Total Pageviews

New Zealand : North Island - Day 1

Summer Road Trip - Auckland & The Strawberry Farm 


Selasa - 20.11.2018


Bismillahirrahmanirrahim. Perjalanan kami dari Malaysia ke Auckland bermula pada hari Isnin. Selepas solat maghrib, ambil MyCar ke Putrajaya Sentral. Perjalanan lebih kurang 15 minit. Sampai terus beli tiket ERL ke KLIA. Harga tiket RM9.40 seorang.

Masa beli tiket, tanya pengawai yang jaga kaunter "pukul berapa train akan sampai". Pegawai tu jawab "dalam masa 3 minit. Next train 20 minit lagi". Terus cepat-cepat ke lift turun ke platform. Nasib baik lift cepat. Alhamdulillah. Tak lama tunggu train pun sampai.

Lebih kurang 8.40 malam kami sampai di KLIA. Sebelum ke kaunter check-in, kami wrap dua beg yang akan di declare di Airport Auckland nanti bagi mengelakkan bersentuhan secara terus dengan anjing semasa proses mengesan bau.

Selesai wrapping, kami terus check-in. Senang bila dah check-in, tak perlu bawa beg banyak-banyak. Hanya bawa hand carry saje. 


Lepas check immigration, kami solat Isyak dulu kemudian pergi makan di Old Town. Perut lapar sangat. Tak boleh tunggu makan dalam flight. 


Sebelum 20 minit waktu berlepas, baru kami ke Gate untuk boarding. Flight berlepas ikut jadual pukul 11.40 malam. Selepas sejam, late supper dihidangkan. Tak habis makan sebab perut masih kenyang. Tak lama lepas tu dapat pula sandwich. Kami simpan. Mata dah mengantuk sangat. Nak layan movie pun tak ada mood. 



Perjalanan mengambil masa 10 jam 30 minit. Sepanjang penerbangan kami tido. Nasib baik flight waktu malam. Senang sikit tido sebab memang waktu tido kita. 



Dua jam sebelum sampai, makanan terakhir pula dihidangkan.



Selamat sampai di Auckland awal dari jadual sekitar 2.00 petang lebih waktu New Zealand. Di sini cepat 5 jam dari Malaysia. Maka bermula episod declaration yang bikin hati ini sedikit berdebar dan berharap semoga dipermudahkan. 



On the way ke Immigration, kami lalu Duty Free. Kebetulan ada orang usha simcard Vodafone. Aku memang target nak beli simcard ni. Tengok harga nampak ok, jadi aku ambil package yang offer 4GB data dan percuma semua social media termasuk Whatsapp dengan harga NZD43.00 share dengan wife aku guna wifi hotspot. 



Sampai di Immigration terus beratur. Tak lama tunggu giliran. Serahkan passport bersama Passenger Arrival Card yang diberikan semasa dalam flight untuk diisi lebih awal. Disebabkan kami ada barang yang hendak di declare, selesai sesi cop passport, kami ambil beg dan terus ke bahagian declaration good items. Ramai orang di sini dan barisan beratur agak panjang. 

 

Alhamdulillah, urusan dipermudahkan. Ada kaunter baru dibuka, kami yang di belakang diminta beratur di kaunter baru. Jadi tak tunggu lama. Sampai giliran, kami serahkan passenger arrival card bersama senarai barang yang telah kami sediakan lebih awal kepada pegawai tu untuk pemeriksaan.

Alhamdulillah, senarai kami tiada sebarang masalah dan beg tak perlu dibuka atau kena masuk ke bilik khas. Aku sempat berborak dengan satu family dari Malaysia yang beratur depan aku, dia diminta masuk ke bilik khas sebab bawa susu baby. Dia kata berserah saje. Kalau kena buang, terpaksa buang. 

Bagi proses seterusnya, pegawai tersebut minta kami bawa semua beg untuk di scan satu persatu. Semua beg kami lepas cuma satu beg pegawai perasan ada khemah di dalamnya dan kami beritahu yang khemah itu baru. Pegawai tu terus lepaskan beg kami tanpa susulan pemeriksaan. 

Selepas ambil semua beg, kami menuju ke pintu keluar. Sebelum sampai di pintu keluar akan melalui proses terakhir iaitu anjing pengesan. Seekor anjing kecil ala puppy yang sangat comel akan jalan keliling semua orang untuk kesan sekiranya ada bau bahan terlarang. Alhamdulillah selamat semuanya. Yang paling selamat tak bersentuhan dengan anjing tu. Aku ok saje. Wife aku ni fobia gile dengan anjing. 

Fuh! Lega rasanya setelah selesai melalui semua proses pemeriksaan tanpa sebarang masalah. Inilah pengalaman berharga. Urusan kami tidak mengambil masa lama. Sangat dipermudahkan.


Keluar saje dari situ, terus nampak I-site. Kami singgah ambil map dan serta merta aku jadi tamak ambil entah apa-apa broucher. Sampai kesudah satu benda pun kami tak tengok. 


Kemudian kami keluar ikut pintu Exit 6 untuk ambil shuttle bus warna kuning ke penginapan kami di Auckland. Keluar saje pintu kami disapa oleh seorang auntie dari Penang yang sudah bekerja di sini selama 15 tahun. Sangat baik orangnya. Dia tunjukkan kami mana nak ambil bas kuning. Dan dia juga beritahu kami yang sepatutnya bas tu free. Kalau kena bayar, dia kata harga NZD6. 


Jadi kami ke sebelah kanan untuk ambil bas kuning. On the way ke sana kebetulan bas sampai. Beritahu nama penginapan kami kepada pemandu bas dan terus naik. Pemandu tak minta bayaran. Jadi kami buat tak tau saje. Bermakna betul free. Jimat. 


Lebih kurang 15 minit kami sampai di Kiwi Airport Backpackers penginapan pertama kami di bumi New Zealand. Malam ni kami akan menginap dalam dorm. Aku dan wife akan bermalam berasingan sebab semasa booking hanya ini yang available, murah, dekat dan ada shuttle bus. Harga NZD61.20 semalam untuk kami berdua.


Perancangan awal kami tak bermalam di Auckland. Kami akan terus ke Christchurch pada esok paginya. Tapi disebabkan MAS tukar jadual penerbangan selepas kami beli tiket ke Christchurch jadi terpaksa bermalam semalam di Auckland. 

Semasa kami beli tiket MAS jadual berlepas dari KLIA pukul 11.00 pagi dan sampai di Auckland pukul 12.00 pagi waktu New Zealand. Kami bercadang akan bermalam di Airport saje dan pagi esoknya kami terus ke Christchurch ambil penerbangan pertama. Beberapa bulan selepas beli tiket Jetstar, MAS hantar email tukar waktu penerbangan pada belah malam dan sampai di Auckland petang. Memandangkan tiket Jetstar pada awal pagi, jadi aku minta MAS tukar tarikh penerbangan kami. Terpaksalah bermalam di Auckland.

Sampai di hostel, check-in dan book time shuttle bus ke Airport awal pagi esok. Kami akan ambil bas pukul 4.30 pagi, tambang NZD4 seorang. Bayar di kaunter lobby esoknya. Selesai semua hal, kami terus ke dorm untuk simpan beg. 


Selesai settle apa yang patut, kami keluar semula jalan kaki menuju ke The Strawberry Farm yang jarak hanya 300 meter dari penginapan kami. Cuaca hujan renyai waktu ni. Suhu 8 darjah celcius. Sejuk.




Di Strawberry Farm, pokok-pokok strawberry masih baru ditanam semula. Jadi tak boleh nak petik strawberry. 



Ada kedai jual strawberry dan sayur-sayuran segar. Wife aku geram tengok kesegaran sayurnya. Ikut hatinya rasa nak beli saje. 




Kami order strawberry ice cream harga NZD4.50. Satu cukup share berdua. Tengok strawberry ni nampak memikat, kami beli strawberry pack yang paling kecil harga NZD4. 



Kemudian lepak di meja luar dalam cuaca sejuk menikmati ice cream. Rasa ice creamnya memang sedap. Ramai juga orang yang datang beli ice cream di sini. 


Lepas lepak dan habiskan ice cream, kami jalan ke depan lagi cadang nak cari makan malam. Nak tapau or makan fish & chip. Tapi wife aku ajak makan maggie saje malam ni. Teringin nak makan sup panas-panas di cuaca yang sejuk ni. Jimat duit makan aku untuk hari ni.




Kami hanya singgah beli mineral water kemudian jalan kaki balik ke hostel yang melalui kawasan kediaman. Rasa tertarik dengan kawasan kediaman di sini. Bersih, teratur dan aman. Rumah nampak cantik dan comel semuanya.




Sampai di hostel, kami kemas, bersihkan diri dan kemudian solat. Lepas solat, wife aku masak maggie. Nikmat rasanya makan maggie panas-panas di dalam cuaca yang sejuk.



Lepas makan maggie kami solat kemudian masuk ke dorm masing-masing dan tidur. Dengan harapan dapat tidur awal sebab esok kena bangun awal pagi untuk ke Airport. 

Malangnya, kami tak dapat tido sebab masih awal kalau ikut waktu Malaysia. Tambahan cuaca sangat sejuk. Tak boleh tido langsung. Cuma tido-tido ayam saje. 

Disebabkan aku tak boleh lelapkan mata, aku keluar dari dorm lepak sekejap di living area hostel. Masa lepak tu, seorang perempuan mat salleh baru sampai. Sebelum dia masuk bilik yang sama dengan wife aku, dia lepak sekejap di living area. So kami borak-borak sikit. Dia baru balik dari Christchurch dan beritahu cuaca di sana lebih sejuk. Dan semalam, sesuatu yang tak pernah berlaku turun snow di Queenstown pada musim summer. Cuaca seperti ini tak pernah terjadi di sana.

Lepas borak kejap aku masuk semula dalam dorm, cuba lelapkan mata. Esok kena bangun awal pagi.

Sambung hari ke dua. 👈


Perbelanjaan hari pertama:-
  1. MyCar - RM24.00
  2. ERL - RM18.80
  3. Makan Old Town - RM27.80
  4. Sim Card Vodafone - NZD43.00
  5. Kiwi Airport Backpackers Hostel - NZD61.20
  6. Aiskrim Strawberri - NZD4.50
  7. Strawberri - NZD4.00
  8. Air Mineral - NZD4.00
Total - RM70.60 + NZD116.70


New Zealand : Persediaan & Persiapan

Road Trip - Summer di Bumi Kiwi


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur atas nikmat rezeki dan kesempatan yang Allah berikan kepada kami berpeluang mengembara menyaksikan keindahan ciptaanNYA di bumi yang indah di New Zealand. Bumi yang menjadi idaman dan dambaan para pencipta alam.


"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (QS, Ar-Rahman:13). "Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak sanggup menghitungnya". (QS, Ibrahim:34).

Trip kali ini kami pilih musim panas sebab nak tengok bunga lupin dan pemandangan hijau. Musim panas merupakan peak season di sini dimana ramai pelancong yang datang ke New Zealand. Rate lebih mahal berbanding musim lain terutamanya sewa kenderaan dan penginapan. Untuk pengetahuan, New Zealand mempunyai 4 musim seperti di bawah:- 

  • Musim bunga (Spring) : September - November. Biasanya suhu sekitar 4.5 ke 18 darjah celcius.
  • Musim panas (Summer) : Disember - February. Suhu sekitar 21 hingga 32 darjah celcius.
  • Musim luruh (Autumn) : Mac - May. Suhu sekitar 7 hingga 21 darjah celcius.
  • Musim sejuk (Winter) : Jun - Ogos. Suhu sekitar 1.5 hingga 15.5 darjah celcius.

Lupin di Lake Tekapo

Lupin di Eglinton River

Transportation - Flight ke Auckland

Sudah lama hajat ke New Zeland tersemat di dalam hati. Dari tahun ke tahun kami merancang. Tapi nasib tak menyebelahi untuk dapatkan harga tiket yang murah. Setiap kali Airasia buat sales, tiap kali itu kami terlepas peluang. Begitu juga untuk tahun ini. Bila Airasia buat sales harga tiket untuk bulan November bukan seperti yang diharapkan.

Akhirnya, wife aku nekad tunggu sales daripada Malaysia Airlines untuk Matta Fair pada bulan Mac. Tunggu punya tunggu, dua hari sebelum Matta Fair, aku terima sms daripada CIMB beritahu promotion tiket bagi pemegang kad CIMB sehari sebelum Matta Fair dan sebelum dibuka kepada public dengan mengunakan link yang diberikan dalam sms. 

Pada mulanya kami tak yakin, takut scam. Tau saje lah, sekarang ni macam-macam bentuk penipuan oleh si penipu-penipu ni. Bagi mendapatkan kepastian, aku telefon CIMB center. Jawapan yang diterima adalah betul. So, apa lagi dengan yakin aku klik pada link yang diberi dan buat tempahan semua melalui telefon. Alhamdulillah aku berjaya beli tiket ke Auckland dari Kuala Lumpur dengan harga RM1,988.38 seorang return.


Transportation - Flight ke Christchurch

New Zealand adalah sebuah negara kepulauan yang terletak di barat daya Lautan Pasifik yang mengandungi dua pulau utama iaitu Pulau Utara (North Island), Pulau Selatan (South Island) dan pulau-pulau kecil. Bagi pencinta-pencinta alam, tumpuan mereka lebih kepada South Island. Ini kerana landskap dan alam semulajadinya yang sangat indah dengan ladang, tasik-tasik, bukit bukau dan gunung ganang. Jadi kami beri tumpuan dan lebih banyak menghabiskan hari di South Island iaitu selama 9 hari. Ini pun tak cukup sebenarnya.


Untuk ke South Island dari Auckland kami pilih flight Jetstar ke Christchurch Airport. Bagi mendapatkan harga promotion, biasanya Jetstar akan buat sales pada hari Jumaat. Maka setiap Jumaat aku riki harga flight tiket. Harga agak murah juga. Tapi malangnya aku tak beli time tu sebab budget. Bila budget dah ada, harga pula tak semurah sebelum ni. 

Pada bulan April, nak tak nak aku beli juga tiket flight ke Christchurch dengan harga NZD146 seorang return. Rate waktu ni NZD1 = RM2.80. Lebih kurang RM408.80 seorang. Agak mahal pada aku sebab time flight berlepas yang aku pilih lebih mahal dari time lain yang lebih murah. Tapi time tu tak sesuai pula dengan itinerary aku. Jadi pejam mata bayar. 

Harga ni termasuk luggage pergi 25kg seorang dan luggage balik 20kg seorang tidak termasuk seat. Jetstar agak berkira untuk luggage. Lebih-lebih lagi yang hand carry. Untuk kami berdua saje tak boleh melebihi 7 kg. 


Transportation - Kereta

Memandangkan trip ini merupakan road trip, jadi kami perlu menyewa kenderaan untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain. Pada mulanya kami bercadang sewa campervan. Teringin rasa pengalaman bermalam, masak dan memandu dengan campervan. Tapi setelah diambil kira segala kos sewa kenderaan, minyak dan tapak lebih tinggi berbanding sewa kereta, minyak dan penginapan.

Seperti sedia maklum, bahawa rate pada musim panas adalah tinggi berganda-ganda jika dibandingkan dengan musim lain. Jadi bertabahlah dengan kos yang mahal kalau hati sudah pilih musim panas. Memang jauh sangat bezanya. 

Setelah aku riki-riki beberapa website, akhirnya aku decided sewa kereta di Snaprentals.co.nz untuk 9 hari di South Island dengan kos NZD503.50 termasuk insurance free stress package yang cover semua dan GPS. Senang tak perlu fikir kos lain sekiranya berlaku apa-apa yang tak diingini. Bersiap sedia sebelum terjadi itu lebih baik. Di North Island pula, aku sewa kereta di Apex Car Rentals untuk 3 hari dengan harga NZD215 termasuk insurance dan GPS. Bayaran sewa kereta semasa proses ambil kereta. Hanya kredit kad saje yang diterima. No cash.

Itinerary

Selesai beli tiket flight ke Auckland, baru mula buat itinerary trip. Kena siapkan cepat itinerary untuk booking tempat penginapan pulak. Takut tempat yang murah cepat habis dan penuh.

Berminggu-minggu juga aku buat itinerary ni.  Mana tidaknya, wife asyik tambah tempat dia nak pergi. Hari-hari ada saje tempat baru dia bagi kat aku minta masukkan. Segala tempat menarik dan nampak cantik semua nak pergi. Aku jadi pening takut tak cukup masa kalau nak pergi ke semua tempat-tempat tu.

Jadi, trip ni akan bermula di South Island selama 9 hari dan perjalanan akan mengikut arah lawan jam. Bermula dari Christchurch ke West Coast dan turun ke bawah. Kemudian naik semula sebelah timur dan akan berakhir di Christchurch semula.


Manakala di North Island pula, kami hanya spend masa selama 3 hari saje dan hanya pergi beberapa tempat di Auckland dan Rotorua. Sebenarnya banyak juga tempat menarik di North Island. Tapi tak berkesempatan nak cover semua. Harap akan ada rezeki datang ke New Zealand lagi.


Accommodation/Tempat Penginapan

Selesai buat itinerary, baru aku cari tempat penginapan sepanjang berada di sana yang menepati budget kami. Trip ini akan berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain dan pada musim panas (summer) merupakan musim puncak atau peak season di New Zealand, jadi kena cepat buat tempahan.

Sebenarnya waktu ni, kami dah agak lewat. Banyak juga penginapan yang murah dah habis. Yang pasti kami akan menginap di kabin, hostel, airbnb dan khemah. 

Kebanyakan tempat penginapan aku book direct di website penginapan tu sendiri dan melalui www.booking.com. Semua booking menggunakan credit card. Ada beberapa penginapan yang charge lebih awal. Ada juga yang bayar di sana nanti.

Visa

Pelancong dari Malaysia tak perlu mohon visa untuk masuk ke New Zealand sebab negara ini termasuk dalam senarai 164 buah negara yang tak perlukan visa untuk dilawati/dimasuki. Tapi harus diingat bahawa kita hanya dibenarkan berada di New Zealand tidak melebihi 3 bulan. Kalau lebih dah dikira pendatang haram. Tindakan undang-undang boleh diambil.

Berkuatkuasa dari 1 Oktober 2019 pelancong dari Malaysia perlu mohon visa untuk masuk ke New Zealand. Anda perlu mengisi borang ETA (Electronic Travel Authority) secara online dan membayar antara NZD9 hingga NZD12. Pemohonan akan mengambil masa dalam 72 jam untuk mendapat kelulusan.


Items To Declare

New Zealand merupakan negara yang sangat ketat dalam bio-security procedure di sempadan antarabangsanya. Ini bagi mencegah daripada bahan perosak dan penyakit berbahaya yang dibawa dari luar demi menjaga alam sekitar dan ekonomi mereka yang berasaskan peladangan dan penternakan. Semua barang yang berisiko adalah diwajibkan diisytihar (declare). Jika tidak diisytihar akan dilupuskan atau dibuang serta merta.

Bagi memastikan ketibaan kita berjalan lancar, di dalam flight crew akan berikan penumpang Passenger Arrival Cards untuk diisi siap lebih awal. Di dalam kad ini kita dikehendaki menandakan bahagian barangan yang berisiko yang hendak diisytihar (declare) seperti barang makanan, tumbuhan, produk kayu, tanah, air, outdoor equipment dan produk haiwan. 


Tiba di Immigration nanti, beg kita akan di scan dan dihidu oleh anjing pengesanBarang yang ditanda akan diperiksa. Jika barang yang sepatutnya diisytihar tapi tidak ditandakan, kemungkinan barang tersebut akan dilupuskan dan sekiranya barangan tersebut adalah barang terlarang dan terhad seperti produk haiwan dan tumbuhan, denda atau bayaran sebanyak NZD400 akan dikenakan serta merta. 

Peringatan bahawa kad ini merupakan dokumen undang-undang. Sekiranya pengisytiharaan palsu atau salah secara sengaja atau tidak dibuat, akan dikira telah melanggar undang-undang dan boleh dikenakan denda tidak kurang NZD100,000 atau dipenjara atau tidak dibenarkan masuk.

Jenis barangan berisiko (Type of Risk Goods):-
  • Makanan - dimasak, mentah, segar, dibungkus atau dikeringkan.
  • Haiwan atau produk haiwan - termasuk daging, produk tenusu, ikan, madu, produk lebah, telur, bulu, kerang, bulu mentah, kulit, tulang atau serangga.
  • Tumbuhan - buah, bunga, biji, mentol, kayu, kulit, daun, kacang, sayuran, bahagian tanaman, kulat, tebu, buluh atau jerami termasuk barangan keagamaan atau perubatan.
  • Barangan berisiko lain termasuk animal medicines, biological cultures, organisms, tanah atau air.
  • Peralatan yang digunakan berkaitan dengan haiwan, tumbuhan atau air termasuk untuk aktiviti berkebun, beekeeping, memancing, sukan air atau menyelam.
  • Peralatan yang telah digunakan untuk aktiviti luar atau pertanian termasuk kasut, khemah, peralatan buru, peralatan mendaki, golf atau sukan.
Nampak complicated. Bagi memudahkan urusan sebaiknya sediakan senarai barang yang hendak dibawa masuk. Kena rajinkan diri sikit.

Makanan

Makanan halal mudah didapati di bandar-bandar dan agak sukar di pendalaman. Sama ada makan di kedai atau masak mengikut pilihan dan budget sendiri. Bagi penjimatan berganda masak adalah pilihan terbaik. Lagi pun kita orang Malaysia, tekak tu serasi dengan nasi dan makanan pedas. Sesekali makan makanan luar boleh tapi bila travel lama negara orang mesti akan rasa tak lalu. 

Bahan masakan boleh beli di Park'nSave. Park'nSave adalah pasaraya lebih kurang seperti Mydin. Selain Park'nSave ada juga pasaraya lain seperti New World dan Countdown. Tapi dengar ceritanya harga sedikit mahal. 

Kalau nak bawa makanan dari Malaysia pun boleh, cuma kita kena declare di Immigration. Bahan kering dan commercial pack saje yang boleh dibawa masuk. Bahan basah, tenusu dan coklat adalah dilarang sama sekali. Kalau nak bawa juga, makanan tersebut akan dibuang dan dikhuatiri denda yang tinggi akan dikenakan. Bagi memudahkan urusan immigration sebaiknya buat list siap-siap dan tunjuk pada pegawai nanti. 


Antara makanan yang dibawa

Ubat-ubatan

Biasanya bila travel kami akan standby bawa ubat-ubatan. Mana tau diserang sakit. Nak beli ubat di negara orang tak berapa pandai. Tambahan takut harganya mahal. Ubat yang selalu kami bawa seperti yoko yoko, muscle pain, demam, selsema, batuk, panadol dan supplement. Semua ubatan yang dibawa juga diwajibkan declare di Immigration. Jadi sila buat senarai ubatan yang dibawa bagi mudahkan urusan.

Outdoor Equipment

Disebabkan kami bermalam dalam khemah untuk 3 malam, jadi kami bawa khemah, sleeping bag dan tilam angin (demi keselesaan sejagat). Peralatan ni semua baru. Semua peralatan camping yang pernah dipakai saje yang perlu declare manakala yang baru tak perlu sebenarnya. Tapi untuk memudahkan urusan kami buat senarai awal untuk diserahkan kepada pegawai nanti sebab kami ada bawa kasut hiking lama.

Immigration di sana agak strict dengan peralatan camping atau outdoor yang terpakai sebab mereka tak nak ada tanah luar di bawah masuk. Aku ada khemah lama. Tapi agak berpasir. Jadi terpaksa beli yang baru. Tilam angin tu wife aku yang minta sebab nak selesa katanya. Sleeping bag tu aku beli baru sebab yang ada tak dapat cover cuaca sejuk di New Zealand. Aku tak kisah invest beli baru semua peralatan ini semata-mata untuk NZ sebab barang ni juga akan digunakan untuk trip lain yang ada dalam plan kami.

Plan asal kami nak stay kabin atau guesthouse saje. Tapi sebab takde yang kosong dan murah di Makaroa dan Lake Tekapo pada tarikh kami, jadi terpaksa duduk khemah. Dah alang-alang bawak khemah dan boleh jimatkan lagi duit penginapan jadi kami tambah semalam lagi di tempat lain pula.  

Aku rasa ini saje antara persiapan dan persediaan yang aku buat. Setiap orang lain persediaan dan persiapannya. Sekiranya ada yang tertinggal, aku ingat balik, kalau rajin aku akan update kemudian.

Road trip hari pertama 👈

Ipoh 2.0 - Day 2

Trip JJCM - Mee Daud Mat Jasak, Ice Kepal & Patisserie Boutique 


Isnin - 10.09.2017


Sambungan trip JJCM pada hari kedua, kami bangun agak lewat. Lebih kurang pukul 11 pagi baru keluar dan check out. 

Plan asal, keluar awal pagi breakfast di New Hollywood Ipoh. Disebabkan liat bangun akhirnya breakfast dalam selimut saje. Sebelum keluar, check kedai tu, rupanya tutup hari Isnin. Kira ok jugak tak keluar awal pagi tadi.




Destinasi makan terpaksa ditukar. Memandangkan tak tahu nak ke mana, akhirnya kami putuskan makan di Greentown Dim Sum. Sebenarnya kami pernah makan di sini masa trip pertama dulu. Tak bercadang nak repeat. Disebabkan dah buntu, jadi pergi saje ke sini.

Sampai saje di Greentown Dim Sum tengok orang ramai sedang beratur. Perut dah lapar, jadi kami cancel makan di sini. Tukar cari destinasi lain. Check google, cari kedai makan yang tak jauh dari lokasi kami sekarang. Akhirnya kami putuskan makan di Mee Daud Mat Jasak yang terletak di Jalan Dato On Jaafar.


Gerai ni terletak di tepi jalan. Di bawah khemah. Tulisan nama kedai sangat kecil. Jadi kena tengok betul-betul. Sampai saje, gerai ni pun penuh. Nampak ada beberapa family sedang tunggu meja kosong. Kami cuba masuk juga. Oleh kerana kami datang berdua dan kebetulan ada meja untuk dua orang kosong, maka meja itu kami yang punya.


Di depan gerai, belah kanan ada satu stall. Kena order makanan di situ. Kami order satu mee kicap dan satu mee kari. Masa order tu kita boleh pilih fish ball atau fish cake, tauhu kering pun ada. Ikut pilihan masing-masing. Aku pilih tauhu kering dan beberapa fish cake dan fish ball.


Pengalaman yang paling tak best buat aku, lama gile tunggu makanan kami sampai. Dekat satu jam menunggu. Daripada muka ceria bertukar jadi sungul. Nak marah tapi kena sabar. Beberapa kali juga kami tanya. Jawapannya sekejap, orang ramai. Ye, memang tahu ramai, tapi dah tau ramai tak boleh ke cepatkan sikit servis tu. Kedai lain pun ramai. Tapi kalau sistem betul, service cekap, pelanggan pun tak tunggu lama.

Setelah lama menunggu, akhirnya sampai juga makanan kami. Mee kicap ni style ala mee kicap cina. Biasanya mee kicap cina guna yee mee. Tapi yang ni terpulang pada pilihan kita sama ada nak mee, kuehtiaw atau mee hoon. Bersama mee kicap dorang akan bagi sup yang diletakkan fish cake yang kita pilih tadi. Rasa sup sedap juga pada aku. Rasa mee kicap tu biasa-biasa saje. Takde faktor wow pada aku.


Selesai makan, kami datang semula ke street art. Tak tau kenapa suka sangat ke sini. Memandangkan sudah tengahari, trafik agak perlahan dan susah nak dapat parking.

Tujuan kami ke sini sebab nak try ice kepal di Bits and Bobs yang terletak bersebelahan Plan B. Ramai orang di kawasan ni. Kami cuba satu ice kepal. Jenuh wei nak makan. Kena sedut nyot nyot. Wife aku nyot nyot sikit pastu dia malas nak makan lagi. Aku juga yang kena habiskan. Aku pun tak mampu nak habiskan. Rasa ice kepal ni sama macam makan ice dengan sirap dan sarsi je. Takde istimewa mana pun. Selain ice kepal ada juga ice cream lain dijual di sini. Pada aku lebih baik beli ais cream saje. Lagi puas makan.



Lepas makan ice kepal, kami jalan-jalan lagi sekali kawasan ni dan bergambar. 




Sambil tu jenguk-jenguk kedai hipster ape yang menarik nak makan. Akhirnya kami pilih Patisserie Boutique. Kedai ni memang sentiasa full house. Masa kami masuk pun kena bagi nama dan telefon untuk tunggu turn. Kemudian boleh jalan-jalan dulu. Nanti ada meja kosong dorang akan call.


Disebabkan dah tiada arah tujuan, tak sempat dorang call, kami datang semula ke kedai check dan tanya turn kami. Nasib baik kebetulan ada kosong, jadi dapatlah meja. Kami order smoked salmon croissant, matcha cheese cake, cappuccino dan matcha latte. Order simple saje sebab perut masih kenyang lagi waktu ni. Kesimpulannya, makanan semua sedap terutama sekali matcha cheese cake tu.


Perut dah kenyang, hari dah petang, jadi kami decided gerak balik KL. Risau balik lambat nanti jalan jem. Alhamdulillah, perjalanan agak ok. Cuma dibeberapa tempat saje traffik agak slow. Singgah solat asar, maghrib dan makan di R&R, kemudian sambung perjalanan pulang. Sampai rumah lebih kurang pukul 9.00 malam.


Selesai sudah trip JJCM yang agak santai dan relaks. Panjang umur, murah rezeki, kita JJCM di tempat lain pulak atau Ipoh 3.0.