Total Pageviews

Hutan Simpan Kota Damansara

Hiking - Kota Damansara Community Forest Reserved


Ahad - 18.03.2018


Mula terasa berminat nak hiking di Hutan Simpan Kota Damansara ni lepas tengok gambar tasik di sana dan refleksinya. Nampak cantik sangat. Bayangkan, di tengah bandar ada pula hutan dan tasik yang cantik seperti ini. 


Dari hari ke hari plan nak ke sini. Akhirnya, pada Ahad lepas berjaya juga kami merealisasikan impian.

Bertolak dari rumah pukul 7.45 pagi. Perjalanan dari rumah ke Hutan Simpan Kota Damansara mengambil masa 30 minit. Kami sampai dalam pukul 8.15 pagi. Kemudian singgah breakfast di restoran berhampiran.

Selesai makan terus ke Hutan Simpan Kota Damansara. Waktu ni parking di tepi jalan dah penuh. Cari juga sampai jumpa dan menyelit mana yang boleh. Pintu masuk berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10 Kota Damansara.


Masuk, kemudian daftar nama terlebih dahulu di kaunter. Ini tujuan untuk pihak pengurusan tahu berapa ramai pendaki yang datang. Selesai pendaftaran terus memulakan pendakian. Waktu ni pukul 9.30 pagi. 


Kami akan ambil trail Temuan kemudian trail Sahabat untuk ke Puncak Denai Tiga Puteri. Jangkamasa untuk sampai ke puncak dianggarkan mengambil masa 1 jam 30 minit. 


Trailnya agak panjang untuk sampai ke puncak. Bagi kami pasti akan memakan masa lebih lama sebab asyik berhenti ambil gambar. Jadi perlu sediakan air minuman secukupnya kerana trail yang panjang dan mengambil masa agak lama.




Agak ramai juga pendaki pagi tu. Ada juga trail untuk berbasikal. Jadi kita akan jumpa bikers di trail yang kita lalui nanti. 



Apa yang lebih menarik di sini, kita semua saling bertegur sapa memberi salam atau ucapan selamat pagi apabila berselisih dengan pendaki lain tanpa mengira bangsa. Terasa begitu mesra dan akrab antara pendaki.




Trail agak sedikit keliru bila sampai di simpang bagi mereka yang baru pertama kali seperti kami. Tapi jangan bimbang, ada diletakkan signage dan kertas kecil yang ditampal di pokok untuk panduan pendaki. 




Dan jangan berat mulut untuk bertanya pada pendaki lain untuk kepastian. InsyaAllah tak sesat selagi ikut trail yang sedia ada.



Seperti biasa kami memang banyak berhenti ambil gambar dan akan beri laluan kepada orang belakang jalan dulu.



Pada satu jam pendakian, trail agak mudah. Nak sampai puncak, trail mulai sedikit mencabar. 




Hutan ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Komuniti pada tahun 2010 bagi tujuan rekreasi, pendidikan dan penyelidikan yang meliputi keluasan 320 hektar dengan ketinggian 300 meter.



Sebenarnya ada dua pintu masuk ke hutan ini iaitu satu di Seksyen 9 dan satu lagi di Seksyen 10 yang mana kami masuk tadi. 



Hutan Simpan Kota Damansara ini mempunyai 9 denai iaitu Salleh, Scouts, Temuan, Serenity, Sahabat, Unity, Harmoni, Unity Peak dan Denai Tiga Puteri. Denai terpanjang adalah 14km. Jarak untuk ke Puncak Denai Tiga Puteri melalui temuan dan sahabat lebih kurang 7.8 kilometer. 


Semakin menghampiri puncak, trail semakin mencabar. Kena panjat akar-akar kayu yang curam dan tinggi. Biasanya ada disediakan tali untuk membantu dan memudahkan pendakian. Sila berhati-hati.



Setelah menempuh beberapa trail yang curam akhirnya sampai juga di trail yang rata. Lega rasanya.


Tapi trail yang rata itu hanya sementara. Tak lama kemudian kena tempuh trail yang curam lagi. Trail hari ni agak basah disebabkan hujan lebat pada malam sebelumnya. Sesekali ada nampak beberapa pendaki yang sedang buat training run trail. Kagum juga dengan stamina mereka.



Dan trail curam tidak berakhir di situ. Malah bertemu lagi dengan trail curam lain lagi. Aku dah biasa dengan trail curam seperti ini. Malah lebih hebat dari ini aku pernah rasa. Tapi bila wife aku tengok, mengeluh jugak dia. Walaupun mengeluh sikit, tapi dia tetap bersemangat mendaki dan berjaya menempuhnya dengan baik. 



Masa tengah naik trail curam ni, kami ada terserempak dengan sorang laki yang betul-betul gemuk. Tapi masa kami naik, dia dah start turun. Aku kagum dengan laki gemuk tu sebab berani mencabar dirinya untuk mendaki. Risau pun ada sebab agak tough pada dia sebenarnya. Lagi-lagi bila tengok raut mukanya.



Ada satu group family di belakang kami, dalam group tu ada sorang budak perempuan, mungkin kena paksa dengan bapa dia kena ikut hiking. Sepanjang jalan tu dia membebel. Nak balik, tak nak naik, siap menangis-nangis. Sampai mak dia nak ambil gambar pun dia tak kasi. Tapi mak, bapa dan adik beradik lain tetap cool layan kerenah budak ni.



Banyak laluan curam yang perlu ditempuh untuk sampai ke Puncak Denai Tiga Puteri ni. Seperti tidak berakhir. Lepas satu kena naik lagi satu. Kemudian di depan tu ada lagi. Boleh tahan mencabar juga.


Setelah mengharungi trail curam yang seperti tidak berakhir itu, akhirnya berjaya juga sampai ke puncak. Kami mengambil masa 1 jam 30 minit untuk sampai ke Puncak Denai Tiga Puteri. Ini dah termasuk dengan waktu berhenti ambil gambar.




Alhamdulillah, lega rasanya. Tapi malangnya kami tak jumpa pulak puteri tiga tu. Ghaib hilang ke mana agaknya gerangan si puteri. Walau bagaimanapun, permandangan dari puncak nampak cantik. Kesinambungan pemandangan highway NKVE, hutan hijau dan sebahagian bandar Kota Damansara. 




Kami lepak sekejap menghilangkan lelah. Kemudian makan sedikit dengan bekal yang ada sambil menikmati pemandangan. Kebetulan ramai juga group lain yang tengah melepak merehatkan badan dan menunggu giliran ambil gambar.




Selepas selesai giliran kami bergambar, kami decided untuk turun. Lambat turun, lambat sampai bawah nanti. Lambat sampai bawah, lambatlah balik. Lambat balik, lambat pulak berehat. Esok wife aku nak kerja. Itulah alasan wife aku ajak turun. Lagi pun dah dekat tengahari waktu ni. 



Sebenarnya cabaran waktu turun lebih mencabar. Kena jaga lutut terutamanya umur-umur yang dah tak berapa muda ni. Kalsium semakin kurang. On the way turun tu, ada juga berselisih dengan beberapa pendaki lain yang baru nak naik. Lewat juga dorang mula naik.



Trail sepanjang hutan ini memang redup. Jadi sesuai naik pada bila-bila masa. Tak semestinya hanya pada waktu pagi.


Kali ni kami tak berhenti sangat bergambar. Simpan siap-siap kamera dalam beg. Cuma ada juga beberapa tempat kami berhenti untuk ambil gambar. 



Lebih kurang satu jam masa kami ambil untuk turun. Cepat kan. Sebab kurang berhenti. Sampai bawah, nampak ada orang jual air dan makanan ringan. Kami hanya beli air durian belanda. Fulamak! rasa nyaman sekali.

Sambil minum sambil jalan ke kereta. Kami lalu semula tasik tadi. Kalau pagi tadi tasik tu berkabus, kali ni tasik tu nampak lebih hijau dengan cahaya matahari. Ramai pulak orang memancing.



Tapi malangnya, aku tak dapat ambil gambar signage Hutan Simpan Kota Damansara dan refleksinya di tasik itu sebab dah takde kena curi. Aku tau ni daripada sorang brother yang tengah memancing di tasik tu. Dia kata dorang buat kerja belah malam. Almaklumlah, besi sangat berharga di negara kita ni.



Sampai kereta buat rengangan sikit, kemudian kami terus ke Rumah Makan Cibiuk Kota Damansara untuk makan tengahari. Kami order nasi timbel komplit ayam kampung goreng, nasi liwet komplit ayam kampung goreng dan cumi crispy. Tak lupa air kosong dan air durian belanda. Rasa makanannya memang sedap. Air durian belanda tu memang kaw gile. Buah semata-mata. Puas hati.



Lepas makan, kami terus gerak pulang ke rumah. Singgah di petronas untuk solat zohor. Selamat sampai rumah dalam pukul 4 petang.

Pada aku trail ni agak panjang dan sikit mencabar di hujungnya walaupun hanya 300 meter tinggi. Masa yang diambil lebih lama daripada Broga Hill yang lebih tinggi. Apa pun lain bukit lain cabarannya. Jadi, kemana kita selepas ini? Tunggu....