Total Pageviews

Teluk Intan

Trip JJCM - Nasi Bamboo Sungai Klah, Cendol Durian, Menara Condong, Batu Bertenggek, River Front & Coffee Lab 


Selasa - 30.07.2019


Sempena cuti Pertabalan YDP Agong yang ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kami ambil kesempatan pergi makan di Restoran Nasi Bamboo Sungai Klah. Lama teringin nak cuba makan di sini tapi masa sentiasa tidak mengizinkan bila kami ke utara. Kali ni nekad buat day trip semata-mata nak makan di kedai ni.

Seawal pukul 9.00 pagi kami keluar dari rumah bertolak menuju ke Sungkai, Perak. Berhenti sekejap di stesen Shell isi petrol dan beli makanan sikit untuk alas perut sebelum makan di Restoran Nasi Bamboo. Perjalanan dijangka mengambil masa 1 jam 30 minit. 

Alhamdulillah, perjalanan ke Sungkai melalui Lebuhraya Utara Selatan sangat lancar. Cuma kali ni banyak motor berkonvoi di jalan raya sempena hari cuti. 


Untuk ke Nasi Bamboo Sungai Klah, kami keluar di Exit Tol Sungkai. Cas tol yang dikenakan RM17.70 dari Plaza Tol USJ. Ketika kami sampai, jam menghampiri pukul 11.00 pagi. Kelihatan sudah banyak kereta dan motor-motor memenuhi ruang parking di restoran ini. 



Selesai parking terus masuk ke kedai. Alhamdulillah, masih ada beberapa meja kosong lagi walaupun orang dah ramai. Dahsyat sungguh sambutan yang diterima kedai ini, walaupun baru dibuka pelanggan dah berpusu-pusu datang. Kedai ini beroperasi dari pukul 10.30 pagi sehingga 6.00 petang setiap hari kecuali hari Jumaat.

Patutlah wife aku beriya sangat ajak keluar awal dan dia minta kena sampai selewatnya pukul 10.30 pagi. Sampai awal, lebih selesa nak cari meja dan ambil makanan. Tak perlu nak beratur terlalu panjang. Lepas dapat meja, aku pun pergi ambil makanan sementara wife pula jaga meja. 

Ada beberapa section makanan di sini. Section nasi di mana di sinilah tempat untuk ambil nasi buluh dan ada dua lagi pilihan nasi lain iaitu nasi serunding ayam dan nasi panggang kelapa.


Di section grill pula ada banyak pilihan makanan yang dipanggang seperti ayam golek, ayam kampung serabut, kambing grill dan pelbagai jenis ikan bakar. Manakala satu lagi section adalah section lauk pauk. Di section ini ada pelbagai jenis lauk lain seperti masak lemak, gulai, ulaman, pelbagai jenis sambal, sayuran dan bermacam lagi. 


Selepas section makanan ada pula section minuman yang berada di hujung kedai. Selain section utama ini ada juga section kuih-muih dan ole-ole. Jadi memang bermacam-macam makanan ada di sini.


Selesai ambil makanan, jadi apa tunggu lagi, jomlah makan. Kali ni kami ambil ayam golek, kambing grill, pucuk paku masak lemak, sambal tempoyak dan sambal bacang beserta nasi buluh. Rasa masakannya memang sedap. Patutlah ramai orang dan tak putus-putus orang datang. Semua makanan kami berharga RM38.90.



Nasi Bamboo Sungai Klah ni terkenal dengan masakan tradisional kampung orang melayu Perak. Kedai ini terletak di Sungai Klah, Sungkai, Perak. Kedai ini terkenal dengan nasi yang dimasak secara kukus dalam buluh dengan menggunakan daun lirik atau dikenali dengan nama daun katalia sebagai pelapik berasnya. Sangat menarik dan unikkan. Itulah tarikan utama kedai ini. Nasi yang dimasak dalam buluh itu akan membangkitkan aroma sebagai pembuka selera nafsu makan pengunjung.

Selesai makan kami terus beredar bagi memberikan peluang pada mereka yang lain baru sampai dapatkan meja. Alang-alang sudah berada di Perak, jadi kami ambil kesempatan ini mengunjungi tempat menarik lain yang ada berdekatan di Sungkai. 

Pada mulanya kami plan nak singgah di Sungai Klah, Hot Spring Park. Tapi entah kenapa google map terus bawa kami ke Cendol Durian Teluk Intan. Padahal lokasi ni sepatutnya selepas ke hot spring.



Memandangkan google map dah skip hot spring dan kami sudah pun sampai di sini, jadi ayuhlah kita makan cendol sebagai pencuci mulut selepas makan nasi tadi. Kami order satu cendol durian harga RM4.00 dan satu lagi cendol biasa harga RM2.50. Sedap juga rasa cendolnya. Selain cendol ada juga makanan lain dijual di sini seperti nasi ayam, mee kari ipoh, laksa, me kicap, popia crispy dan macam-macam lagi.



Selepas makan cendol kami terus menuju ke Menara Condong Teluk Intan pula yang terletak di bandar Teluk Intan. Jarak lebih kurang 6 kilometer. Alhamdulillah dapat parking berhampiran dengan menara.



Akhirnya tercapai juga hajat nak sampai ke sini. Waktu ni dekat pukul 12 tengahari dan memang tengah panas lit lit. Dah sampai, panas-panas pun kami belasah juga pergi ke menara dan sebelum tu ke bahagian tengah untuk aktiviti wajib iaitu bergambar.



Nampak menarik juga rekabentuk klasik menara ini. Tak lama kemudian, kami ke bahagian hadapan menara dan berhajat ingin masuk ke dalam menara untuk menijau keadaan di bahagian dalamnya pula.


Ramai juga pengunjung yang datang ke menara ini. Tidak putus-putus orang datang. Nampak ada juga group dari China turut datang mengunjungi menara ini. Sebelum masuk, sila daftar nama di hadapan pintu masuk menara untuk rekod pengunjung.



 

Menara Condong Teluk Intan ni pada mulanya merupakan sebuah menara tangki air sebelum adanya tangki air di Changkat Jong dan kemudian dijadikan menara jam. Menara ini telah menjadi mercu tanda bandar Teluk Intan sejak beberapa lama dulu.


Menara ini telah dibina pada tahun 1885 dengan ketinggian mencecah 85 kaki. Keunikan menara ini adalah ia menyerupai Menara Pisa, di Itali iaitu merupakan menara condong yang sangat popular di dunia.





Walaupun menara ini telah berusia lebih 100 tahun, ia tetap masih berdiri kukuh. Kini menara ini tidak digunakan lagi dan hanya menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke Teluk Intan.

Cerita banyak nanti bosan pula nak baca, ayuh mari kita lihat apa lagi yang ada di dalam menara ini.

 

   



Sekejap saje kami mengelilingi setiap tingkat dan sudut menara ini. Selesai semua sudut kami lawati, lalu kami keluar dari menara dan bergambar di hadapan menara pula.


Bangunan purba ini juga telah mendapat jolokan Menara Condong ke dua di dunia selepas Menara Pisa di Itali. Jika di lihat memang menara ini nampak condong. Tapi tak tau kenapa gambar yang aku ambil ni kurang pula nampak kecondongannya.


Selepas bergambar, kami ambil kesempatan meninjau kawasan sekitar menara yang di kelilingi dengan deretan lot-lot kedai dan medan selera.



Selepas melawat menara, kami menuju ke simpang empat utama Teluk Intan pula. Kemudian parking kereta di hadapan Tabung Haji. Lepas tu aku keluar menuju ke simpang empat tadi berdekatan dengan traffic light. Wife tak nak keluar sama, segan katanya. 


Aku ke situ sebab nak ambil gambar Batu BertenggekBatu ini terletak berhadapan dengan bangunan SKOMK dan merupakan seketul batu besar hampir sebesar kereta kancil yang terletak di atas binaan lain. Batu Bertenggek ini merupakan Tugu Peringatan bagi memperingati perajurit yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua.


Di bawah batu itu ada tercatat tulisan yang merupakan sebuah puisi nukilan Robert Laurence Binyon seorang pemuisi, dramatis dan seniman Inggeris. Menurut sebuah lagenda, batu itu pada asalnya hanya sebesar kotak mancis dan kemudian lama kelamaan menjadi besar. 


Seorang Jurutera British yang ketika itu hendak membuat jalan telah mengarahkan batu itu dipindahkan tetapi tidak berjaya kerana batu itu terlalu berat walaupun telah menggunakan mesin jentera berat untuk mengangkatnya. Akhirnya batu itu dikekalkan di situ dan dijadikan sebagai tugu peringatan. 


Selesai ambil gambar batu, kami menuju ke River Front Teluk Intan pula yang terletak tidak jauh dari situ. Hanya 930 meter dari Tabung Haji. 


Cuaca mendung ketika ini. Air Sungai Perak kelihatan agak deras dan penuh seperti menanti untuk melimpah saje. 



Kami masuk ke dalam dan lihat River Front ini seperti agak tidak terjaga dan terbiar. Atau mungkin waktu ni sedang dalam proses membaikpulih, aku tak pasti. Yang kami nampak ada taman permainan di dalam sikit. 



Tiada yang menarik jadi kami keluar semula melalui pintu keluar lain.




Menuju ke kereta sambil ambil gambar.




Semasa memandu nak keluar dari sini, tiba-tiba ternampak ada restoran yang nampak menarik di depan sungai bersebelah river front.




Nama Restoran D' Tepian Sungai. Seperti menarik, kami berhenti singgah. Betul-betul kami berada di depan restoran, hujan turun dengan lebatnya.



Kami duduk di depan sungai dan order kueh tiaw udang yang bersaiz B- dengan harga RM19. Saje nak cuba. Rasa udangnya memang sedap dan manis. Tapi rasa masakannya kurang enak pada kami. Kebanyakkan pengunjung datang makan nasi berlauk. Disebabkan kami baru saje lepas makan tapi gatal nak mencuba jadi hanya order mee saje.



Sambil makan sambil tunggu hujan berhenti.



Hujan teduh sedikit aku ke bahagian jeti sekejap. Hendak melihat pemandangan dari jeti pula.




Bila hujan sudah mulai renyai, kami terus beredar dari restoran ini dan menuju ke Masjid Daerah Sultan Idris II, Teluk Intan untuk menunaikan solat zohor. 



Selesai menunaikan solat, pada mulanya kami bercadang hendak ke jambatan besi. Tapi malangnya google map tak dapat detect tempat tu. Mungkin ada nama lain yang kami tidak tahu. Jadi tak dapat nak menjejak satu lagi tempat bersejarah.


Oleh kerana tiada lagi arah tujuan, jadi kami pergi ke Coffee Lab untuk minum petang sebelum pulang ke rumah.




Di Coffee Lab kami order green tea latte dan hot chocolate. Kemudian dapat free french fries yang berminyak dan keras. Rasa minumannya sedap juga cuma fries nya saje. Mungkin benda free, bagi pun macam tak ikhlas. Harga RM18.80.

 



Selesai makan kami terus mulakan perjalanan pulang. Dalam perjalanan pulang, sebelum sampai ke Lebuhraya Utara Selatan, kami singgah di gerai tepi jalan. Ada banyak gerai yang menjual bermacam jenis buah-buahan di sini. Agak meriah juga.



Aku beli jambu batu saje untuk ofismate wife aku. Harga RM10.00 satu bungkus. Wife aku kata sedap rasa jambunya. Kami tak beli apa-apa untuk diri sendiri.



Selesai membeli, kami sambung kembali perjalanan.



Kemudian berhenti di RNR untuk menunaikan solat asar dan sambung kembali perjalanan. Alhamdulillah traffic semasa perjalanan pulang juga sangat lancar. Selamat sampai di rumah sebelum maghrib.


Sekian kisah one day trip kami hari ni. Semoga diberikan kesihatan, kesempatan dan rezeki lagi untuk berjalan ke tempat lain pula.