Total Pageviews

New Zealand : North Island - Day 12 Part 2

Summer Road Trip - The Blue Spring, Huka Falls & Redwoods - Whakarewarewa Forest


Sabtu - 01.12.2018


Sambungan dari New Zealand : North Island - Day 12 Part 1

Selesai ambil gambar sikit di pekan Matamata, kami terus beredar menuju ke Te Waihou Walkway, The Blue Spring. Jarak dari Matamata lebih kurang 33 kilometer dan dijangka mengambil masa 30 minit.



Masa kami sampai, tak banyak kereta yang ada di sini. Tapi tak lama kemudian datang group dari India. Bising pulak mereka ni. Aku ajak wife cepat-cepat jalan sebelum group dorang mula gerak.



Dari tempat letak kereta di Leslie Road kena jalan sikit kemudian kena buka pintu pagar untuk masuk jalan kaki ke dalam lebih kurang 5 ke 10 minit.



Sebenarnya ada dua pintu masuk ke The Blue Spring ni. Satu di State Highway 28, jarak jalan masuk dari parking ke The Blue Spring lebih kurang 4.7 km dan dijangka mengambil masa sekitar satu jam setengah jalan kaki.


Satu lagi pintu masuk di Leslie Road yang hanya mengambil masa tak sampai 15 minit jalan kaki dari tempat letak kereta. Yang pasti Leslie Road ini menjadi pilihan kami dan kebanyakan pengunjung.


Selepas beberapa minit berjalan, kami jumpa sebuah jambatan dan dari sini kami boleh lihat kejernihan air Waihou River. Di sini pun dah nampak cantik dan buat kami rasa kagum. Tak sabar nak tengok di dalam.



Kemudian kami sambung semula jalan kaki ke dalam. Masa ni hujan renyai-renyai. Ada satu ketika angin bertiup sangat kuat. Sehingga terbalik payung kami dan bergoyang juga badan ini dibuatnya apabila ditiup angin kuat. Sejuk tak usah dikata, hingga ke tulang rasanya.


Semasa jalan kaki masuk ke dalam, Waihou River di sebelah kanan kami, jadi boleh nampak kejernihan dan kecantikan air sungainya dari tepi tebing. Di sini saje pun dah buat kami rasa kagum. Bertambah tak sabar nak sampai betul-betul di dalam untuk lihat lebih dekat. Mesti lebih cantik.


Sebelum sampai di platform, kami singgah sekejap di toilet. Sejuk-sejuk macam ni memang cepat sangat nak terkucil. Padahal minum air sikit saje sebab malas asyik nak cari toilet.


Selesai melepaskan hajat, kami terus ke viewpoint. Ada dua buah bangku kayu di situ. Tapi ada orang panjat di atas bangku kayu tu ambil gambar untuk view lebih tinggi. Sebaiknya gunalah untuk duduk sambil menikmati pemandangan.



Dari viewpoint ni kita boleh lihat The Blue Spring dengan dekat. Cuma tak boleh terjun mandi demi menjaga tumbuhan di dalam sungai ini. Begitu cara mereka nak mengekalkan hidupan semulajadi di sini. Sebab tu nampak terpelihara dan kita dari serata dunia dapat datang untuk melihat dan menikmati keindahan alam ini.



Selepas seketika berada di viewpoint ni, kami beralih ke dalam lagi. Jalan sehingga kami jumpa laluan berkayu.




The Blue Spring ni terletak di South Waikato berhampiran Putaruru. Merupakan salah satu sumber air paling tulen dan telah diiktiraf salah satu air terbersih di dunia. Ia juga membekalkan 60 hingaa 70% air botol di New Zealand.



Menurut sumber, air ini datangnya dari bawah tanah yang dalam dan memerlukan 50 hingga 100 tahun untuk air ini naik ke dasar seterusnya membentuk Blue Spring.



Proses panjang semasa air ini melalui bumi naik ke dasar seumpama melalui proses filter sehingga menyebabkan kejernihan dan terhasil kumpulan air yang sangat bersih dan tulen. Jernihnya seperti kolam renang. Warna air ini akan menjadi turquoise cair apabila terkena cahaya matahari.



Tarikan di The Blue Spring ini bukan saje pada kejernihan airnya saje, tapi yang membuatkan kami sangat kagum adalah barisan tumbuh-tumbuhan bawah air yang beralun mengikut aliran air. Tiada kata yang boleh digambarkan betapa cantik dan indahnya kejadian ciptaan Allah ini.




Terasa amat tenang berada di sini melihat keindahan ini. Dengan kehadiran itik berenang riang dan bunyi burung berkicau merdu menjadikan suasana sangat tenteram dan mendamaikan.



Kami terus berjalan menyusuri laluan titian berkayu.



Kemudian kami berdiri di atas titian kayu di tepi sungai yang di bina di sepanjang sungai menikmati pemandangan sekitar yang sangat indah dan mendamaikan ini. Melihat alunan lembut tumbuhan di dalam air bergerak sungguh melekakan kami. Tiada kata yang boleh digambarkan betapa tenang dan damainya suasana di sini.



Di seberang sana pula kami disajikan dengan pemandangan tumbuhan pokok-pokok hijau seperti pokok pakis menambahkan lagi seri suasana sekitar. Sungguh indah hijau bumi Tuhan. Terasa berat hati nak meninggalkan tempat ini.



Namun kami tak boleh terlalu melayan perasaan. Dengan berat hati kami mula gerak untuk meninggal tempat ini.



Sebelum menghampiri viewpoint yang kami pergi awal tadi, kami singgah naik tangga yang terletak di sebelah kanan untuk tengok view dari atas.



Sekejap saje kami di atas ni, kemudian kami turun semula dan berjalan melalui laluan yang sama untuk keluar dari sini. Tak lama kemudian, kami singgah pula di bahagian pokok besar di tebing tepi sungai. 



Masa datang tadi kami terus masuk tak singgah di sini. Memang plan nak singgah on the way balik ke kereta nanti. Ada batu-batu besar diletakkan di sini. Di setiap batu tu ada ditampal mesej untuk bacaan pengunjung.




Selepas singgah dan ambil gambar, kami sambung perjalanan kaki semula menuju ke kereta. 


Sampai di kereta tanpa berlengah terus beredar dari sini menuju ke Huka Falls. Jarak dari The Blue Spring ke Huka Falls 92.7 kilometer dan dijangka mengambil masa 1 jam 15 minit.



Seperti biasa, bila perjalanan jauh begini memang buat mata mengantuk. Namun apakan daya kena teruskan juga pemanduan bila sorang saje pemandu. Wife kat sebelah buat tahi mata saje. Nak tolong drive, jangan haraplah.




Sampai di Huka Falls, kami parking kereta di tempat yang disediakan. Nampak ramai pelancong di sini. Dengan bas lagi.



Dari tempat parking kena jalan sikit untuk lihat Huka Falls ni. Tak jauh pun. 


Mula-mula kita akan jumpa sebuah jambatan. Dari jambatan ini kita boleh nampak kederasan air Huka Falls. 


Jambatan ini dibina betul-betul di atas kedudukan utama di mana kita boleh lihat dan menyaksikan kederasan air yang kuat dan berombak-ombak memukul tebing mengalir hingga jatuh ke dalam kolam sedalam 11 meter.


Deras sangat airnya. Terlampau deras. Kalau buat white rafting mesti best. Tapi boleh ke, macam bahaya je. Memang bahaya. Tapi di sini ada aktiviti Huka Jett dan merupakan salah satu aktiviti popular di sini. Ada berani?!.


Selepas melihat kederasan air dari atas jambatan, kami jalan terus menyeberangi sungai. Terdapat beberapa Huka Trails untuk kita explore kawasan sekitar dan menyusuri Sungai Waikato serta menikmati alam semulajadi di sini. Kami tak pergi sebab tak cukup masa dan badan dah letih.


Kami hanya ke Huka Falls Viewpoint saje, iaitu ruang untuk lihat Huka Falls dari sisi pula. Dari sini boleh terasa percikan airnya. Kami lepak sekejap di sini menikmati kederasan air sungai sepuas-puasnya.



Huka Falls ni merupakan antara tempat tarikan pelancongan alam semulajadi yang popular dan paling banyak dilawati di North Island. Jadi memang ramai pelancong yang datang ke sini.



Di Huka Falls ini, kita boleh lihat fenomena kuasa hidro semulajadi dengan lebih daripada 220,000 liter air per saat mengalir dan merupakan air terjun terbesar di Waikato River.



Waikato River adalah sungai terpanjang di New Zealand dan bergerak ke arah utara dari Lake Taupo yang merupakan tasik air tawar terbesar di seluruh Australasia.


Kelebaran Sungai Waikato biasanya adalah 100 meter. Di awalnya, air mengalir tenang dan kemudian menjadi semakin deras. Hanya sebelum ke Huka Falls ia terpaksa melalui jurang batu yang lebih kecil sekitar 20 meter dan kesannya berlaku kederasan air yang membuak-buak dan kemudian jatuh ke kolam.



Nama Huka adalah dari perkataan Maori yang bermaksud 'buih', yang mana apabila air sungai yang banyak dan deras ini jatuh ke jurang maka akan kelihatan seperti menyerupai buih-buih putih.


Kami sangat kagum melihat kederasan airnya dan bertambah kagum lagi dengan warna turquoise serta kebersihan airnya. Indah dan menariknya ciptaan Tuhan untuk kita nikmati. 



Setelah menikmati Huka Falls, kami beredar menuju ke kereta. Kemudian kami sambung kembali perjalanan hari ini menuju ke Redwoods-Whakarewarewa Forest dengan jarak dari Huka Falls lebih kurang 79 kilometer dan dijangka mengambil masa selama 1 jam atau lebih.


Sebelum sampai di Redwood kami singgah di Don Kebab. Perut lapar gile. Kami hanya makan breakfast pagi tadi saje. Aku hanya tapau saje.


Di sini aku nampak ramai muka melayu. Bila di negara bukan muslim dan susah nak dapat makanan halal, kedai kebab selalunya jadi tumpuan dan pilihan orang muslim. Kedai kebab ni tak jauh dari Redwoods. Depan saje sikit dah sampai.



Selesai beli, masuk kereta terus sambung balik perjalanan. Makan dalam kereta saje. Ya Allah, nikmatnya dapat makanan. Masa on the way menuju ke Redwoods ada nampak satu signage besar. Tapi kami terus jalan sebab google map kata terus lagi sampailah di hujung tasik.


Kami berhenti dan keluar. Check keadaan sekitar sambil cari mana nak masuk ke redwoods. Masa ni masih hujan renyai dan memandangkan hari ni sepanjang hari hujan jadi air tasik di depan kami telah melimpah menghampiri jalan dan pemandangan tasik sangat kelabu. Seram jugak.


Di sebelah kanan kami nampak ada hutan. Tertanya juga adakah di situ masuknya. Tapi tak nampak pula ada kereta atau orang datang pun. Kami cuba redah dan tengok. Kami tak masuk dalam sangat sebab hujan renyai buatkan suasana nampak agak seram dan seperti tidak berapa selamat. Tambahan dengan kesejukan yang amat sangat rasa tak sanggup nak masuk ke dalam hutan.


Kami sedikit kecewa dan putus harap sebab tak jumpa dan tak dapat tengok the redwoods. Jadi dengan perasaan tidak puas hati, kami kembali ke kereta dan beredar dari sini untuk teruskan penjalanan. Tambahan hari semakin lewat, perjalanan kami masih terlalu jauh, dikhuatiri akan sampai terlalu lewat di destinasi akhir kami hari ini.


Masa dalam perjalanan keluar dari sini menuju Rotorua, tetiba kami nampak semula signage Redwood besar yang kami nampak awal tadi. Kemudian nampak beberapa kenderaan lain juga masuk ke situ. Jadi kami pun masuk situ dan akhirnya jumpa juga lokasi sebenarnya. Berjaya juga misi kami nak jejak kaki ke sini.

Masa kami sampai sini masih hujan renyai. Dari parking kereta kami jalan kaki masuk ke dalam. Memandangkan hari dah petang jadi kami tidak explore terlalu dalam. Ikut hati nak saje explore tapi takut drag masa terlalu lama.



Masa kami masuk ke dalam nampak satu couple ni tengah ambil gambar. Yang best awek tu pakai baju coat warna merah. Terus terbayang sebiji macam dalam cerita fairy tale 'The Red Riding Hood', kisah budak perempuan pakai coat merah dan serigala tu.



Redwoods Forest ni terletak di pinggir Rotorua dan jarak hanya 5 minit saje dari pusat bandar Rotorua. Keluasan kawasan redwoods adalah 15 ekar dan merupakan sebahagian daripada Hutan Whakarewarewa yang luasnya 55,000 ekar.



Whakarewarewa Forest terkenal dengan aktiviti rekreasi luar seperti mountain bike, menunggang kuda, hiking dan trekking. Pelbagai jenis pokok eksotik dan semulajadi terdapat di dalam hutan ini.



Namun yang paling menarik perhatian kami adalah pokok di hutan ini yang telah hidup beratus tahun. Pokoknya besar dan sangat tinggi. Dikenali dengan redwood kerana pokok ini nampak berwarna merah. Menarik kan. Kebetulan suasana agak suram kesan cuaca mendung dan hujan, jadi effect merah tu agak lebih ketara.



Hutan di sini agak bersih dan cantik. Tiada semak samun seperti di negara kita. Jangan risau dengan binatang berbisa seperti ular, lipan, kala jengking atau binatang merayap sebab kebanyakan tanah di New Zealand ni bercampur dengan sulfur akibat aktiviti gunung berapi sejak zaman dulu. Jadi tanah ini tidak sesuai untuk habitat binatang berbisa.



Terdapat juga kanopi dan jambatan gantung di sini. Boleh jalan sepanjang laluan jambatan gantung untuk explore hutan ini.



Ada beberapa trek ditawarkan yang dekat dan jauh. Cas dikenakan untuk aktiviti ini.



Pada malamnya akan dipasang lampu yang diletakkan di atas pokok. Aku rasa mesti cantik pemandangan pada waktu malam. Rasa rugi juga tak dapat spend masa lebih lama di sini. Takpelah janji dapat tengok suasana dan keadaan hutan ini pun kira dah cukup.


Kami tak lama sangat berada di sini. Lepas ambil gambar dan memerhati sekitar kami kembali ke kereta dan sebelum tu singgah di I-Site sambil mencari fridge magnet kalau ada.



Tak jumpa apa yang kami cari, jadi kami pun beredar dari sini.



Perjalanan seterusnya adalah kembali semula ke Auckland dengan jarak 233 kilometer dan dijangka mengambil masa 3 jam lebih.

Sebenarnya rasa menyesal juga sebab aku pilih malam ni balik dan bermalam di Auckland. Sepatutnya kami bermalam saje di sini atau yang berdekatan. Banyak tempat menarik lain yang boleh kami lawati di sekitar sini. Tapi tempat penginapan dah cas jadi kami terpaksa juga balik ke Auckland. 

Sebelum sampai bandar Auckland, tengok minyak tinggal sikit. Risau juga takut kehabisan minyak di tengah jalan. Aku minta wife google stesen minyak berhampiran. Jadi aku ikut saje google map bawa ke kawasan yang agak sunyi juga di tengah malam. 

Tawakal dan redah saje. Alhamdulillah jumpa juga setesen minyak yang google bawa kami di stesyen Mobil Mercer. Lega rasanya dapat topup minyak. 

Selepas lebih 3 jam perjalanan kami selamat sampai di Columbia Apartment, Whitaker Place. Satu masalah bila tempat penginapan di tengah bandar ialah parking. Masa sampai kami parking sekejap di depan apartment kemudian settle kan hal check-in.


Lepas hantar beg ke bilik, aku turun semula untuk cari parking. Apartment ni takde sediakan tempat parking. Masa check-in tadi, tanya front desk dia suggest park di satu tempat ni. Masa cari tempat yang di suggest tu, terjumpa parking berhampiran dengan apartment dan cas yang dikenakan agak mahal juga NZD10.60 termasuk GST untuk tempoh 12 jam. Malas nak fikir panjang, parking saje di sini dan bayar saje walaupun mahal.


Selesai hal parking, terus balik bilik. Wife tengah sibuk kemas beg. Lepas settle apa yang patut terus tido. Badan dah letih sangat. Tilam melambai-lambai. Bersambung hari ke-tiga belas. 👈

Perjalanan kami hari ni

Perbelanjaan hari ke duabelas :-
  1. Hobbiton Movie Set - NZD84.00 x 2 = NZD168.00
  2. Hobbiton T.Shirt - NZD50.00
  3. Mug - NZD10.00
  4. Postcard & Stamp - NZD7.00
  5. Don Kebab - NZD19.80
  6. Petrol Mercer - NZD30.00
  7. Colombia Apartment - NZD60.18
  8. Parking - NZD10.60
Total - NZD355.58


No comments:

Post a Comment