Total Pageviews

New Zealand : South Island - Day 2

Summer Road Trip - Christchurch, The Famous Sheffield Pie Shop, Lake Lyndon, Castle Hill, Lake Pearson, Arthur's Pass, Devil Punchbowl Waterfall, Otira Viaduct Lookout Point & Hokitika Glow Worm Dell


Rabu - 21.11.2018


Di hari ke-dua, seawal pukul 3 pagi kami bangun. Bersiap dan berkemas sikit. Kami ambil shuttle bus pukul 4.30 pagi. Bayar tambang di lobby hostel harga NZD4.00 seorang. Bas datang tempat pada masanya. Perjalanan lebih kurang 15 minit termasuk ambil penumpang di hotel lain.

Sampai di Domestic Terminal, kami terus ke bahagian check-in Jetstar. Kena self check-in di kiosk yang disediakan di hadapan kaunter. 


Masukkan nombor booking dan ikut arahan seterusnya sehingga keluar boarding pass dan baggage tag.




Selesai self check-in, baru pergi ke kaunter untuk drop baggage. Berdebar sikit sebab baggage melebihi had. Hand carry pulak, nasib baik Jetstar hanya timbang bag-pack kami saje. Beg kertas yang kami bawa tak ditimbang. Padahal beg kertas tu berat. Alhamdulillah dipermudahkan lagi.


Bag-pack di seal selepas ditimbang

Selesai drop beg, kami cari cafe untuk breakfast. Bangun awal pagi, perut dah rasa lapar. Nampak satu kedai ni ada jual waffle, kami beli satu harga NZD12.00 share makan berdua. Masa tengah makan baru nampak Mc Donalds. Pastu terfikir, patut beli fillet burger, kenyang sikit. 


Lepas makan terus ke Immigration yang cepat dan simple. Moto Immigration di sana 5 minit saje. Baguskan. Kami ambil 1st flight pagi tu. Ramai juga orang Malaysia ambil flight sama. Lebih kurang 20 minit lagi time berlepas baru kami ke gate untuk boarding. 


Flight berlepas mengikut jadual pukul 6.35 pagi dari Auckland Domestic Airport menuju ke Christchurch Domestic Airport. Perjalanan mengambil masa 1 jam 25 minit. Sepanjang perjalanan aku tido saje. Mengantuk sangat. Malam tadi tak dapat tido sebab terlampau sejuk.


Kami selamat sampai di Christchurch Airport pukul 8.00 pagi. Sampai saje terus turun bawah ambil baggage. Takde langsung kena lalu immigration. 



Lepas ambil beg terus cari telefon free untuk call company yang kami sewa kereta. 


Selepas maklumkan ketibaan kami di airport, kami diminta keluar ikut Exit 2. Sebuah van akan pick up kami. Tak sampai 5 minit tunggu, van sampai jemput kami dan bawa ke Snap Rentals Office. 



Dalam 5 minit dah sampai. Terus ke kaunter untuk urusan pembayaran dan perjanjian sewa kereta. Kami sewa kereta Toyota Yaris Hatch (Auto) dengan syarikat Snap Rentals selama 9 hari dengan harga NZD503.50 termasuk stress free insurance package yang cover semua sekiranya berlaku apa-apa. Harga ni termasuk GPS sekali. Untuk harga lebih murah, sebaiknya tak perlu ambil GPS. Tak guna sangat pun.  


Setelah selesai pembayaran dan sign agreement, kami terus ke kereta. Kereta yang kami dapat takde baru sangat. Ada calar balar juga sikit. Biasalah, bila ambil insuran yang cover semua selalu dapat kereta macam ni. Simpan beg dalam kereta dan bermula road trip kami di New Zealand.


Sebelum ke destinasi pertama, pergi ke PAKnSAVE dulu. Beli sikit makanan dan bahan masak. Set GPS PAKnSAVE di Riccarton yang jarak hanya 15 minit. Had laju jalan bandar dan kediaman 40 ke 50km/h. Sila ikut had laju ditetapkan. Takut kena saman.

Sampai di PAKnSAVE cari parking dan masuk dalam beli barang. Nampak menarik tengok buah-buahan dan sayur-sayuran di sini. Nampak segar semuanya. Harganya juga agak murah bagi mereka. 



Aku beli apa yang telah disenaraikan awal saje.

 

Selesai membeli terus ke kereta untuk meneruskan pengembaraan. Set GPS ke destinasi pertama tapi GPS tak boleh tekan abjad 'A'. Tekan-tekan tak boleh. Kami telefon Snap Rentals tapi dia minta kami telefon nombor lain. Akhirnya kami guna google map pergi ke Snap Rentals Office semula.

Sampai di Snap Rentals Office, report yang GPS rosak. Dorang bagi GPS lain, baru boleh guna. Cuma yang lecehnya, GPS tak boleh terus set nama tempat attraction yang kami nak pergi. Kena ada alamat, nama jalan atau bandar. Leceh pulak. Aku taip West Coast baru boleh. 

Disebabkan isu GPS, kami terlewat hampir 1 jam dari jadual yang sepatutnya. Dahlah itinerary aku penuh hari ni. Nampak bayangan tak dapat nak cover semuanya.

Pengembaraan kami di South Island selama 9 hari mengikut arah lawan jam bermula dari Christchurch menuju ke West Coast, turun ke bawah kemudian ke sebelah barat dan kembali semula ke Christchurch.


Destinasi kami hari ni melalui State Highway 73 menuju ke West Coast yang dikenali nama West Coast Road. Masuk highway had laju 100km/h. Dalam perjalanan, persinggahan pertama kami di The Famous Sheffield Pie Shop untuk beli pai. Lebih kurang 50km atau 40 minit perjalanan dari Snap Rentals. 

Pada mulanya aku ingat nak cancel saje singgah kedai pai ni sebab kesuntukan masa, kalau nak cover semua tempat yang nak pergi hari ni. Tapi bila dah lalu kawasan Sheffield, tak dapat nak tolak aura tu. Secara tak sengaja tersinggah juga. 


Kami singgah sekejap tapau. Kemudian sambung semula perjalanan. 




Semakin jauh perjalanan, kami mulai disajikan dengan pemandangan cantik sepanjang jalan. Maka bermula episod berhenti tepi jalan dan ambil gambar. Inilah salah satu punca perjalanan menjadi lambat. 


Mula-mula nampak banyak bunga kuning di tepi jalan di kawasan Springfield. Berhenti kejap ambil gambar. Kemudian kembali teruskan perjalanan semula.


Tiba-tiba nampak pulak ladang lembu. Berhenti sekejap ambil gambar. Lembu New Zealand popular. Wajib ambil gambar sebagai bukti dah sampai walaupun banyak lembu di Malaysia dan tak pernah heran pun selama ini. 


Jalan ke depan sikit nampak pula ladang kambing biri-biri. Ini lagi lah wajib berhenti ambil gambar. Kambing biri-biri New Zealand kan top. Comel pulak tu. Untung kambing ni dapat tinggal di ladang yang hijau, udara yang segar dan negara yang cantik.


Tapi yang tak bestnya, kambing ni bila kami datang saje terus lari jauh ke dalam ladang. Masalahnya, belum lagi nampak kami. Kereta berhenti terus dia lari. Bila kami keluar lagi jauh kambing ni lari. Hampeh betullah kambing ni semua. Beza pulak dengan lembu. Lagi dia datang dekat. 

Ayuh, sambung semula perjalanan. Tak lama kemudian kami berhenti lagi di satu lookout point. Cuaca waktu ni mendung dan hujan. Di sini kami lihat view jalan bengkang bengkok di tepi gunung yang kami lalui tadi dengan pokok renek hijau dan bunga kuning di lereng gunung. 



Selepas bergambar kami sambung semula perjalanan ke Lake Lyndon. Hanya singgah sekejapLake ini kecil saje. Betul-betul di tepi highway. Boleh rehat dan luruskan pinggang sambil menikmati pemandangan serta bergambar.


Tasik ini selalu beku pada musim sejuk disebabkan ketinggian dan lokasinya di luar sempadan Southern Alps. Popular untuk penangkapan ikan rainbow trout kerana ikan trout banyak hidup dalam tasik ini disebabkan kaya dengan sumber makanan. Tasik ini sebahagian besarnya dikelilingi Korowai/Torlesse Tussocklands Park dan Acheron River mengalir dari tasik ke Rakaia River. Gunung Lyndon terletak di sebelah barat tasik dan Castle Hill Peak terletak di utara tasik.  

Tak lama di sini, kami sambung semula perjalanan. Perjalanan kami kali ini disajikan dengan pemandangan gunung ganang dan salji di puncak. Sangat cantik. Syukur Alhamdulillah, pada musim panas kami diberi rezeki melihat pemandangan salji lebih-lebih lagi dipuncak. Pemandangan tetap cantik walaupun cuaca mendung. Bayangkan kalau cuaca cantik, langit biru. Mesti berganda-ganda cantiknya. 



Betullah seperti yang didengar dan dikata. Pemandangan kiri, kanan, depan dan belakang jalan di New Zealand ni memang cantik. Sangat memukau mata. Tak berhenti menyebut SubhanaAllah sebab kagum dengan keindahan ciptaanNya. Pemandangan landskap yang hijau dengan gunung ganang dan bukit bukau betul-betul memukau pandangan mata.



Masih leka disajikan dengan pemandangan indah dalam destinasi kami menuju ke Castle Hill yang jaraknya tidak jauh dari Lake Lyndon tadi. Hanya 12 km saje. 



Lebih kurang 10 minit kemudian, kami sampai di Castle Hill. Park kereta di tempat yang disediakan. Kemudian kena jalan kaki masuk ke dalam lebih kurang 10 ke 15 minit. Cuaca semakin baik di sini.



Sampai di tempat batu-batu tu hiking sikit kalau nak explore keseluruhan.



Castle Hill ni terletak berhampiran pergunungan Korowai-Torlesse Tussocklands Park dan Craigieburn Forest Park. Agak besar tempat ni. Batu-batu kapur yang terletak di atas bukit dan dikelilingi dengan gunung ganang. Tempat ini diberi nama Castle Hill oleh pelancong dari Eropah. Dinamakan Castle Hill kerana pelbagai bentuk batu kapur yang unik ada di sini. Tempat ini juga kaya dengan sejarah Maori.



Castle Hill menjadi lebih popular setelah digunakan sebagai lokasi penggambaran filem The Chronicles of Narnia: The Lion, The Witch and The Wardrobe. Boleh ikut trek jalan kaki yang ada untuk explore keseluruhan kawasan.


Nampak tak ade rupa kepala gajah.

Yang ni pun sama.

Kami tak teroka tempat ni secara keseluruhan. Hanya sebahagian saje sebab akan memakan masa lebih lama. Jadi aku ajak wife aku gerak ke tempat seterusnya. Itu pun setelah aku ajak beberapa kali. Ajak sekali, jalan lepas tu dia melencong naik atas, ajak lagi dia ke arah lain pula. 




Setelah puas ajak, baru dia menuju ke arah parking dan baru gerak ke destinasi seterusnya. 



Masa baru saje mulakan perjalanan, nampak pula signage Castle Hill Village. Menarik juga. Jadi kami belok ke kiri masuk ke kawasan Castle Hill Village.



Kami hanya pusing dan melihat sekitar kawasan dari dalam kereta. Cantik rumah di kawasan ini. Untungnya mereka dapat tinggal di sini dengan pemandangan gunung ganang yang indah. Mesti jiwa sentiasa tenang dan mendamaikan.



Tak lama di sini, kami keluar dari kawasan Castle Hill Village. Baru jalan sikit, nampak pulak banyak pokok bunga kuning dari tepi jalan. Menarik. 


Kami berhenti ambil gambar. Ingatkan boleh masuk dalam tapi tak boleh sebab berpagar dan berkunci. Jadi ambil gambar di luar saje.



Sekejap saje di situ, kami sambung semula perjalanan. Tak lama kemudian, nampak signboard Cave Stream Scenic Reserve. Kami tak singgah. Pada awalnya, wife minta masukkan tempat ni sebab nampak cantik dan menarik. Tapi disebabkan banyak tempat aku masukkan untuk hari ini dan takut tak sempat jadi aku keluarkan cave ni dari senarai.


Di kiri dan kanan sepanjang perjalanan, pemandangan sangat cantik. Sangat memukau. Kebetulan lalu satu selekoh ni. Nampak ada kereta berhenti. Kami pun berhenti tengok ape yang ada. Rupanya ada sungai dan fly over. 



Kami sambung lagi perjalanan. Selepas beberapa minit, sekali lagi kami disaji dengan pemandangan gunung ganang yang sangat cantik. 



Pada pendapat aku, sesiapa yang buat road trip di South Island, sila masukkan State Highway 73 ke West Coast sebahagian laluan anda. Pemandangan sepanjang jalannya tak akan menjemukan mata yang memandang. Terlalu indah bila dinikmati dengan mata sendiri.



Kembali semula cerita perjalanan kami, tak lama kemudian kami nampak ada tasik dan kami berhenti lagi di Lake Pearson. Lake ini juga boleh dilihat dari tepi jalan saje. 


Ada disediakan toilet dan tempat camping di sini. Pemandangan sekeliling sangat cantik dengan gunung ganang dan tasik. 



Boleh dijadikan tempat persinggahan setelah penat memandu dan menikmati makanan sambil layan pemandangan indah. Lake Pearson juga merupakan antara lokasi paling sesuai untuk melihat burung. 


Selepas bergambar berlatar belakangkan gunung, tasik dan jalan raya, kami sambung semula perjalanan dan mula masuk ke kawasan Arthur's Pass



Dipanggil Arthur's Pass kerana ia merentasi Arthur's Pass National Park dan view di sini adalah gunung ganang.



Perjalanan masih jauh. Wife sebagai co-pilot menjalankan tugas menangkap gambar pemandangan menarik sepanjang jalan. Memang tak putus-putus ambil gambar. Rasa rugi pula kalau dibiarkan hanya menikmati dengan mata saje. Bila pulang nanti, sekurangnya ada gambar untuk ditatap jika rindu.




Bagi menjimatkan masa kami hanya makan roti dan keropok yang dibeli di ParkNSave pagi tadi dalam kereta untuk isi perut. Makan, menikmati pemandangan sambil dengar CD lagu-lagu retro yang aku bawa. Memang layan!




Masa dalam perjalanan, tiba-tiba kami nampak bunga lupin. Kebetulan ada ruang sikit untuk park kereta. Diingatkan, kalau nak berhenti jangan berhenti sembarangan. Pilihlah kawasan berhenti yang selamat, sesuai dan tidak berbahaya serta menganggu pengguna jalan raya yang lain.




Nak ambil gambar dengan lupin ni kena turun sikit. Nampak ada jalan turun. Apa lagi, kami pun turun dan bergambar sakan dengan bunga lupin. Ini merupakan kali pertama kami nampak bunga lupin in real di New Zealand. So terasa excited sebab antara highlight trip ini adalah bunga lupin. Sebab tu juga kami ke New Zealand pada musim summer.



Semua lupin di sini berwarna purple. Di sebelah sana pula ada Waimakariri River yang agak kering. Kalau ada air mesti lagi cantik ditambah dengan view gunung ganang di belakangnya. 


Di bahagian yang lain pula ada flyover highway yang merentasi sungai ini. Tak sangka bunga lupin ni wangi. Nampak macam tumbuhan liar yang tumbuh bersama semak samun saje.



Selepas bergambar kami sambung semula perjalanan. 



Kali ni terus ke Devil Punchbowl Waterfall. Kami berhenti di i-Site Information Centre dulu sebab wife aku nak pergi toilet. Ambil maklumat sikit dalam ni dan ada nampak fridge magnet, beli satu harga NZD8.90. 



Dari i-Site Information Centre, kena drive sikit ke Devil Punchbowl Waterfall Car Park. Dari car park kena jalan kaki masuk ke dalam lebih kurang 20 minit untuk sampai ke air terjun.



Beberapa minit jalan kaki, jumpa jambatan pertama menyeberangi Bealey River. Cantik dan jernih air sungainya. 



Jalan kaki ke depan lagi. Kemudian lalu jambatan ke dua menyeberangi Devils Punchbowl Creek. 



Dari sini boleh nampak Devils Punchbowl Waterfall dari jauh. 


Jalan lagi masuk ke dalam melalui hutan Beech Forest.





Kemudian kena mendaki sikit dan naik anak tangga.



Bukan sikit anak tangga, tapi anak tangga yang banyak dan tinggi. Fuh! Mencabar juga naik tangga ni. Menguji stamina pada hari pertama pengembaraan. 




Setelah puas mendaki dan naik anak tangga, baru sampai di platform yang disediakan untuk melihat air terjun setinggi 131 meter lebih dekat. 


Boleh turun dan pergi lebih dekat ke air terjun tu. Tapi kena berhati-hati sebab berbatu. Kami tak pergi. Hanya tengok air terjun daripada platform saje. 


Selepas bergambar dan menikmati keindahan air terjun, kami ambil jalan yang sama kembali ke kereta. 




Ikut plan aku nak ke Bridal Veil Fall lepas ni. Air terjun kedua yang ada di sini. Kena melencong sikit ambil trek lain. 



Tapi kami batalkan niat tu sebab tak cukup masa. Kami dah terlajak jauh dari jadual asal.




Silap aku buat itinerary terlalu padat dan masa terlalu dekat antara satu tempat dengan tempat lain. Wife ada tegur, tapi aku yakinkan sempat. Pengajarannya, kalau buat itinerary New Zealand sila ambil kira masa berhenti dan persinggahan di tempat yang tidak dijangkakan. Lagi-lagi orang macam kami yang suka bergambar dan mengambil masa menikmati pemandangan.


Sambung semula perjalanan, kami masih melalui State Highway 73. Persinggahan seterusnya ke Otira Viaduct Lookout Point. Jarak dekat saje tak sampai pun 6 km. Dari highway kena masuk kanan untuk ke Otira Viaduct Lookout Point. Lookout Point ni off sikit dari jalan.

Di sini boleh lihat Jambatan Otira yang panjangnya 440 meter dengan ketinggian 35 meter yang merupakan sebahagian State Highway 73. Jambatan ini dibina bagi menggantikan jalan yang sempit dan juga kerana tanah di situ tidak stabil, terdedah pada bahaya, sering berlaku pengelongsoran tanah serta penutupan jalan.


Di sebelah lain pula, kita dapat lihat view highway yang bengkang bengkong dicelah gunung ganang. Cantik. 


Di sini juga ada banyak burung Kea yang 'sangat mesra dengan pengunjung' dan 'nakal'. Burung kea suka hinggap di kereta dan suka mematuk getah di pintu kereta. Dilarang memberi makan kepada burung ni demi menjaga habitatnya. Dikhuatiri makanan yang diberi boleh menyebabkan burung ini sakit atau mati.


Selesai bergambar dan menikmati view dari sini, kami sambung semula perjalanan melalui Jambatan Otira. 


Di depan nanti akan lalu jalan satu lorong. Kena berhenti di traffic light sehingga bertukar hijau bagi memberi laluan kenderaan dari arah bertentangan melepasi laluan selorong tadi.


Air dari gunung

Ikut itinerary, selepas ni kami ke Punaikaki untuk visit Pancake Rock dan Blowholes. Memandangkan hari sudah agak lewat, aku nak skip Pancake Rock dan Blowholes. Kalau gerak sekarang dijangka akan sampai hampir senja.


Wife tak berapa puas hati dan salahkan aku buat itinerary terlampau padat dengan lokasi jauh-jauh. Kalau ikut plan mula-mula dulu, kami akan bermalam di Punaikaki atau Greymouth. Tapi aku tukar sebab nak ke satu tempat di Hokitika pada sebelah malam. Kalau bermalam di Greymounth atau Punaikaki, esoknya sampai di Hokitika siang. Jadi tak sesuai pergi ke tempat yang aku nak pergi tu.



Bila tengok wife kurang puas hati, aku set juga pergi ke Pancake. Perjalanan dijangka mengambil masa 1 jam 50 minit dengan jarak 133 km. Jauhkan. Belum tambah tersalah masuk simpang. Akan bertambah estimate masa untuk sampai. 



Bila wife tengok aku beberapa kali silap jalan dan masa sampai ke Punaikaki makin lambat dan time tu dah gelap, dia minta aku tukar balik laluan terus ke Hokitika sebelum kami terlajak lebih jauh. Kalau sampai sana gelap, confirm tak boleh tengok apa-apa. Tempat penginapan pula dah booked dan tak boleh cancel. Kalau tak boleh tukar.


Jadi kami tukar laluan terus ke Hokitika. Tengok meter minyak tinggal setengah, aku singgah di Greymouth top up minyak NZD30. Harga minyak di New Zealand ni berbeza-beza antara satu station dengan station lain walaupun jarak mereka dekat.


Malam ni kami akan bermalam di Hokitika Holiday Park. Memandangkan kami akan sampai lewat selepas office hour pukul 8.00 malam, aku minta wife telefon holiday park untuk maklumkan kelewatan kami. Pihak holiday park beritahu, mereka akan tinggalkan kunci di kabin kami dan minta ambil map lokasi kabin yang ditampal di pintu office.

Bila settled hal check in dan kunci kabin, kami tukar plan terus ke Glow Worm Dell sebelum ke Hokitika Holiday Park. Tempat ni yang aku nak pergi sangat pada sebelah malam.  

Cuaca waktu ni nampak cantik sebab langit biru dan cahaya matahari terang. Sunset mesti cantik. Kalau dapat sampai ke beach masa sunset mesti best. Waktu sunset hari ni pukul 8.30 malam. 

Dekat nak sampai, aku singgah sekejap di pantai mana aku tak pasti. Ada tinggal sisa-sisa sunset. Tetap cantik. Wife ada beritahu yang sunset di Hokitika Beach antara tempat sunset yang cantik di New Zealand.


Kami sampai di Glow Worm Dell pukul 9.00 malam. Kalau datang dari arah Greymounth, ada signboard di sebelah kiri. Park kereta di ruang parking tepi jalan. Jalan kaki masuk ke dalam cuma satu ke dua minit saje. Dekat sangat. Suasana gelap gelita. Sila gunakan torch light atau handphone. Dari luar tadi, sunyi sepi takde orang. Sampai dalam, rupanya dah ramai orang di sini.


Dalam suasana gelap baru boleh nampak glow worm atau cacing bercahaya. Macam kunang-kunang. Cuma yang ni spesis cacing yang tergantung di batu cave dan mengeluarkan cahaya.

Titik-titik putih tu la glow worm

Ada banyak juga kalau tengok dengan mata kasar. Bila ambil gambar nampak hitam. Kena set low shutter dan ISO baru boleh nampak. Tapi dapat nampak sikit saje. Jadilah.

Yang titik-titik putih/hijau tu glow worm.

Di sini kita boleh tengok free glow worm di New Zealand. Di Waitomo boleh nampak banyak tapi kena ikut tour dan harga tour agak mahal. Satu lagi tour di Te Anau. Free hanya di Hokitika dan Fox Glacier yang aku tahu. Dengar citer yang di Fox Glacier lebih menarik tapi jauh sikit.

Glow worm antara benda yang aku nak sangat tengok. Sebab, pada aku inilah antara ciptaan Allah yang amat menakjubkan. Yang tak pernah terfikir di minda sebelum ini adanya Allah cipta makhluk seperti ini. Bila tengok gambar dan akhirnya dapat lihat sendiri dengan mata, SubhanaAllah, hanya itu yang mampu aku ucapkan dan gambarkan.

Lepas tengok glow worm, kami gerak ke Hokitika Holiday Park untuk beristirehat setelah lebih 12 jam berjaga. Bayangkan, bangun pukul 3 pagi, pukul 10 malam baru ke holiday park. Harga untuk semalam NZD70.00




Sampai kabin, kemas sikit dan masak nasi brahim makan bersama salad sebagai ulam. Hanya itu yang mampu dibuat untuk makan malam kami. Penat dan letih, tak larat nak masak. Janji dapat isi perut sudah memadai.


Lepas makan dan selesai apa yang sepatutnya, kami terus beradu. Esok kena keluar awal pagi lagi. Sambung semula perjalanan esok di hari ke tiga. 👈

Perjalanan hari ni

Perbelanjaan hari kedua:-
  1. Airport Shuttle - NZD4.00 x 2 = NZD8.00
  2. Waffles - NZD12.00
  3. Snap Rental - NZD503.50
  4. PaknSave - NZD42.75
  5. Sheffield Pie Shop - NZD8.50
  6. Fridge Magnet - NZD8.90
  7. Petrol - NZD30.00
  8. Hokitika Holiday Park - NZD70.00
Total - NZD683.65


No comments:

Post a Comment