Total Pageviews

South Korea : Jeju - Day 2

Trip Memburu Autumn - Jeju : Samyang Black Sand Beach, Hamdeok Seoubong Beach, Gimnyeong Seonsegi Beach, Woljeongri Beach, Manjanggul Cave, Sangumburi Crater & Seongeup Folk Village


Ahad - 30.10.2016


Hari kedua masih di Jeju Island. Lepas breakfast, seawal pukul 6.45 pagi keluar untuk teruskan misi hari ni. Cuaca hari ini berawan. Angin agak kencang bertiup. Dari hotel kelihatan ombak kuat menghempas ke pantai. Cuaca juga agak sejuk hari ini.

Destinasi pertama ke Samyang Black Sand Beach. No. GPS. 7283991. Tapi bila key in nombor GPS ni takde. Cari dalam buku, nombor yang sama. Ikhtiar terakhir aku panggil oppa yang jaga front office hotel minta tolong key in kan GPS dalam tulisan hangul. Selesai masalah. Bismillah, ayuh mulakan perjalanan.

Hari kedua sudah dapat biasakan diri memandu di sebelah kiri dan mula faham sistem jalan raya di sini. Dengan bangganya selamat sampai ke destinasi tanpa kesilapan. 


Sedikit tip memandu di Jeju, kalau kereta banyak, jalan tu ada tiga lane better ambil lane tengah. So kalau nak masuk simpang kiri senang nak masuk lorong untuk masuk simpang. Sebab lampu hijau terus dan masuk kiri kadang tak sama. Kalau ambil lorong paling kanan, bila dah dekat traffic light susah nak masuk lorong tengah. Kalau ada kereta nak masuk kanan terpaksa kena jalan nanti. Jadi untuk keselamatan ambil lane tengah.

Kembali semula pada catatan perjalanan di hari ke dua. Samyang Black Sand Beach tak begitu terkenal dikalangan pelancong. Tak ramai pelancong yang datang ke sini. Rasanya kitorang je kot orang luar. 



Pantai ni biasa-biasa je. Cuma pasirnya saje yang berbeza berwarna hitam. Begitu juga batu-batu di sini pun berwarna hitam. Walaupun hitam tapi pasirnya lembut dan halus. Pantainya agak kotor. Mungkin sebab lepas hujan dan angin kuat kot. 


Kitorang saje nak tengok apa yang ada di sini. Jauh jugak kitorang berjalan dari tempat parking sampai ke hujung sana. 

Kelihatan Gunung Hallasan dari sini


Kat hujung ni ramai pulak orang tempatan yang sedang memancing. Mungkin di sini lubuk ikan. Sempat jugak menyibuk tengok dorang semua ni tengah memancing. Umpan dan joran dorang nampak macam canggih juga. Kitorang datang awal pagi, jadi tak ramai lagi orang yang datang ke sini selain para pemancing. 




Selesai bergambar dan menikmati suasana pagi di pantai ini kitorang pun gerak ke destinasi ke dua iaitu Hamdeok Seoubong Beach. No. GPS. 7283393.




Pantai Hamdeok ni terletak di timur Bandar Jeju. Pantainya lebih cantik dari pantai yang kitorang pegi sebelum ni tadi. Airnya berwarna biru cantik dan jernih bersih. Di pantai ni baru nampak ramai pengunjung yang datang. 



Kalau jalan ke depan sikit ada sebuah jambatan melengkung berwarna hitam. Batuan di sekitarnya pun berwarna hitam. Nampak cantik dan menarik.







Dah puas menikmati pemandangan pantai yang cantik kitorang terus gerak ke destinasi seterusnya. 

Destinasi ke tiga hari ni ke Gimnyeong Seonsegi Beach. Kali ni no telefon yang kitorang gunakan untuk GPS tak keluar jugak. Cari kat broucher Jeju takde nombor GPS pantai tu. Cari pulak dalam buku tourist guide yang pihak Lotte bagi nombor sama dengan kitorang punya. Pun tak boleh trace. Last last dah takde pilihan terpaksa cari orang Korea untuk masukkan nama pantai tadi tu dalam tulisan hangul sekali lagi. Settled. Janji selamat sampai ke destinasi.



Pantai ni pun nampak cantik. Air lautnya yang biru jernih. Pasir pantainya yang putih. Nun di hujung sana kitorang nampak wind turbine. Cuba nak mendekati tapi rupanya jauh lagi entah di mana lokasinya terletak. Ada juga tapak perkhemahan di pantai ni. Terasa tenang dan nyaman suasana di sini.





Selesai menjelajah sepanjang pantai ini kitorang kembali ke kereta untuk teruskan ke destinasi lain pulak. 

Destinasi ke empat untuk hari ni masih ke pantai iaitu Woljeongri Beach. Kali ni kitorang memang takde nombor GPS untuk pantai ini. Kat dalam tourist guide ke atau broucher Jeju pun takde nombor GPS. Jadi untuk menyelesaikan masalah ini wife aku berjaya menahan seorang warga Korea untuk membantu masukkan nama pantai tu dalam tulisan hangul sekali lagi dalam GPS. Nasiblah jadi mangsa kitorang. Janji selesai masalah. Malu bertanya sesat jalan. Kenalah rajin bertanya bila di negara orang. Tebalkan muka je.

Pantai Woljeongri ni pun nampak cantik pemandangannya. Dengan pasir putih dan laut yang biru tenang. Kitorang singgah kejap je di pantai ni. Tengok-tengok sikit dan ambil gambar je. Mungkin sebab dah banyak sangat pegi pantai hari ini. Rasa macam dah muak pulak. Lebih kurang sama pun je. Tambahan cuaca tak cukup cerah langit tak berapa biru. Ombak pun tak cukup tenang.




Di sepanjang jalan di pantai ini ada banyak deretan kedai dan kafe yang menarik. Kitorang hanya singgah di kedai GS25 beli nasi, seaweed dan strawberry milk untuk makan tengahari. Harga KRW 3,450. Makan dalam kereta saje on the way ke destinasi kelima.


Sepatutnya kalau ikut itinerary destinasi kelima ke Yongcheon Cave. Tapi bila sampai cave ni tengok sepi je. Kitorang masuk sampai tayar kereta langgar taik apa entah. Abis busuk tayar. Pegi kat satu kedai makan tanya betul ke ni Yongcheon Cave. Dorang kata betul. Tapi rupanya cave ni dah tutup. Bukannya tutup sebab waktu operasi dah tamat tapi ditutup untuk pengunjung.

Jadi teruslah ke Manjanggul Cave. No. GPS. 7834818. Sampai di parking kereta kat Manjanggul ni baru perasan tayar kereta langgar taik. Busuk!

Masuk ke Manjanggul Cave kena bayar entrance fee KRW 2,000 seorang. Gua Manjanggul telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Jadi wajib pergi.




Gua Manjanggul adalah salah satu terowong lava yang terbentuk akibat laluan magma yang mengalir keluar dari bumi semasa berlakunya letusan gunung berapi. Setelah magma keluar mengalir, terowong ini menjadi kosong dan menjadi terowong lava terbesar di dunia.


Gua ini turut mempunyai pelbagai struktur yang menarik di dalamnya termasuk stalagmit lava sebesar 70cm dan terowong tiub lava.



Hanya 1 km dari 13,422 meter gua ini dibuka kepada pelancong. Suhu di dalam terowong antara 11 hingga 21 darjah celcius. Memang sejuk. Terdapat tiang-tiang batu dan stalactite di dalam terowong dengan menunjukkan ciri-ciri topograafi gua. Yang paling menarik batu yang berbentuk penyu yang dikatakan berbentuk seperti Jeju Island.



Hanya cahaya lampu malap menerangi sepanjang terowong gua ini. Jarak perjalanan untuk sampai ke hujung gua ialah 1 kilometer. Pergi dan balik jadi 2 kilometer. Bertabahlah dengan harapan segala lemak degil yang tersembunyi di bawah kulit akan terbakar.


Sekiranya penat dipertengahan gua ada disediakan bangku untuk berehat. Tapi takde sorang pun yang berhenti kecuali yang nak bergambar saje. Semua masih gagah untuk meneruskan perjalanan hingga ke hujung.

Kalau kita betul-betul menikmati apa yang ada di gua ini pasti takkan terasa yang perjalanan tu jauh. Tanpa kita sedar dah sampai ke destinasi.



Setelah berjalan sepanjang 1 kilometer, di hujung gua ini akan nampak seperti menara lava besar. Kelihatan lava tersebut seperti sedang mengalir keluar dari sebuah lubang dan kemudian keras membeku. SubhanAllah. Kagum dengan ciptaan dan kebesaranNya.


Kitorang tak lama kat hujung gua ni. Bergambar sikit lepas tu patah balik ke pintu gua. Ingat, perjalanan 1 kilometer lagi.

Setelah selesai menjelajah seluruh terowong di Manjanggul Cave kitorang pun gerak terus ke destinasi ke enam untuk hari ni iaitu Sangumburi Crater No. GPS. 7839900

Tiket masuk KRW 6,000 seorang. Waktu operasi dari pukul 9 pagi hingga 5.40 petang untuk bulan November hingga bulan Februari.



Pada musim luruh, Sangumburi Crater sangat popular dengan eoksae atau pun silver grass. Lebih senang dalam bahasa melayu aku panggil pokok lalang. Rupanya memang seperti lalang.

Sangumburi Crater pada aku tempat wajib datang. Bayaran tiket tidak dinafikan memang agak mahal. Tapi view di sini sangat cantik.

Ada lalang pasti ada ular.

Lautan pokok lalang

Lalang pun cantik

Sangumburi Crater adalah sebuah kawah gunung berapi dengan lilitan 2 km, 650m lebar dan 100m dalam yang kini dipenuhi dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan yang subur. Kalau dilihat dari atas kawah ini seperti berbentuk stadium semulajadi.

Sepanjang laluan naik ke atas menghala ke kawah dikelilingi dengan pokok-pokok lalang. Walaupun perjalanan agak mendaki tapi seperti tak begitu terasa disebabkan dengan pemandangan sekitarnya yang sangat cantik. Ditambah lagi apabila angin bertiup, lalang-lalang ini pun beralun lembut.



Kalau daun tu dah bertukar warna pasti cantik.

Kebetulan cuaca sangat cantik petang tu. Kalau nak menikmati sunset di sini juga aku rasa sangat cantik. Nun di sana kelihatan dengan jelas sekali Mount Hallasan dari sini.







Pengambaran drama korea iaitu 'love wind, love song' dan 'goodness of marriage' turut dibuat di sini. Aku tak tengok pun cite tu. Al-maklumlah, bukan peminat k-pop. Tapi kadang-kadang terlayan juga bila wife aku pengaruh. Hanya drama yang best je.

Selain itu di sini turut ada kubur lama yang dipagar. Kelihatan hijau dan kemas di kawasan perkuburan ni. Kitorang sebenarnya takde fokus sangat pada kawah atau sejarah tempat ni.



Tujuan utama kitorang datang sini ialah nak tengok sendiri kecantikkan lalang-lalang di sini yang hanya ada pada musim luruh sahaja. Walaupun lalang tapi entah kenapa nampak sangat cantik. Tumbuhan dan permandangan di sini bergantung pada musim. Lain musim lain tumbuhan dan permandangannya.




Kitorang jalan-jalan sekeliling hingga ke atas lepas tu turun balik ikut laluan lain. Selesai mengelilingi semua kawasan, kitorang tengok masa ada lagi sikit sebelum gelap. Jadi kitorang decided pegi ke Seongeup Folk Village. Sepatutnya Seongeup Folk Village ni aku pegi esok. Tapi memandangkan masa ada sikit, lokasinya pun tak jauh dari Sangumburi, apa kata pegi kejap. Set No. GPS. 7878774

GPS tadi bawak kitorang ke Seongeup Folk Village. Sampai situ, tengok sepi je. Takde orang. Kitorang jadi confuse. Betul ke tempatnya. Atau pun dah tutup. Pastu kitorang cuba pusing sekeliling. Di satu tempat ni kitorang park kereta dan tengok balik nombor GPS tadi. Cuba cari mana tau ada nombor GPS lain. Semuanya sama. Masa tengah terkial-kial tu datang sorang Ahjumma tanya dalam bahasa Korea. Nak pegi ke Folk Village ke? (lebih kurang begitu la yang kitorang faham). Siap dia guna google translation lagi nak bagi kitorang faham.

Rupanya betul tempat yang kitorang sampai. GPS tu pun betul. Cuma memang dah takde orang. Pastu Ahjumma tadi suruh kitorang park kereta dan keluar. Dialah yang bawak kitorang merayau sekitar dan terangkan semua benda. Macam ala-ala tour guide gitu. Tapi bahasa ayam dan itik yang digunakan. Tak faham pun kitorang buat-buat faham. Bila tengok kitorang macam tak faham, dia guna google translation. Biasa la kalau guna google bahasa pun jadi berterabur. So faham-faham sendiri la.



Jalan punya jalan sampai kat satu area ni, Ahjumma tu bagi kitorang rasa air limau campur madu. Sedap. Tapi rupanya dia nak jual kat kitorang. Harga dah la mahal. Memang tak dapat nak beli la. Lotion pun dia minta kitorang beli. Tapi kitorang tak beli pun sebab mahal walaupun dia bagi diskaun. Bila kitorang tak nak beli Ahjumma tu pun tinggalkan kitorang explore tempat ni sendiri. Baru rasa tenang sikit.




Seongeup Folk Village adalah pekan kecil yang masih mengekalkan tradisi masyarakat Jeju. Ciri-ciri budaya yang masih dikekalkan dan diperturunkan dari generasi ke generasi termasuk harta seperti rumah kediaman, tempat-tempat suci, sekolah, pejabat kerajaan kuno, patung batu, runtuhan kubu dan monumen batu. Perkampungan ini berpenghuni. Jadi dinasihatkan tidak membuat bising ketika membuat lawatan di sini.



Pada aku biasa-biasa je Seongeup Folk Village. Takde ape sangat yang menarik. Mungkin sebab masuk free atau aku sampai dah terlalu lewat. Kalau pegi Jeju Folk Village lagi menarik rasanya. Kalau berkesempatan aku akan pegi ke situ nanti. Tapi bayaran masuk dikenakan di Jeju Folk Village. Masa ronda-ronda kat sini ada juga nampak beberapa pengunjung lain sedang buat lawatan.

Hari dah semakin gelap. Kitorang decided balik ke Bandar Jeju semula. Dah malam takde ape yang menarik di sini. So, next plan yang takde dalam itinerary nak ronda-ronda kat bandar Jeju. Lokasinya Jungang Underground Shopping Mall. No. GPS. 7523001.


Sampai sana sempatlah meronda-ronda sepanjang underground mall ni. Sambil tengok winter jacket. Mana tau harga murah boleh rembat nak tambah untuk winter holiday aku akan datang nanti. Tapi misi tak berjaya. Baju ada, harga tu terus buat duit jadi takde. Boleh tahan mahal juga harga baju di sini.


Sebenarnya, sebelum jumpa Jungang Underground Shopping Mall kita akan jumpa Dongmun Market dulu. Di Dongmun Market ni banyak jual souvenir dan makanan tempatan yang boleh di bawa balik. Kebetulan sekarang musim luruh yang merupakan musim buah limau, jadi banyaklah kedai yang jual limau dan makanan yang berasaskan buah limau.

Masa jalan-jalan nampak satu gerai ada jual fridge magnet jeju, aku sambar satu takut tak jumpa kat tempat lain nanti menyesal pulak. Harga KRW 6,000 satu. Menangis harga tu bila convert. Suka punya pasal, bayar je la. 

Dah penat berjalan, perut pun dah lapar, so kitorang decided nak pegi makan. Berhampiran sini juga ada seafood market. Dikenali dengan nama Jeju Dongmun Fisheries Market.





Kedai makanan pun banyak di seafood market ni. Bila tengok menu yang dijual semua berasaskan seafood, kitorang pun masuk. Pilih ikan mackerel grill harga KRW 17,000. Macam biasa menu tu dah siap dengan side dishes, nasi dan air kosong.


Selesai makan, decided terus balik hotel. Dah mula rasa keletihan. Sampai di hotel buat apa yang patut dan kena tido awal malam ni sebab esok kena bangun awal pagi. Sambung hari ketiga

Perbelanjaan hari kedua :

1. Sarapan - KRW 3,450
2. Manjanggul Cave - KRW 2,000 x 2 = KRW 4,000
3. Sangumburi Crater - KRW 6,000 x 2 = KRW 12,000
4. Fridge Magnet - KRW 6,000
5. Makan malam - KRW 17,000

Jumlah perbelanjaan - KRW 42,450