Trip Passport Baru - Angkor Wat, The Killing Field, Royal Residence & Pub Street
Selasa - 07.01.2020
Di hari ke tiga seawal pukul 5.20 pagi, selesai solat subuh kami keluar. Driver tuk tuk sedia menanti kami di luar hotel. Kami terus bergerak menuju ke Angkor Wat demi mengejar sunrise. Perjalanan dari hotel mengambil masa lebih kurang 15 minit.
Sampai di Angkor Wat, dalam kegelapan pagi kami jalan kaki mencari tasik yang menjadi lokasi utama spot mengambil gambar matahari terbit bersama refleksi Angkor Wat di permukaan tasik.
Lepas tu driver tanya nak makan ke, kalau ikutkan kami masih kenyang. Tapi risaukan dia tak makan lagi sebab tunggu kami, jadi kami kata ok la. Dengan suara dan muka macam orang takde mood dia kata sakit kepala. Lepas tu dia cakap biasa orang habis melawat Angkor Wat pukul 8 atau 9 pagi. Kami pulak lama sangat. Eh! Boleh pulak macam tu. Ikut suka kami lah kan.
Driver tuk tuk bawa kami ke Angkor Halal Restaurant. Masa ni perut tak lapar lagi. Jadi kami hanya order mee goreng satu dan air. Kami share. Tengok driver tu makan nasi siap tambah lagi. Ni mesti kes lapar tunggu kami lama. Lepas tu dah kurang mesra dengan kami. Hmmmm...
Sampai saje di Ta Prohm, kami kena jalan kaki dalam kawasan hutan lebih kurang sekitar 10 minit untuk sampai ke temple.
Masa ni tak berapa ramai sangat orang. Nampak cantik juga struktur temple lama ni.
Ada nampak banyak juga runtuhan-runtuhan batu binaan.
Ta Prohm menjadi salah satu kuil yang terkenal dikalangan pelancongan selepas filem Tomb Raider lakonan Angelina Jolie.
Uniknya di kuil ini terdapat pokok dengan batang tinggi berwarna silver dan akar besarnya mencengkam struktur batu bangunan kuil.
Tempat ini menjadi tumpuan pelancong mengambil gambar. Jadi kena bersabar tunggu giliran ye. Bila sampai giliran sendiri rasa segan nak berposing sambil diperhatikan orang lain.
Selepas bergambar, kami tinjau lagi sekitar kuil bagi tujuan mencari lokasi kepala budha dicelah akar pokok besar.
Kami tak tau lokasi sebenar. Asal nampak akar pokok besar saje kami tinjau tapi masih tak jumpa. Tapi menurut ofismate wife yang baru saje datang ke sini, memang susah nak jumpa sebab akar dah menutupi kepala budha.
Risau juga bila lalu di celah-celah laluan sempit dengan struktur batu yang tidak kukuh. Nampak seperti bila-bila masa saje boleh runtuh.
Walaupun kami tak jumpa kepala budha dicelah akar pokok, tapi kami rasa kagum dengan keunikan pokok di sini. Kagum melihat pokok dengan batang seperti warna perak. Kagum dengan ciptaan Allah. SubhanAllah.
Selepas meninjau sekitar kuil, kami mula melangkah keluar. Berhenti rehat sekejap di satu platform sambil melihat gelagat pengunjung. Panas berlingas.
Tak lama kemudian kami beredar keluar. Maka tamat sudah lawatan temple kami.
Kami jalan kaki melalui laluan hutan tadi semula menuju ke tempat parking tuk tuk. Dalam perjalanan kami diusha budak-budak tempatan yang menjual cenderahati. Wife aku beli banyak fridge magnet untuk diberi kepada ofis mate. Sebab dia beli banyak, maka datang pula budak-budak lain usha kami.
"Tapi dik, kami dah banyak beli tadi. Maaf ye". Berlakulah adegan pujuk rayu supaya kami beli lagi. Rimas juga.
Sampai saje di tuk tuk yang sentiasa siap sedia menunggu, kami terus gerak menuju ke Wat Thmey (Killing Fields). Sampai saje kami terus beli tiket masuk USD3.00 di kaunter tiket.
Kemudian masuk ke dalam untuk pengesahan tiket di kaunter. Lepas tu baru boleh masuk untuk mulakan lawatan.
Kami ke sini sebab tempat ini merupakan salah satu daripada lebih 300 lokasi tempat berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Kemboja yang berlaku pada tahun 1975 hingga 1979.
Tak tahu dari mana nak mulakan. Kami nampak ada sebuah rumah kecil. Kami terus naik anak tangga dan masuk ke dalam. Rupanya rumah kecil ini seperti muzium. Di dalamnya terdapat pameran gambar-gambar kisah dan lukisan gambaran kejadian pembunuhan beramai-ramai dan keganasan yang berlaku di Kemboja oleh rejim Khmer satu ketika dulu.
Muzium ini dijadikan sebagai peringatan dan memberi penghormatan kepada mangsa pembunuhan. Melihat gambar-gambar yang dipamerkan, kami dapat rasakan zaman kegelapan mereka dan sejarah ngeri yang mereka hadapi.
Sentiasa hidup dalam ketakutan, kehilangan orang yang tersayang dan menyaksikan kekejaman yang dilakukan cukup meruntumkan hati. Bertapa rakusnya manusia. Kadang tak faham apa yang mereka dapat atas tindakan kejam yang mereka lakukan. Adakah kepuasan hati?
Selesai lawatan di dalam muzium, kami buat lawatan di bahagian luar pula. Melawat lokasi tempat mayat mangsa pembunuhan dicampak beramai-ramai.
Kemudian kami lihat sebuah binaan seperti kuil yang dijadikan tempat meletak tengkorak mangsa pembunuhan yang telah dikebumikan di dalam sebuah kubur yang besar. Menurut sumber hasil penyelidikan, sejumlah 1,386,734 orang mungkin telah dibunuh dan beratus ribu atau juta orang cedera.
Di satu sudut ada seorang warga tua tempatan. Beliau sentiasa berada di tempat ini untuk bercerita dan memberi gambaran jelas kepada pengunjung tentang pengalaman beliau yang merupakan salah seorang mangsa peristiwa ngeri ini.
Kawasan ini kecil saja. Sekejap saja masa yang diambil untuk meninjau sekitar kawasan. Pada aku, tak banyak benda yang dapat dilihat semasa melawat di sini. Kalau nak skip tempat ni sebenarnya pun ok.
Tiada apa lagi yang menarik, kami terus naik tuk tuk dan beredar dari sini menuju ke Royal Residence.
Di hujung selatan The Royal Independence Park ada sebuah villa putih. Villa ini merupakan kediaman rasmi Raja Kemboja dan keluarga ketika berada di Siem Reap. Royal Residence ini tidak dibuka untuk lawatan orang awam. Hanya boleh ambil gambar dari luar saje.
Tiada apa yang menarik sangat di sini sebenarnya. Binaan villa ini pun biasa-biasa saje. Selepas ambil gambar kami jalan disekitar taman di sini. Kebetulan ada pameran. Tapi kami tak pasti pameran tentang apa. Kami hanya tinjau sekejap.
Dari gambar yang dipamerkan mungkin tentang hubungan diplomatik dan pencapaian Kemboja.
Terdapat juga pameran gambar-gambar zaman kegelapan Kemboja suatu ketika dulu. Tak banyak info yang kami dapat sebab semuanya dalam bahasa Kemboja.
Selesai meninjau, kami minta driver tuk tuk bawa ke Muslim Family Kitchen Restaurant. Perut dah lapar gile. Sampai di sana kami order tomyan dan dua nasi putih. Kemudian kami tapau nasi goreng dan popia untuk makan malam.
Selesai makan kami terus balik ke hotel. Sampai di hotel mandi, solat dan berehat hingga tunggu maghrib. Penat juga hari ni. Ditambah dengan cuaca panas dan badan berpeluh terasa rimas juga nak jalan-jalan lama. Selepas solat maghrib kami makan malam makanan yang kami tapau siang tadi.
Selepas solat isyak, kami keluar ke Pub Street.
Di Pub Street ni suasananya lebih happening. Kira macam nightlife di Siem Reap lah. Di sini meriah dengan bar-bar, pub dan lampu-lampu. Ada kiosk-kiosk kecil di tepi jalan. Restoran pun banyak. Memang ramai pelancong luar di sini berhibur dan makan malam.
Live band di sana sini. Meriah. Kami jalan-jalan sambil melihat pemandangan lampu yang berwarna-warni dan pelbagai gelagat manusia.
Kami jalan hingga ke hujung dan patah balik.
Kemudian singgah beli ais krim. Macam menarik je ais krim ni, kalau datang sini mesti cuba.
Lepas makan kami terus balik ke hotel. Sambung esok hari ke empat, iaitu hari terakhir di Siem Reap.
Perbelanjaan hari ke tiga :-
- Angkor Halal Restaurant - USD5
- 17 Fridge Magnet - USD6
- Killing Field Ticket - USD3 x 2 = USD6
- Makan tengahari + tapau - USD9
- Ambil gambar kala jengking - USD1
- Aiskrim - USD2.50
Total = USD29.50