Total Pageviews

Perak : Day 2

Trip Merdeka - Selera Kampung Bendang Panjang, Masjid Ridzwaniah, MCKK, Menara Pavillion, Oldest Rubber Tree, Stesen Keretapi Kuala Kangsar, Istana Iskandariah, Istana Kenangan, Makam DiRaja, Masjid Ubudiah, Laksa Pak Ngah, Victoria Bridge, Tasik Raban & Ipoh


Ahad - 01.09.2019


Hari ke-dua di Kuala Kangsar, selepas solat kami terus bersiap dan keluar menuju ke Kedai Selera Kampung Bendang Panjang atau lebih dikenali dengan gerai kebun getah.


Sampai saje di kedai ini, dah banyak kereta parking di tepi jalan. Kami cuba sampai awal tapi ada ramai lagi orang lain datang lebih awal. Alhamdulillah, ada meja masih kosong lagi. Tak perlu nak tunggu orang habis makan. 


Ruang makan di kedai ni ada dua bahagian. Satu bahagian di dalam kedai dan satu bahagian di luar kedai. Di bahagian luar ni ada pokok getah sebab tu dapat gelaran kedai warung kebun getah. Pilihan kami pastinya di bahagian luar di bawah pokok getah. 


Tambah menarik lagi ada persembahan live nasyid lagi. Kalau rasa nak bersedekah boleh masukkan duit dalam tabung depan kumpulan nasyid tu. Kedai ni ada sediakan pelbagai jenis menu makanan sampai tak tau nak makan apa.


Memandangkan ini sarapan pagi, jadi kami hanya order nasi lemak, roti bakar telur goyang dan mee wantan kicap. Alhamdulillah, semua makanannya sedap.


Selesai makan, kami terus beredar. Tak boleh nak lepak lama-lama sebab ramai pelanggan lain baru datang dan tunggu meja kosong. Memang tak putus-putus orang datang. Ada juga yang datang terus dari Penang semata-mata nak makan di kedai ini. Begitu sekali penangan kuasa viral di zaman siber ni.

Selepas beredar kami tak terus balik ke hotel. Kami singgah di sekitar Jalan Tun Abdul Razak. Parking di hadapan MCKK.


Dari sini nampak Masjid Ridzwaniah. Sebuah masjid lama yang telah dibina pada tahun 1915 semasa pemerintahan Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah. Rekabentuk asal masjid ini mengandungi ruang sembahyang yang berbentuk lapan empat segi dan kubah di tengahnya. Setelah dibina masjid ini telah mengalami beberapa pindaan dari struktur bangunan demi menampung jemaah yang semakin ramai.


Di sebelah masjid ini terletaknya Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Sekolah ini merupakan sekolah berasrama penuh premier lelaki sahaja di Malaysia dan menjadi ikon dan kebanggaan buat Kuala Kangsar. Sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1905 oleh pihak British atas cadangan daripada Richard James Wilkinson iaitu seorang pegawai pendidikan jajahan pada masa itu. Cadangan itu disokong sepenuhnya oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I (1886 - 1916).



Pada awalnya, penubuhan sekolah ini untuk mendidik dan melatih golongan elit Melayu yang terdiri daripada kerabat diRaja. Namun selepas kebangkitan nasionalisme orang Melayu pada sekitar tahun 1947, syarat kemasukan ke sekolah ini telah dilonggarkan dan semakin ramai anak-anak orang kebanyakan mendapat peluang menuntut di sekolah ini.


Sekolah ini memegang reputasi yang tinggi dalam bidang sukan terutamanya ragbi dan pendidikan di Malaysia. Tun Abdul Razak, Anwar Ibrahim, Hishamuddin Hussein, Rafizi Ramli dan ramai lagi adalah antara tokoh politik negara yang merupakan bekas pelajar di MCKK. Sekolah ini juga telah melahirkan ramai tokoh yang berkaliber di Malaysia.


Seterusnya kami ke Pavillion Tower pula. Menara Pavillion ini yang dikenali juga sebagai The Pagoda of Malaysia terletak di Jalan Bendahara dan lokasinya di sudut simpang jalan agak terpinggir dari pandangan.


Menara Pavillion ini adalah salah satu mercu tanda buat Kuala Kangsar. Pada suatu ketika dulu menara ini adalah salah satu bangunan yang mempunyai sentuhan seni bina rekaan Melayu paling indah yang pernah ada di Kuala Kangsar. 


Menara ini adalah salah satu monumen bersejarah yang ada di sini tetapi malangnya tidak ramai yang berkunjung ke menara ini kerana rata-rata ramai yang tidak tahu akan kisah disebalik peranan menara ini setelah dibina.


Menara ini dibina pada tahun 1920 ketika pemerintahan Sultan Iskandar Shah yang memerintah Perak dari tahun 1918 hingga 1938. Digunakan sebagai tempat istirehat oleh Sultan selepas main polo. Juga dikatakan digunakan sebagai pusat rekreasi untuk isteri para pegawai istana dan orang penting lain untuk sebarang upacara dan perayaan istimewa. 


Sekarang menara ini tidak lagi digunakan oleh mana-mana kerabat diRaja dan ia dijaga rapi oleh pihak majlis untuk tatapan mereka yang berkunjung ke Kuala Kangsar. 



Di seberang jalan berhampiran menara ini terletaknya Dewan Jubli Perak



Selepas meninjau sekitar kawasan, kami beredar dan jalan kaki menuju ke Oldest Rubber Tree yang terletak di tepi jalan, di dalam pagar dan bersebelahan Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Kangsar.



Pokok getah tertua di Kuala Kangsar ini juga merupakan salah satu pokok getah tertua di Malaysia. Pokok ini ditanam ketika negara ini masih dipanggil British Malaya dan ia adalah salah satu daripada sembilan benih yang dibawa dari Brazil oleh ahli botani Inggeris Henry Nicholas Ridley pada tahun 1877. 



Pokok ini telah membantu dalam era perladangan getah Malaysia pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 serta telah menjadikan Malaysia sebagai pengeluar getah terbesar di dunia pada satu masa. 


Di sebelah pokok ini ada diletakkan mesin lama yang telah digunakan untuk membuat getah. Masa ni hanya kami saje yang di sini. Rasanya setiap kereta yang lalu lalang di sini pasti rasa pelik tengok yang kami buat disini. 



Sekejap saje kami di sini, selepas tu kami jalan kaki semula kembali ke tempat kami parking kereta tadi untuk menuju ke lokasi seterusnya sementara hari masih belum panas terik lagi.


Destinasi seterusnya agak jauh sedikit, kami ke Masjid Ihsaniah Iskandariah yang terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas. Kira-kira 15 kilometer dari bandar Kuala Kangsar.


Kami ke sini sebab tertarik dengan keunikan seni bina masjid ini yang amat berbeza berbanding masjid lain yang biasa kita lihat. Binaan bumbungnya dikenali sebagai bumbung limas yang kebiasaannya dibina untuk pembinaan surau atau madrasah.



Masjid ini telah dibina oleh Sultan Iskandar Shah yang bernazar untuk membina sebuah masjid jika anakanda baginda sembuh daripada sakit. 



Kampung Dal telah dipilih setelah Sultan terlihat penduduk kampung ini bersolat jemaah di sebuah madrasah yang usang ketika dalam perjalanan pulang dari berkelah di Lata Bubu yang terletak tidak jauh dari kawasan ini. 



Jadi Sultan telah membazar nazar dengan memberi sumbangan sebanyak 8,000 pound sterling dan masjid ini dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan bernama Jeragan Abdul Shukur Mohammad Ali.


Masjid ini mempunyai 20 tingkap dan setiap tingkap dihiasi dengan ukiran motif insang ikan yu dan pucuk kacang.


Setiap sendi kayu dinding tepas daripada anyaman buluh dihiasi dengan ukiran sekuntum bunga tikam seladang.



Masjid ini digunakan dengan baik dan kemudian ditinggalkan selama tiga dekad kerana masjid ini pernah terjejas apabila sebahagian bangunannya rosak akibat dihempap dahan pokok durian pada tahun 1976 dan kerana itu masjid baru telah dibina bersebelahan masjid ini yang diberi nama Masjid Al-Wahidiah.



Masjid ini telah dibaikpulih sepenuhnya pada Julai 2009 dan secara rasmi diwartakan sebagai warisan kebangsaan dan telah diuruskan oleh Masjid Al-Wahidiah.


Cuaca ketika ini sudah mulai terik. Selesai lawatan di masjid ini, kami beredar untuk kembali ke hotel semula. Tapi sebelum sampai di hotel, kami singgah sekejap di Stesen Keretapi Kuala Kangsar. 



Hanya singgah untuk ambil gambar saje.



Selesai bergambar, kami pun beredar sambung kembali pemanduan menuju ke hotel. Sampai di hotel kami beristirehat dan tido sekejap. Pukul 11.00 pagi baru berkemas dan bersiap untuk check-out.



Selepas check-out, kami terus menuju ke Istana Iskandariah.


Pintu masuk utama

Kami ikut laluan jalan sehala di luar istana yang mengelilingi istana ini. Tak boleh masuk. Hanya lihat dari luar saje sebab istana ini masih digunakan lagi.



Oleh kerana kedudukan istana ini di Bukit Chandan jadi kami berhenti sekejap di tepi jalan sebab tertarik bila ternampak Masjid Ubudiah dari atas bukit.



Kemudian kami sambung kembali pemanduan sehingga di pintu masuk di bahagian belakang istana.


Selepas parking kereta, kami keluar dan hanya ambil gambar istana dari luar pagar saje.


Istana ini adalah istana rasmi tempat bersemayamnya Sultan Perak. Nama istana ini diambil sempena nama Sultan Iskandar Shah yang bertanggungjawab terhadap pembinaannya.



Senibina istana ini meyerupai senibina Islam-India 'Saracenic' yang diadun dengan corak senibina Asia Barat khususnya 'pointed arch' dan hiasan minaret dan kubah yang berbentuk bawang (onion shaped domes).



Berdekatan dengan Istana Iskandariah, terletaknya Istana Kenangan atau Muzium DiRaja Perak. Tetapi malangnya semasa lawatan kami, istana ini sedang dalam proses baikpulih semula. Jadi kami tidak berpeluang masuk ke dalam.



Pada asalnya istana ini dibina sebagai tempat persemayaman sementara Sultan Iskandar Shah sementara menantikan siapnya pembinaan Istana Iskandariah. Kini bangunan ini telah dijadikan Muzium DiRaja Perak.


Bangunan ini telah didirikan pada tahun 1926 dan rekabentuknya melambangkan keindahan dan keunikan senibina Melayu Tradisional. Dibina dengan menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu papan (kayu jenis berlian). 


Paku-paku besi tidak digunakan sama sekali. Bangunan ini juga dihiasi dengan ukiran-ukiran Melayu Tradisional yang menarik dan corak anyaman. Warna dindingnya pula melambangkan warna negeri Perak iaitu kuning, hitam dan putih. Pelan atau pandangan dari atas bangunan ini adalah berbentuk sebilah pedang yang disimpan di dalam sarungnya.


Kecewa tidak dapat masuk kami beredar dengan melalui jalan kecil di tepi muzium. Di sini terletaknya rumah orang-orang besar istana dulu. 


Kemudian kami ke Galeri Sultan Azlan Shah. Tapi malangnya galeri ini juga ditutup untuk kunjungan orang ramai kerana kerja-kerja baikpulih dan menaiktaraf sedang dilakukan. Dengan hampa kami hanya ambil gambar galeri dari luar.



Lawatan seterusnya kami menuju ke Masjid Ubudiah.


Selepas parking kereta di depan masjid, kami jalan kaki ke Makam DiRaja Bukit Chandan yang terletak di sebelah masjid. Makam ini juga dikenali sebagai Makam DiRaja Al-Gufran. 


Makam DiRaja ini menempatkan Makam Almarhum Sultan-Sultan Perak, Almarhum Raja Perempuan-Raja Perempuan dan juga kerabat DiRaja Perak. Makam ini siap dibina pada tahun 1915.



Sultan Perak pertama yang dimakamkan di sini ialah Sultan Idris Murshidul Azzam Shah yang mangkat pada tahun 1916. Sehingga hari ini, seramai 8 orang Sultan Perak dimakamkan di sini dan terbaru Almarhum Sultan Azlan Shah.



Lebih kurang 15 minit lagi nak masuk zohor, kami terus masuk ke dalam masjid untuk solat berjemaah. Selesai solat baru kami ambil gambar di sekitar masjid. Semalam kami datang malam jadi tak ambil gambar sangat.



Masjid yang juga dikenali sebagai Masjid DiRaja Ubudiah ini merupakan salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan kaum Muslim di Perak. 


Kubah emas dan menara masjid adalah bukti daripada keindahan seni bina Islam dengan rekabentuk yang dipengaruhi seni bina 'saracenic' atau Islam-India. 


Masjid ini dibina bagi membayar nazar Almarhum Sultan Idris semasa baginda jatuh sakit dan telah menerima rawatan di Port Dickson. Sejurus baginda pulang di Bukit Chandan setelah sembuh daripada sakit, baginda mengarahkan seorang jurutera bernama Col Hussley untuk membina masjid yang diinginkan.


Di sebelah masjid, ada sebuah rumah lama yang menarik perhatian aku dengan rekabentuknya. Aku singgah sekejap di situ ambil gambar.



Selesai mengambil gambar kami pun beredar.



Kemudian singgah di Jalan Temenggong Wan Hassan berdekatan dengan bulatan di Jalan Taiping. Tadi pagi kami ada nampak pasar pagi di sini.



Masa kami sampai pasar dah habis dan selesai dibersihkan. Kami singgah sebab nak ambil gambar mural di sekitar sini.



Selepas ambil gambar kami beredar menuju ke kedai makan Laksa Pak Ngah di Jalan Dato' Sago. Lokasi kedainya di belakang Sekolah Menengah Tsung Wah.



Dengar ceritanya Laksa Pak Ngah menggunakan resepi asli Pak Ngah dan digilai ramai semenjak tahun 1955. Laksanya terkenal kerana keunikannya yang menggunakan tepung gandum sebagai bahan utama membuat laksa.


Kami order laksa special dan satu lagi laksa goreng. Service agak lambat sikit walaupun tak ramai sangat orang waktu ni. 



Pada kami laksa kuah tu biasa saje. Tapi yang goreng tu boleh tahan juga rasanya. Bolehlah datang untuk mencuba. Untuk aku datang kembali mungkin tidak sebab tak berapa kena dengan selera kami.



Selesai makan, kami terus bergerak menuju ke Victoria Bridge di Seberang Karai.



Masa kami sampai, ramai orang di sini. Dengan baju kurung, mesti baru balik kenduri kahwin.



Memang agak sukar untuk mendapatkan gambar kosong kecuali dengan pergi ke depan lagi lebih jauh dari orang ramai.


Boleh jalan kaki di laluan besi di tepi landasan. Agak cuak dan rasa gayat juga jalan di atas jambatan ini untuk ke dalam lagi. Tengok bawah lagi cuak. Mana boleh jalan tak tengok, nanti salah langkah bahaya juga. Apapun slow and steady. Take your time dan paling penting berhati-hati.


Ataupun pada yang tak berani lalu di tepi landasan, ada satu lagi laluan yang lebih selesa, tenang dan lebih selamat iaitu di tepi jambatan. Motor pun boleh lalu sini.


Jambatan Victoria ini dibina pada tahun 1897 bagi merentangi Sungai Perak yang menghubungkan Bandar Kuala Kangsar dan memudahkan pengangkutan bijih timah pada ketika itu. Telah dirasmikan oleh Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada tahun 1900.



Dua orang jurutera yang bertanggungjawab mereka cipta jambatan ini ialah G. W. Fryer dan C. R. Hanson. Jambatan ini mempunyai enam batang tiang yang kukuh daripada bata merah. Menurut cerita penduduk setempat, semasa Perang Dunia Kedua, jambatan ini pernah dibom dan telah terbelah dua.


Jambatan ini mendapat nama sempena tahun pemerintahan Jubli Intan Ratu Victoria pada awal pembinaan jambatan ini pada tahun 1897 dan setelah tamat pembinaan, Afrika Selatan telah berada di bawah pemerintahan Ratu Victoria sepenuhnya.


Kini, jambatan ini tidak digunakan lagi sejak tahun 2002 kerana jambatan konkrit telah dibina bagi menggantikan peranan Jambatan Victoria dan dijadikan tarikan pelancongan. Namun penduduk sekitar masih menggunakan jambatan ini untuk menyeberangi Sungai Perak dengan menggunakan motorsikal dan berjalan kaki.



Selepas bergambar di atas jambatan kami pun turun. 


Kemudian kami singgah di kedai cenderahati yang ada di situ.



Tiada apa yang menarik sangat, kami hanya beli fridge magnet berbentuk labu sayung sebagai koleksi. Sebelah kedai ni ada kedai makan. Perut tak lapar, jadi hanya tengok sepi.


Kemudian kami pun beredar dari sini menuju ke Tasik Raban.


Tasik ni agak jauh sikit dari Kuala Kangsar. Terletak di Lenggong berhampiran Jambatan Raja Muda Nazrin dengan melalui lebuhraya Kuala Kangsar - Gerik yang menjadi jalan utama untuk ke Kelantan.



Pada mulanya kami tidak masukkan tasik ni dalam itinerary tapi disebabkan kawan aku ada komen dalam Instagram yang buatkan kami ke sini memandangkan ada lebihan masa selepas lawatan di Victoria Bridge.



Tapi nasib tak menyebelahi kerana kedatangan kami disambut cuaca mendung dan kemudian hujan renyai turun dan semakin bertambah lebat.



Kami masuk ke dalam Tasik Raban Resort.



Kemudian turun menghampiri tasik dan menikmati pemandangan tasik dari sini saje.



Memandangkan cuaca mendung jadi permandangan nampak kelabu. Tapi tetap nampak menarik pada kami sebab nampak banjaran dan gunung ganang.



Tak lama kemudian aku naik ke atas semula sebab nak cari toilet, manakala wife aku ke bahagian lain pula. 


Bila hujan mulai turun jadi kami ambil keputusan beredar saje dari sini.


Kami terus cari Petronas untuk solat asar. Selesai solat kami terus bergerak menuju ke Ipoh pula. 




Perjalanan ke Ipoh lancar. Cuma aku agak cuak sedikit sebab tiba-tiba brek kereta kurang mencengkam. Kena lebih berhati-hati dan jauhkan jarak dengan kereta depan. Takut brek tak makan. Lebih cuak lagi bila lalu jalan yang menuruni bukit.



Alhamdulillah, tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Kami selamat sampai di M Boutique Hotel Ipoh sekitar pukul 7 malam lebih. Harga untuk semalam RM188.68. Kami booked melalui www.booking.com




Selesai hal check-in, bersihkan diri untuk solat maghrib. Lepas solat isyak baru kami keluar untuk makan malam.




Pada mulanya kami bercadang nak makan di Konda Kondi Cafe & Bistro. Tapi bila sampai sana ramai sangat orang. Tengok meja pun ada orang masih tunggu makanan mereka. 

Memandangkan perut kami dah lapar dan takut lambat dapat makanan jadi kami batalkan niat kami dan bertukar ke Hadramout Paradise Restaurant, makan nasi arab.

Tak perlu tunggu lama, makanan sampai terus makan dan Alhamdulillah perut pun kenyang. Rasa nasi arabnya sedap dan puas hati. Perut dah kenyang, hati pun senang, jom balik hotel kita bersenang lenang.


Sampai di hotel, badan dah letih, perut dah kenyang, mata pun dah layu, jadi tak lama kemudian masing-masing hanyut dibuai mimpi.



Sambung hari ke tiga. 👈