ke hotel. Letih satu hari berjalan dan makan. Selesai urusan peribadi terus tido. Kita sambung hari kedua.



Melaka - Day 2

Trip JJCM - Asam Pedas Selera Kampung, Coconut Shake Klebang & Mango Float Royale Melaka


Isnin - 24.04.2017


Hari ke dua di Melaka, lepas subuh sambung semula tido. Pukul 8 lebih baru keluar ke cafe untuk breakfast. Orang ramai pagi tu. Meja penuh.



Lepas breakfast sambung lepak dalam bilik sambil tengok majlis pertabalan live di TV1. Pukul 11 lebih baru bersiap check-out.


Lepas check-out kami terus pergi ke kedai Asam Pedas Selera Kampung di Mahkota Square, Bandar Hilir. Dekat je dari hotel. Ramai juga orang yang datang makan. Penuh. Dapat meja wife aku terus pergi ambil makanan. Kami makan asam pedas ikan parang, ikan kembung dan sayur kerabu. Nak ambil ayam goreng dah habis. Malas nak tunggu. 



Rasa asam pedasnya memang sedap. Cuma sayur tu tak banyak pilihan. At least kalau ada ulam pun takpe. Selain asam pedas ada juga jual pelbagai jenis masak lemak seperti siput sedut, ayam kampung, udang dan lain-lain lagi. Lauk pauk lain pun ada jugak. Ayam gorengnya memang laris. Letak je terus habis. 

Asam Pedas Selera Kampung
No. G2, Jalan PM3, 
Mahkota Square, Bandar Hilir,
75000 Melaka.

Dibuka setiap hari dari pukul 7.00 pagi hingga 6.00 petang.

Waze : 'asam pedas selera kampung'.

Lepas makan singgah kejap beli kerepek untuk ofis mate wife aku dekat Pahlawan Walk Melaka depan kedai asam tadi. Selesai membeli terus gerak ke Coconut Shake Klebang. Tak sah kalau datang Melaka tak singgah beli coconut shake kan. Sebelum balik nak juga singgah beli. Macam biasa kena beratur nak membeli.


Dibuka setiap hari dari pukul 11.00 pagi hingga 6.30 petang.

Waze : 'coconut shake klebang' 

Destinasi terakhir trip kali ni iaitu Mango Float Royale Melaka di Jalan Sungai Putat. Masa aku sampai beratur takde panjang sangat. Tak lama lepas tu lagi panjang. Servis cepat. So takde beratur lama sangat. 


Harga RM5.00 satu. Mango yang diblend dengan ais, ditambah dengan mango kiub dan ais krim. Memang sedap rasanya.


Selain mango float ada juga jual makanan lain seperti mee kari, makanan gorengan, keria pun ada, meatball dan goreng crispy. Aku order meatball. Rasa meatballnya sedap. Bolehlah cuba. Dengar cite mee karinya pun sedap. Tapi aku tak makan sebab perut dah kenyang. Dah macam-macam masuk.



Mango Float Royale Melaka
Pintu Gerbang Kg Sungai Putat,
Batu Berendam, Melaka.

Waktu Operasi: 
Isnin - Sabtu (2.00 petang hingga 11.30 malam)
Ahad (11.00 pagi hingga 6.00 petang)

Waze : 'mango float' 

Lepas makan kami terus gerak balik ke KL. Mula-mula jalan ok walaupun kereta banyak. Bila menghampiri exit Pedas terbaca di screen electronic jalan jem di R&R Seremban ada accident terus aku masuk ke Pedas ikut jalan dalam. Lepas tu ambil LEKAS highway.

Nasib baik aku masuk Pedas. Rupanya jalan jem teruk sebab ada accident maut bas langgar kereta honda BRV. Tengok gambar kemek teruk BRV tu. Kesian budak tu meninggal. Anak syurga tu. Semoga ibu bapa kanak-kanak tersebut tabah menghadapi ujian ini.

Alhamdulillah sampai di rumah dengan selamat dan perut pun dah kenyang. Ada rezeki kita pergi terjah tempat lain pulak sambil menyumbang ekonomi Malaysia tanah air ku.



Melaka - Day 1

Trip JJCM - Roti Canai Kayu Arang, Keria Antarabangsa, Ee Ji Ban Chicken Rice Ball, Mee Besen Ori Melaka & Asam Pedas Pokok Besar


Ahad - 23.04.2017


Sempena cuti Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke 15, Sultan Muhammad V, yang jatuh pada hari Isnin, 24 April 2017, aku ambil kesempatan buat short trip ke Melaka Bandaraya Bersejarah selama 2 hari 1 malam. 

Trip kali ini lebih kepada jalan-jalan cari makan. Ada banyak senarai tempat makan yang akan kami kunjungi. Tak pasti sama ada dapat pergi semua atau tidak. Kita cuba mana yang termampu.


Seawal pukul 7.45 pagi kami bertolak menuju ke Melaka. Alhamdulillah traffic lancar pagi tu. Dengan memandu secara santai kami selamat sampai di Melaka pukul 9.00 pagi. 

Destinasi makan pertama kami ialah Roti Canai Kayu Arang di Bachang. Orang sangat ramai di kedai ni. Oleh kerana kami berdua saje, jadi senang sikit cari tempat duduk. 



Aku order roti canai dan nasi lemak saje. Roti canai memang sedap. Lembut. Nasi lemak pun sedap. Apa yang menarik dan kelainannya adalah roti canai dimasak menggunakan arang.


Selain roti canai dan nasi lemak terdapat bermacam-macam menu makanan lain ada dijual di kedai ni. Antaranya sate, sotong dan ayam goreng tepung, kuih muih, mee dan mihun sup dan kari, lontong, otak-otak dan macam-macam lagi. Menu wajib cuba roti canai nachos.

Agak lama juga kami di kedai ni sebab berborak dengan akak sorang ni. Rancak gile dia berkongsi cerita kisah pengembaraannya di merata-rata tempat. Sampai wife aku banyak kali tendang kaki aku sebagai tanda ajak gerak. 

Roti Canai Kayu Arang,
Lot 459, Kampung Bakar Batu Mukim,
75350 Bachang, Melaka.

Dibuka setiap hari dari pukul 7.00 pagi hingga 12.30 tengahari

Waze : 'roti canai kayu arang'

Lebih kurang pukul 11 pagi kitorang gerak ke destinasi kedua iaitu Kuih Keria Antarabangsa di Jalan Klebang, Kampung Limbongan. 


Pukul 12 tghri sudah mulai ramai orang beratur untuk membeli kuih keria ni. Hebatkan.



Aku beli 10 biji kuih keria dan 3 biji karipap. Harga 60 sen sebiji. Lepas beli kami makan di dalam kereta saje. Ada juga disediakan meja dalam kedai untuk sesiapa yang nak makan di situ. 


Kuih keria memang sedap rasanya. Luarnya ranggup dengan bersalut sira gula melaka, dalamnya pula lembut rasa keledek semata-mata. Memang berbaloi pada aku.


Keria Antarabangsa ni ada dua. Satu Haji Jalil dan satu lagi Hajjah Rahman. Dua-dua di Jalan Klebang. Cuma sorang kanan dan sorang belah kiri. Tak jauh pun antara satu sama lain. Orang kata rasanya pun sama saje.

Dibuka setiap hari dari pukul 1.00 petang hingga 7.00 malam (Jumaat tutup)

Waze : 'kuih keria antarabangsa hj jalil' dan 'kuih keria antarabangsa hajjah rahman'

Seterusnya kami terjah ke destinasi ketiga pula iaitu Ee Ji Ban Chicken Rice Ball di Jalan Melaka Raya, Taman Melaka Raya. Ada tanda halal besar di depan kedai ni ye. Boleh makan tanpa was was.


Nampak ada parking kosong je terus masuk. Kena jalan kaki sikit. Parking kat sini agak susah. Jangan lupa bayar parking ye. Nanti kena saman. Kena guna kupon parking.

Kedai penuh masa kami sampai. Kena beratur panjang juga. Tapi tak lama tunggu. Sebab kami berdua lagi cepat dapat tempat duduk. 



Kami share meja dengan satu family dari Singapore. Servis agak cepat juga. Tak lama order makanan pun sampai. Kami order rice ball 10 biji, dua quarter chicken roasted dan fish ball sup. Lepas tu tambah nasi biasa satu.


Pada aku rasanya sedap. Kena dengan selera kami. Makanan kami tadi dibayar oleh family Singapore tu. Alhamdulillah, Rezeki. Semoga bertambah rezeki family ni.

Ee Ji Ban Chicken Rice Ball
275, Jalan Melaka Raya 3,
Taman Melaka Raya,
75000 Melaka.

Dibuka setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga 9.30 malam

Waze : 'ee ji ban chicken rice ball'

Lepas makan kami terus menuju ke hotel nak check-in. Untuk 2H1M kami menginap di Imperial Heritage Hotel. Sangat dekat dengan kedai nasi ayam yang kami makan tadi. Jalan kaki pun boleh.



Sampai di hotel beratur sikit saje untuk check-in. Selesai terus naik atas nak masuk bilik. Bilik kami di Tingkat 11.



Kami ambil deluxe room. Bilik bersih dan luas pada aku. Aku booked melalui booking.com. Itu pun beberapa hari sebelum nak pergi. Nasib baik ada bilik lagi.




Lokasi juga sangat strategik. Bila dah masuk bilik automatik jadi malas nak keluar. Lagi-lagi dapat air-cond dan perut dah kekenyangan.



Pukul 4 petang, kami keluar semula untuk ke destinasi seterusnya iaitu Mee Besen Ori Melaka di Pusat Niaga Durian Daun. Masa turun ke lobby mak ai, ramainya orang nak check-in. Queue panjang gile. Nasib baik kami check-in awal tadi.

Sampai di Mee Besen Ori Melaka, tengok kedai penuh juga. Kena tunggu turn. Kali ni kena tulis nama dalam buku. Ada meja kosong dorang akan panggil. Nak makan kat sini kena sabar menunggu. Lebih kurang satu jam ke dua jam juga ambil masa tunggu. Kalau jenis tak sabar atau dah lapar sangat baik cari kedai lain saje. 




Lebih kurang satu jam lebih baru kami dapat meja. Order mee soya campur kuew tiaw sup ayam saiz S dengan mini talam western. Mini talam western ni ada fries, meatball, chicken chop dan spaghetti. 




Rasa mee besen tu sedap. Cuma minyak terlampau banyak bertakung. Sayang jantung aku wei. Kolestrol oh kolestrol. Western plak, chicken chop ok, spaghetti pun ok ok je, meatball macam banyak tepung. Kureng sikitlah. Mee besen tu habis juga kami makan. Yang western tu terpaksa tapau.



Mee Besen Ori Melaka

No. 17, Jalan PNDD 1,
Pusat Niaga Durian Daun,
Kampung Durian Daun Dalam,
75200 Melaka.


Dibuka dari pukul 3.30 petang hingga 12.00 pagi (Isnin tutup)

Waze : 'mee besen ori melaka'

Lepas makan tekak wife aku rasa tak berapa best. Plan nak ke Jonker Street terpaksa tukar plan balik hotel terus. Balik hotel mandi-manda bersihkan badan kasi segar sikit. Lepas maghrib kami keluar semula sambung destinasi seterusnya iaitu asam pedas. 

Mula-mula tu nak makan di Asam Pedas Hajjah Mona. Sekali bila sampai sana tutup pulak. Nak pergi Asam Pedas Selera Kampung dah tutup malam macam ni. Jadinya, kami pergi ke Asam Pedas Claypot. Sampai sana pun penuh juga. Ramai sungguh. Nak try punya pasal tunggulah meja kosong. Baru berdiri kat satu meja ni tuan kedai bagitau makanan dah habis. Makanya terpaksa beralih arah ke kedai lain pulak. 


Akhirnya kami makan di kedai Asam Pedas Pokok Besar. Semua yang tak dapat makan di Asam Pedas Claypot terus bertukar arah ke Pokok Besar. Lama juga tunggu makanan sampai kat kedai ni. Rasa asam pedasnya pun tak berapa sedap. Fail.


Selesai makan dah pukul 10 lebih. Nak jalan ke Jonker Street pun macam tak larat sangat. Mata dah mengantuk. Jadinya kami balik saje ke hotel.



Sampai hotel buat ape yang patut, lepas tu tido. Sambung hari kedua.