Total Pageviews

Perak : Day 1

Trip Merdeka - Refarm, Bandar Argacia, Kinta Tin Mining Museum, Gua Tempurung & Kuala Kangsar 


Sabtu - 31.08.2019


Sempena cuti sambutan hari Kemerdekaan yang ke 62 tahun pada tahun ini dan jatuh pada hari Sabtu, jadi kami ambil keputusan bercuti di Negeri Perak Darul Ridzuan. Sekali lagi Perak menjadi pilihan kerana wife nak bermalam di hotel yang lama telah menjadi salah satu 'bucket list' dan harganya juga tidak mahal.

Jadi, seusai solat subuh kami bersiap dan keluar dari rumah sekitar pukul 7.00 lebih. Kami keluar awal dengan harapan semoga dapat mengelakkan kesesakan traffic yang dijangka akan berlaku hari ini disebabkan cuti hujung minggu yang panjang dan akhir bulan.


Kami berhenti di Restoran Jejantas untuk sarapan pagi dan kemudian sambung kembali perjalanan menuju ke utara. Trafik ketika ini semakin bertambah. Kadang kala trafik bergerak perlahan sekejap dan kemudian kembali laju. Alhamdulillah trafik tetap bergerak sepanjang perjalanan kami. Syukur Allah permudahkan.


Kami keluar dari Lebuhraya Utara Selatan melalui Exit Tapah menuju ke Kampar untuk ke destinasi lawatan pertama hari ini iaitu Refarm. Hanya 4 kilometer dari Pekan Kampar.



Refarm merupakan tempat riadah yang menawarkan kemudahan dan aktiviti yang sesuai untuk keluarga. Tempat ini di kelilingi bukit bukau dan hutan. Air terjun dalam hutan menjadi sumber air di Refarm ini. Sebab itu ia menarik minat kami ke sini untuk meninjau apa yang menarik di Refarm dengan mata sendiri.



Selepas parking kereta, kami menuju ke entrance. Sebelum tu singgah ke tandas sebentar. Air paipnya sejuk kerana sumber dari air terjun di hutan. Nampak ramai juga pengunjung lain yang baru sampai dengan membawa bekal picnic dan pelampung kanak-kanak.


Tapi bila tengok ramai keluarga bawa anak-anak kecil dan kena bayar tiket masuk RM15.00 untuk seorang dewasa terus kami batalkan niat untuk masuk ke dalam kerana rasa tak sesuai dan berbaloi pada kami. Selepas intai-intai dari luar kami pun beredar dari sini menuju ke lokasi ke dua hari ini.


Tak jauh dari Refarm tadi ada satu kedai telur comel yang menarik perhatian kami. Jadi kami singgah sekejap untuk ambil gambar. Bukan singgah beli telur. 




Harga telur agak murah juga, harga ladang dan telur baru. Best kalau dapat beli. Tapi takkan kami nak simpan dan bawa telur ke hulu ke hilir sepanjang trip kami ni. Jadi cuma tengok dan ambil gambar saje.


Selain telur ada juga barangan lain dijual seperti buah-buahan, madu dan pokok tanaman. Tapi tak banyak. Jualan utama kedai ini adalah telur segar terus dari ladang. 

 


Selesai meninjau dalam kedai kami beredar dan sambung kembali perjalanan. Entah kenapa kali ini google map telah bawa kami kembali ke pekan lama semula dan kemudian masuk ke dalam kawasan rumah dengan jalan yang sangat sempit. 


Kami ambil keputusan keluar semula menuju ke jalan besar dan google map kembali semula membawa kami ke laluan yang betul menuju ke Bandar Agacia yang tidak jauh dari pekan Kampar. 

Sampai saje di Bandar Agacia kami disambut sepi. Tempat ni nampak sangat sunyi sepi seperti tidak berpenghuni.



Kami tinjau kawasan sekitar menerusi kereta terlebih dulu. Takde orang. Sunyi saje. Kedai-kedai pun takde yang bukak. Ingatkan boleh lunch di sini tapi hampa. Hampir keseluruhan kawasan kami tinjau hingga sampai di satu block ni ada group cina tengah buat photo wedding shoot.



Kami berhenti, then parking kereta dan keluar dengan tujuan nak bergambar. Melihat kawasan ini rasa sayang sangat sebab nampak agak terbiar kosong. Tempat cantik tapi tak hidup. Semua bangunan-bangunan di sini berkonsepkan ala-ala Disneyland. Setiap unit berlainan rekabentuknya.



Menarik dan cantik. Tambah cantik setiap unit dicat dengan warna berbeza yang kebanyakkannya menggunakan warna-warna pastel.



Mungkin disebabkan tak ramai yang datang jadi kedai yang sebelum ni beroperasi tak dapat nak survive jadi terpaksa ditutup. Mungkin juga yang datang ke sini hanya nak bergambar semata-mata saje. Tapi rasanya kalau ada kedai makan yang sedap pasti orang akan terus datang.



Selepas bergambar maka perut pun jadi lapar. Cuaca semakin panas waktu ni. Almaklumlah dah tengahari buta. Jadi kami ambil keputusan beredar dari sini menuju ke Kinta Tin Mining Museum yang tak jauh dari Bandar Agacia.

Lokasinya bersebelahan dengan Pasaraya Econsave. Ada kedai mamak sebelah pasaraya tu tapi kami kurang berminat nak makan tengahari di kedai mamak. Jadi tahan saje perut sikit dan terus masuk ke dalam muzium timah. 



Mari kita lihat apa yang ada dipamerkan di dalam muzium ini. Sebelum tu kena bayar tiket masuk RM5 seorang dewasa. Mula-mula ingat takde orang datang ke muzium ni, bila masuk baru kami nampak kelibat pengunjung lain. Boleh tahan juga ramai masa ni. 


Masuk saje ke dalam kawasan muzium, di bahagian luar kami terus nampak pam kerikil, paip dan jentera yang digunakan untuk kerja-kerja perlombongan.



Kemudian kami nampak ada mock-up kaedah dulang lama dipamerkan. Kaedah yang dikenali dengan nama mendulang ini adalah merupakan cara untuk memisahkan bijih timah dengan cara membasuh bijih timah menggunakan kuali dan digoyang-goyangkannya. Pengunjung dibenarkan mencuba dan rasai pengalaman mendulang bijih timah.


Di depannya pula ada patung-patung manusia bersaiz sebenar sedang melakukan kerja-kerja melombong. Jadi kita dapat menyaksikan gambaran keadaan ketika itu dan kepayahan menjalankan tugas secara manual menggunakan peralatan lama dan tenaga manusia.



Kemudian kami jalan di bahagian tepi bangunan menuju ke bahagian belakang pula. Di sini ada dipamerkan jentera-jentera berat lain, traktor dan juga paip-paip.




Di sudut belakang terdapat patung-patung manusia sedang menjalankan kerja-kerja lain berkaitan perlombongan. Sekali lagi kita dapat melihat bagaimana mereka menjalankan kerja-kerja berat dengan hanya menggunakan tenaga manusia ketika itu. 




Kemudian kami ke bahagian belakang pula.



Selepas itu kami kembali ke bahagian depan semula dan masuk ke dalam muzium pula. Di dalam muzium yang berhawa dingin, sekali lagi kita lihat pameran patung-patung manusia sedang menjalankan tugas lain dalam perlombongan. Setiap tugasan ada dilabelkan untuk maklumat pengunjung.



Turut dipamerkan peralatan yang digunakan untuk perlombongan bijih timah.




Selain itu, dipamerkan juga surat perjanjian dan fakta-fakta sejarah mengenai timah seperti pergerakan harga timah sepanjang dekad.


Di ruang tengah muzium, ada model besar perlombongan terbuka dipamerkan. Pengunjung boleh menekan butang mengikut angka pada papan maklumat yang disediakan dan lampu akan menyala.



Muzium ini dibuka pada tahun 2012 dan merupakan inspirasi ahli perniagaan Tan Sri Hew See Tong yang merupakan seorang bekas pelombong bijih timah.



Muzium ini memberi tumpuan kepada kaedah pengeluaran batu kerikir dan timah di sekitar kawasan Kampar yang dahulunya merupakan pusat perlombongan timah terpenting dari tahun 1880-an dan melalui zaman kegemilangannya pada tahun 1920-an sehingga tahun 1970-an dimana pengeluaran bijih timah mulai menurun. 



Muzium ini juga ada mempamerkan tokoh-tokoh perniagaan terkenal yang bermula dengan bekerja sebagai pelombong dan kini bergelar ahli peniagaan yang sangat berjaya.


Di sini juga dipamerkan foto-foto lama bagi mengimbau kembali zaman kekejaman penjajahan Jepun, penjajahan British dan pencapaian kemerdekaan negara kita oleh Tunku Abdul Rahman.





Terdapat dua tingkat ruang pameran di dalam muzium ini. Di tingkat atas banyak dipamerkan dokumen dan carta berkaitan dengan perlombongan dan geologi.



Rekod terawal industri timah di Malaysia pada tahun 1851 dan merupakan pengeluar timah tertinggi daripada Indonesia dan Thailand.


Sekejap saja kami di tingkat atas dan kembali turun semula ke bawah untuk menamatkan lawatan kami. Sebelum keluar kami sempat melihat pameran barangan dan produk hasil daripada penggunaan bijih timah.




Selesai lawatan di muzium, kami terus keluar dan beredar menuju ke destinasi seterusnya iaitu ke Gua Tempurung. On the way ke Gua Tempurung kami singgah makan tengahari terlebih dahulu. Perut dah lapar sangat merayu minta diisi.

Tak jauh simpang nak masuk ke Gua Tempurung kami nampak satu gerai di tepi jalan. Jadi kami singgah di gerai tu. Tak banyak menu yang ada di gerai ni. Kami order nasi ayam hainan, mee kari dan cendol. 





Rasa makanannya biasa saje, tapi yang penting perut kenyang. Alhamdulillah. Selesai makan kami sambung kembali perjalanan menuju ke Gua Tempurung. Sebenarnya kami pernah mengunjungi Gua Tempurung 5 tahun yang lalu. Kami datang kembali ke sini bagi memenuhi itinerary trip kali ini.


Kami selamat sampai di Gua Tempurung sekitar hampir pukul 3.00 petang. 


Sampai terus ke kaunter tiket. Aku beli tiket RM8.00 seorang untuk dewasa. Harga ni untuk package yang sampai Platform 3 saje. Selepas itu kena patah balik semula.


Tiket dah dapat, ayuh kita masuk. 


Gua Tempurung ni terletak di Gopeng, Perak dengan panjangnya kira-kira 3 km dan merupakan salah satu gua terpanjang di Semenanjung Malaysia. Gua ini sangat popular di kalangan pelancong luar dan juga tempatan. Sebahagian gua ini diletakkan lampu dan laluan penjalan kaki. 



Di dalam gua ini ada sungai kecil yang mengalir sekitar 1.6 km melalui bukit dan terdapat tiga bilik besar serta beberapa stalaktik dan stalagmit yang menarik.



Gua ini mudah diteroka dengan berjalan kaki dari timur ke barat yang meliputi jarak kira-kira 2 km di bawah bukit batu kapur yang dikenali sebagai Gunung Tempurung dan Gunung Gajah.


Gua ini juga dipercayai telah wujud sejak 8,000 sebelum masihi, kira-kira 10,000 tahun yang lalu. Di dalam gua ini terdiri daripada lima kubah besar dan setiap kubah mempunyai pembentukan kalsium yang berbeza dan terdapat marmar di dalamnya.



Untuk meneroka masuk ke dalam Gua Tempurung ini ada 4 kategori jenis tiket yang boleh dipilih mengikut minat dan kemampuan masing-masing.


Tour 1 (Golden Flowstone).  Harga RM8.00 untuk dewasa dan pemegang Mykad. Tour yang paling senang dan hanya mengambil masa sekitar 40 minit atau lebih bergantung kelajuan individu. Dengan tour ini kita akan menerokai gua secara berjalan kaki sepanjang laluan konkrit dan tangga daripada pintu masuk sehingga Platform 3. 



Tour 2 (Top of the World). Harga RM12.00 untuk dewasa dan pemegang Mykad. Masa diambil sekitar 1 jam 45 minit. Tour ni jalan kaki sama dengan tour 1 tadi cuma yang ni dari pintu masuk hingga ke Platform 5, kemudian kena patah balik.



Tour 3 (Top of the World & Short River Adventure). Harga RM15.00 untuk dewasa dan pemegang Mykad. Tour ini sedikit mencabar dan mengambil masa 2 jam 30 minit. Penerokaan ini akan melalui gua sejauh 1.2 km bermula dari pintu masuk ke Golden Flowstone dan kemudian melalui Top of the World dan seterusnya melalui sungai bawah tanah. Tour ni confirm akan basah. Jadi kena pastikan ada bawak baju lain dan headlamp atau torchlight. Trip ini akan ditemani Cave Ranger dan minimum 8 orang.



Tour 4 (Grand Tour). Harga RM30.00 untuk dewasa bagi pemegang Mykad. Tour ini merupakan tour paling mencabar dan mengambil masa 3 jam 30 minit. Minimum 8 orang dan akan ditemani Cave Ranger. Tour ini merupakan penerokaan keseluruhan gua meliputi semua 5 gua dan bahagian timur gua yang menghadap Lebuhraya Utara-Selatan dengan melalui Golden Flowstone, Top of the World serta sungai bawah tanah. Untuk tour ini juga, di bahagian tertentu dikehendaki turun dari batu gua yang tinggi dengan cara slide. Sesiapa yang berani dan adventure boleh cuba.  



Jadi boleh pilih mana-mana tour yang disediakan mengikut pilihan masing-masing. Kami hanya ambil tour no. 1 disebabkan faktor masa dan malas nak berbasah-basah.


Masa trip pertama kami dulu pada tahun 2014 di gua ini, kami terikut belakang cave ranger dengan groupnya. Jadi secara tak langsung dapat sedikit maklumat berkenaan gua dan formasi batu-batu semasa ekplorasi kami.


Kali ni hanya kami saje berdua tanpa guide. Kurang sikit info. Hanya jalan dan mengamati formasi batu di dalam gua dengan imaginasi kami sendiri. Ataupun mungkin sebab kami pernah datang ke sini, jadi keterujaan tu sedikit berkurangan tak seperti semasa datang pertama kali dulu.



Walaupun begitu kami tetap kagum dengan pemandangan di dalam gua dan formasi batu-batu di dalamnya. 



Sepanjang ekplorasi ini, kita kena menaiki anak tangga yang agak tinggi. Mengah juga sikit sebab faktor umur. Semasa naik tangga tu jangan tengok bawah, sebab rasa sikit gayat. Faktor umur juga ni.



Selepas sampai di Platform 3 (Golden Flowstone), kami pun patah balik. Mulanya aku ajak wife teruskan tapi dia tak nak sebab takut berdosa. Bayar sampai Platform 3 tapi berangan nak ke Platform 5. Jujur itu penting.


Jadi kami patah balik menuju ke pintu masuk tadi semula sambil menikmati sekali lagi pemandangan di dalam gua.


Keluar saja dari gua kami singgah di kedai cenderahati. Tiada apa yang menarik hati jadi kami keluar dengan tangan kosong. Kemudian kami ke Surau untuk tunaikan solat. 


Lepas solat terus kami beredar dari Gua Tempurung menuju ke destinasi seterusnya. Sepatutnya plan kami ke Kellie's Castle tapi terpaksa dibatalkan sebab jika kami sampai sana dah nak tutup. Takpe bukan rezeki kali ini. Lagi pun kami dah pernah pergi ke Kellie's Castle pada tahun 2014 dulu.


Jadi kami terus beredar dan menuju ke Kuala Kangsar. Perjalanan tidak sampai satu jam dari Gopeng. Alhamdulillah perjalanan kami lancar.




Sesampai di Kuala Kangsar, kami terus menuju ke penginapan kami malam ini.


Malam ni kami akan menginap di The Shop Cafe & Hotel. Harga semalam RM120.60. Kami booked melalui www.agoda.com. Hotel inilah yang wife teringin sangat nak cuba sebab cafenya menarik. 


Dapat kunci terus ke bilik, kena naik tangga. Bilik biasa saje dan yang penting kemas dan bersih. Rehat sekejap, lepas tu terus bersihkan diri. Waktu ni dah pukul 6 lebih. Memandangkan esok Awal Muharram, jadi kami cadang nak solat maghrib berjemaah di masjid saje memandangkan masjid tidak jauh dari hotel.



Pukul 7.00 kami keluar menuju ke Masjid DiRaja Ubudiah, Kuala Kangsar. Cantik masjid ni. Tapi di masjid takde pula buat bacaan doa akhir dan awal tahun beramai-ramai. Jadi semua baca doa sendiri-sendiri saje. Biasanya masjid besar di lembah klang banyak buat bacaan doa sebelum masuk maghrib dan selepas azan.


 

 

Selesai solat, perut pun dah lapar. Kami pergi ke Mama Tomyam untuk makan malam ni. Ramai juga pelanggan di kedai ni. Kami order tomyam ayam putih, daging goreng kunyit, kailan ikan masin dan telur dadar. Alhamdulillah, semua makanannya sedap.


Selesai makan kami kembali semula ke hotel. 


Sampai di hotel kami tak terus masuk ke bilik. Tapi kami lepak di cafe hotel dulu. Kami suka sangat dengan suasana cafe ni. Cantik dan menarik. 



Di cafe ini hanya jual kek dan minuman saje. Makanan berat lain-lain tiada dijual di sini. Memang cafe ni khas untuk lepak sambil minum coffee.


Selain makanan ada juga dijual barangan cenderahati, t-shirt, toiletries jenama hotel ini dan barangan deco.


Di cafe ni kami order chocolate latte dan tiramisu cake. Rasa keknya sedap. Air pun sedap. Kami lepak sambil menikmati dessert. 

 

Selesai makan, mata pun dah mengantuk, kami balik ke bilik. Bersihkan badan dan solat, lepas tu terus hanyut dibuai mimpi. 

 

Sambung hari ke dua. šŸ‘ˆ


No comments:

Post a Comment