Total Pageviews

Bukit Gasing

Hiking - Bukit Gasing


Sabtu - 29.12.2018


Menghampiri hujung tahun 2018, kami ambil keputusan mendaki Bukit Gasing yang terletak di Petaling Jaya sebagai penutup akitiviti hiking tahun ini. 

Seawal pagi seusai solat subuh kami terus bergerak menuju ke Bukit Gasing. Dalam perjalanan, kami singgah sarapan pagi dulu di Gerai Bawah Pokok di Taman Sri Manja, Petaling Jaya. Selesai makan, kami sambung semula perjalanan ke Bukit Gasing.

Sampai di Bukit Gasing, ruang parking di tepi jalan sudah dipenuhi dengan kereta. Perlahan-lahan mencari ruang menyelit. Kami parking jauh sikit dari pintu masuk. Selesai hal parking, ayuh kita mulakan pendakian.


Aim kami hari ni hanya sampai di jambatan gantung. Di Bukit Gasing ni ada beberapa trek yang boleh dipilih. Tapi semua treknya akan pusing di dalam kawasan bukit ni dan akan membawa kita ke tempat yang sama. Pusing, pusing tang tu juga akan jumpa balik nanti. Cuma jalan keluarnya berbeza mengikut pilihan masing-masing.


Dari pintu masuk utama tadi kami trekking ikut laluan yang ada di situ tanpa tahu mana arah yang ingin dituju. Jalan punya jalan laluan itu telah membawa kami ke Menara Pandang.


Tapi tiada menara pandang di situ. Yang ada hanya sebuah platform. Naik atas platform tu dan mata disajikan dengan pemandangan pencawang telekomunikasi nun jauh di sana.


Kemudian kami turun dari platform tadi, jalan ke hadapan sikit dan kami dapat lihat pemandangan bandar pula.


Kebetulan ada seorang pemuda di situ sedang menunggu isterinya, lalu wife pun tanya mana laluan ke jambatan gantung dan jaraknya. Pemuda itu minta kami ikut laluan di tepi pagar dan jalan terus saje sehingga nampak jambatan.



Kali ni laluan lebih jauh sedikit untuk sampai ke jambatan gantung. Kami jalan sambil menikmati pemandangan hutan sepanjang laluan.



Bukit Gasing ini yang juga dikenali dengan nama Taman Pendidikan Bukit Gasing terletak di Petaling Jaya, Selangor dengan ketinggian mencecah 160 meter. Lokasinya berada dalam kawasan perumahan.



Disebabkan lokasinya berdekatan dengan kawasan kediaman dan berada di dalam bandar, Bukit Gasing menjadi pilihan popular orang ramai sebagai tempat riadah dan latihan stamina pada hujung minggu.


Pada setiap hujung minggu, bukit ini tidak pernah sunyi menerima kedatangan orang ramai yang berhajat memanaskan badan dan mengeluarkan peluh.



Selain itu para pengunjung juga dapat menikmati pemandangan hutan yang hijau dan menghirup udara segar sambil melihat flora dan fauna yang ada di sekitar Bukit Gasing.



Bukit ini boleh dimasuki melalui beberapa laluan. Laluan pertama yang paling popular ialah melalui pintu gerbang Bukit Gasing yang kami masuk tadi. Laluan kedua melalui kondominium panorama, ketiga pula melalui Pantai Hill Park dan keempat boleh juga melalui dari Taman Rimba Bukit Kerinchi.




Trek Bukit Gasing juga biasa dijadikan sebagai tempat latihan bagi para pendaki sebelum menaiki gunung-gunung lain yang lebih mencabar. Daripada trek yang sederhana hingga yang sukar boleh dipilih mengikut kemampuan diri. 


Setelah lebih 15 minit kami berjalan dan mendaki akhirnya kami berjaya sampai di jambatan gantung. Aim kami hanya sampai di jambatan gantung saje sebab niat hanya nak santai-santai. Janji dah pernah sampai ke sini.


Bila dah sampai ayuhlah kita ke seberang dengan melalui jambatan gantung. Eh! Ada juga yang memilih ikut bawah jambatan untuk ke seberang. Saje ajak wife aku cuba, dah tau jawapannya mesti tak nak.


Selepas sampai ke seberang, kami berhenti sekejap. Fikir nak pilih patah balik ikut laluan tadi untuk balik atau ikut laluan lain. Dengar cerita kalau terus kena naik anak tangga yang mencanak tegak. 

Keputusannya kami pilih mencabar diri dengan memilih mendaki anak tangga. Kami beri laluan pada orang lain dulu sebab kami bakal naik dengan perlahan.


Mula-mula naik tangga tu agak ok, biasa saje. Kemudian kena turun tangga pula. Selepas itu, maka terbentang di depan mata anak-anak tangga yang banyak dan sangat tinggi. Nak sangat cabar diri tadi kan. Hah! Silakan mengadap.



Marilah kita naik perlahan-lahan. Usaha tangga kejayaan. No pain no gain. Kata nak tingkatkan stamina.


Mengah dibuatnya naik tangga ni.


Tangga puaka seperti tiada penghujung.


Bila nak habis ni?! Grrrrrrr....


Ada juga yang berhenti ambil nafas.


Kami masih tetap teruskan perjuangan yang tak tau bila nak berakhir. Perlahan-lahan kayuh!


Setiap perjalanan pasti ada destinasinya. Setelah menempuh cabaran, akhirnya kami berjaya menghabiskan kesemua anak tangga durjana tadi hingga ke atas. Di atas inilah dikatakan puncak tertinggi Bukit Gasing yang tiada pemandangan. Hanya hutan dan pokok-pokok saje.




Kami berehat sebentar bagi melegakan sedikit degupan jantung yang laju akibat menaiki anak tangga tadi. Rasa mintak nyawa. Memang mencabar stamina pendakian tadi. 


Bila dah lega sikit, kami minum dan makan sikit coklat untuk tambahan energy.







Kesian wife aku, merah padam muka dia. Tapi semangat dia kuat. Setelah badan dan heart beat kembali normal sedikit, kami teruskan kembali perjalanan.




Ikut saje laluan yang ada. Tak pasti mana laluan lebih dekat untuk kembali ke pintu masuk tadi. Atau memang itu saje laluan yang ada.



Kami jalan dengan lebih santai kali ni. Letih naik tangga tadi. Sambil jalan sambil ambil gambar. Sehingga kami jumpa tangga konkrit dan laluan berkayu.


Di depannya ada kolam kecil. Di kolam tu ada pokok teratai. Wife aku berhenti pergi layan ambil gambar.


Lepas tu pakat layan bergambar di laluan berkayu pula.


Selesai ambil gambar, kami sambung semula perjalanan. Tak pasti mana tujuan. Hanya ikut laluan yang ada.


Kemudian kami ikut laluan konkrit pula.


Laluan itu telah membawa kami ke Tapak Perkhemahan. Aku memang suka tempat berkhemah macam ni sebab memang ini minat aku sejak kecil lagi sampai aku bujang terlajak. Lepas kahwin terus menyepi. Nasib....



Kami tinjau kawasan sekitar. Nampak ramai anak-anak muda di sini. Yang berkhemah pun ada. Kemudian kami jalan menuju ke Jambatan Konkrit atau Jambatan Besi.



Kami naik jambatan itu dan bergambar. Tak pasti di hujung jambatan ini akan ke mana. Ada saje pengunjung lain yang terus ke depan. Kami hanya sampai separuh saje sebab takut jauh sangat pergi nak patah balik.



Kami kembali semula ke kawasan perkhemahan tadi dan berhenti sekejap di air terjun kecil yang ada di sini. Bermain-main air sebentar.


Tidak lama kemudian kami sambung kembali perjalanan kami. Ikut kembali laluan berkonkrit tadi. Kali ni kami jalan sedikit laju. Jalan punya jalan, tiba-tiba nampak tanda arah ke Temple. Lalu perasaan ingin mencuba membuak-buak walaupun hati kata tak nak dah letih.


Disebabkan semangat nak melihat tu lebih kuat, jadi kami terus menuju ke arah temple. Pada mulanya laluan agak biasa saje.


Lama kelamaan laluan menjadi mencabar dan semakin mencabar apabila kena mendaki laluan yang mencanak tegak dan curam. 



Kali ni tak naik tangga kayu seperti tadi tapi kena naik dengan guna akar kayu. Laluan yang lebih curam ada disediakan tali untuk berpaut demi keselamatan.


Tapi tak tahu kenapa, tenaga dan semangat sangat kuat waktu ni. Tak pasti apa yang menghantui kami sehingga dengan laju mendaki laluan yang curam dan mencabar itu.


Kami terus naik hingga ke atas sehingga buntu ke mana nak pergi sebab kami nampak papan tanda kawasan larangan. Aku minta wife tunggu sekejap manakala aku pergi tengok mana laluan ke temple tu. Oh! Signboard tanah perkuburan islam ada kami nampak di sekitar sini. Maknanya dekat dengan kubur lah....


Bila aku tinjau laluan agak tak sesuai dan kurang selamat, jadi aku patah balik ke tempat wife menunggu aku dan beritahu kita patah balik saje dan teruskan menuju ke pintu keluar.


Memandangkan jam waktu ni sudah pukul 12.00 lebih dan hampir nak masuk zohor, jadi aku ajak wife cepat-cepat keluar dari sini. Memang menjadi pantang aku dari dulu bila mendaki gunung sebaiknya cuba elakkan waktu-waktu macam ni. Lagi-lagi hanya kami berdua saje. 

Sebaiknya kalau masuk hutan ni biar dalam bilangan ganjil. Bagi mengelakkan perkara mistik berlaku. Banyak juga pengalaman mistik pernah aku alami sepanjang penglibatan aku dalam dunia pendakian ni. Tapi itu semua tinggal kenangan. 


Kami berjalan agak laju sedikit menuju ke pintu masuk utama. Kedengaran suara mengaji sedang berkumandang dari masjid terdekat.


Selepas beberapa minit kami selamat sampai di pintu masuk tadi. Tidak lama kemudian azan zohor pun berkumandang.


Alhamdulillah berjaya juga sampai di Bukit Gasing. Daripada tujuan hanya nak sampai di jambatan gantung saje, akhirnya hampir keseluruhan trail yang ada di sini kami telah lalui. Jadi no repeat (wife aku yang kata).


Selamat tinggal Bukit Gasing. Next ke mana pulak kita akan mendaki, tunggu....


1 comment:

  1. belum pernah sya sampai kat tangga tinggi tu lagi ..baru pergi first time sudah sesat haha ... harap boleh daki lagi bukit gasing nie soon ...

    ReplyDelete