Total Pageviews

New Zealand : South Island - Day 8

Summer Road Trip - Tunnel Beach, Signal Hill Lookout, Baldwin Street, Centenary Lookout, Moeraki Boulders, Oamaru Blue Penguin Colony, Harbour, Elephant Rock Island Cliff, Lake Waitaki Dam Lookout, Lake Aviemore Dam Lookout & Lake Ruataniwha


Selasa - 27.11.2018


Di hari ke lapan, kami bangun pukul 5.00 pagi dan ke bilik air dengan menaiki kereta. Tak sanggup jalan kaki meredah kesejukkan pagi. Sejuknya hingga menusuk ke tulang. Agak jauh juga kabin kami dengan bilik air.



Pagi ni kami breakfast mushroom sup dan biskut. Selesai kemas dan masukkan semua barang ke dalam kereta, aku drive dan singgah di office Dunedin Holiday Park & Motels tinggalkan kunci di kotak yang disediakan di depan office. Senang saje urusan check-in dan check-out di New Zealand. Selesai hal kunci, mari kita mulakan perjalanan di hari baru dengan semangat baru. 



Destinasi pertama kami hari ni ke Tunnel Beach. Ikut itinerary, sepatutnya kami ke sini semalam. Tapi terpaksa ditukar ke hari ni sebab tour Dunedin Scenic Train lambat habis. Sepatutnya sampai di Railway Station pukul 6.30 petang. Tapi tour terlajak sehingga pukul 7.00 malam.


Jarak dari Holiday Park ke Tunnel Beach dekat saje hanya 6 kilometer. Cuaca masih mendung pagi tu. Rasa sedih sikit. Kami sentiasa berharap dapat cuaca cerah dan langit biru. Namun apakan daya jika itu suratan takdir dari Yang Maha Esa. Kita harus redha. Ayat penyedap hati. Apapun perjalanan harus di teruskan.


Selepas 10 minit drive, kami sampai di Tunnel Beach. Ketika ini hanya kami saje yang ada. Oh tidak, ada satu campervan park di tepi jalan masuk. Mungkin mereka bermalam di sini. Masa kami sampai wife empunya campervan tengah masak breakfast. Selepas ucap selamat pagi, kami terus masuk ke dalam menuju ke pantai. Kena naik tangga sikit, kemudian jalan kaki ikut track yang berpagar.  



Untuk ke Tunnel Beach kena melalui ladang tanah persendirian. Jadi jangan suka hati keluar dari kawasan sepatutnya dan buat onar. Kena hormat harta milik orang lain. Jarak untuk sampai ke Tunnel Beach 1 kilometer. Jalan kaki menurun menuju ke pantai.


Nampak cantik pula jalan dan pemandangan pantai semasa turun ni. Tak lama kemudian nampak Tunnel Beach dari kejauhan. Rasa tak sabar nak sampai. Perjalanan masih jauh lagi. Laut nampak biru sikit walaupun awan memenuhi ruang angkasa.



Ketika ini hanya kami berdua saje yang berada di sini. Mungkin masih terlalu awal pagi agaknya. Rasa tenang bila takde orang. Suhu sangat sejuk. Ditambah dengan tiupan angin laut menggandakan lagi kesejukkan di pagi hari.




Perjalanan masih jauh untuk sampai ke pantai. Di awalnya laluan bersih dan kemas. Semakin kami turun ke bawah, laluan mulai sedikit lecak akibat kesan hujan semalam. Kena berhati-hati untuk elak kasut kotor.




Sampai di hujung laluan, ada satu laluan kecil menurun ke sebelah kanan. Kami ikut laluan tu untuk melihat keadaan laut dengan lebih dekat. Rasa tenang melihat laut di waktu pagi tanpa orang ramai. Cantik pemandangan laut biru dan tebing tinggi.


Di sebelah kiri pula boleh nampak sebuah gerbang batu yang dipenuhi air dari atas. Waktu kami sampai, air sedang pasang. Kalau air surut, boleh turun ke bawah lalu di bawah gerbang batu tu. Unik dan menarikkan ciptaan Allah. 


Kami datang lebih dekat ke depan sana. Sila berhati-hati. Jangan melebihi kawasan kayu yang ditandakan demi keselamatan diri. Kami berdiri seketika di situ mengagumi kebesaran Yang Maha Esa dan menikmati alam semesta yang terbentang di depan mata. Sungguh tenang dan mendamaikan.


Kalau air surut boleh jalan di bawah gerbang batu tu

Selepas seketika, nampak kelibat orang mulai datang. Jadi kami ambil keputusan ke bahagian kiri untuk melihat apa lagi yang ada di situ. Pemandangan tebing di sebelah ini juga nampak sangat cantik. Tingginya tebing batu di sini bersama dengan rumput hijau dan laut biru, menjadikan ia satu kombinasi yang cukup sempurna dan indah di mata kami.


Kemudian kami nampak ada sebuah terowong tangga. Terowong sempit yang hanya mampu memuatkan seorang dalam satu masa. Jika ada orang datang daripada arah bertentangan sama ada hendak turun atau naik kena tunggu giliran. Kami turun ke bawah menggunakan anak tangga terowong itu. Anak tangganya agak basah dan licin kena berhati-hati semasa turun.


Anak tanga terowong itu bawa kami keluar ke pantai yang dipenuhi dengan batu-batu besar. Pemandangan dari bawah dan pantai sangat cantik dan menakjubkan kami. Ombak agak kuat ketika itu memandangkan air sedang pasang. Seram pun ada, teruja pun ada.


Kami jalan ke depan sikit di celah-celah batu. Susah jalan di atas batu-batu ni sebab bergoyang dan susah nak imbangkan badan. Sila berhati-hati. Jika tadi kami berada di atas tebing ini, kini kami melihat tebing yang tinggi ini dari bawah. Melihat pemandangan seperti ini menjadikan diri ini terasa sangat kerdil bersama tebing tinggi dan alam semesta.


Sangat cantik pemandangan pantai di sini. Kami tidak dapat pergi lebih jauh lagi kerana air pasang dan ombak agak kuat. Leceh kalau kasut basah nanti. Kami lepak seketika di sini sambil menikmati laut, tebing serta ombak.



Tak lama selepas itu kami ambil keputusan naik semula ke atas melalui terowong tangga tadi. Tak boleh terlampau lama di sini. Banyak lagi senarai tempat nak pergi hari ini dan semuanya jauh-jauh belaka.


Sampai di atas nampak beberapa pelancong lain sudah berada di sini. Pelancong sudah mulai datang sedikit demi sedikit. Nasib baik kami datang awal tadi.


Masa kami sampai awal tadi cuaca nampak semakin baik. Tapi kini cuaca mulai kelihatan kembali mendung. Beginilah cuaca di New Zealand. Terlalu cepat berubah dengan drastik.



Sambil jalan keluar dari sini, sambil menikmati pemandangan indah ini sekali lagi. Sukar nak dilepaskan. Namun perjalanan harus diteruskan. 



Jalan balik adalah saat paling mencabar dan menguji fizikal serta stamina. Kalau tadi masa datang kami jalan menurun, kali ini balik jalannya menaik dan memerlukan tenaga mendaki sejauh 1 kilometer.



Megah dibuatnya. Awal pagi stamina kami dah teruji. Memang out. Mana tak out, lapan hari berturut-turut trekking dan hiking. Exercise setiap hari. Makan pula banyak yang setakat alas perut saje. Confirm kurus jadinya. Beginilah keadaan kami setiap kali lepas balik bercuti di luar negara yang sukar dapatkan makanan halal dan memerlukan banyak tenaga. 


Demi menghilangkan rasa lelah mendaki, kami ada berhenti-henti sekejap kemudian toleh belakang layan view Tunnel Beach berkali-kali tanpa jemu. Indahnya bumi ciptaan Tuhan ini.



Lega rasanya bila selamat sampai di tempat kereta semula. Kelihatan kereta lain sudah mulai banyak parking di sini. Lega rasanya kami sampai awal. Bersihkan sikit tapak kasut yang kotor kesan akibat lecak tadi. 

Kemudian tanpa berlenggah kami terus beredar dari sini, patah balik ke bandar Dunedin menuju ke destinasi kedua hari ini iaitu Signal Hill Lookout. Jarak hampir 14 kilometer dari Tunnel Beach tadi.


Mata aku mengantuk gile waktu ni. Sampai saje di Signal Hill aku tak keluar. Mintak wife saje keluar tengok apa yang ada dan ambil gambar. Tempat ni hanya untuk tengok view saje.



Cuaca sangat mendung di sini masa kami sampai. Jadi view nampak kurang menarik. Sejuk gile kat luar ni. Signal Hill Lookout ni terletak di ketinggian 392 meter dari aras laut. Tempat ini popular bagi pelancong untuk menikmati pemandangan panorama bandar Dunedin dari atas.



Terdapat monumen di sini. Aku tak berapa pasti monumen ape sebab aku tak keluar. Wife pula kata dia malas nak baca. Dia tak boleh nak lama di situ sebab tak tahan sejuk dan angin kuat sangat di atas ni serta hujan rintik-rintik. Cuma ambil gambar saje.

 

 

Tak lama lepas aku lelapkan mata, wife masuk kereta dan laporkan sikit keadaan di situ. Regang-regangkan badan sikit sambil gosok mata, kemudian aku mulakan pemanduan menuju ke Baldwin Street, The World's Steepest Street.



Jarak tak sampai 4 kilometer dari Signal Hill Lookout. Sampai saje di sini kami masuk ke kanan iaitu Jalan Baldwin dan park kereta di tepi jalan, bersebelah rumah orang. Ramai juga orang masa kami sampai. 



Baldwin Street merupakan salah satu tempat wajib bagi pelancong datang sekiranya berada di Dunedin. Jalan ini menjadi popular kerana kecuraman jalan rayanya yang telah diiktiraf oleh Guinness World Of Records dan terletak di kawasan kediaman. Jadi kita akan nampak rumah penduduk di kiri dan kanan jalan ini nanti. 


Boleh cuba kecuraman jalan ini dengan menaiki kenderaan atau berjalan kaki. Kami pilih jalan kaki saje. Ada dua cara untuk rasa pengalaman ini sama ada mengunakan anak tangga yang disediakan di tepi jalan atau jalan di atas jalan raya. 


Sekiranya ada kenderaan datang, sila beri laluan. Masa kami baru nak mula, tiba-tiba ada sebuah lori simen besar dari atas nak turun ke bawah. Jadi semua orang ke tepi memberi laluan dan ambil peluang merakam video dan gambar.


Bila lori dah lepas, kami mula naik menggunakan anak tangga. Jalan secara relaks. Laju sangat mengah nanti. Simpan tenaga sikit. Sesekali kami ke tengah jalan raya ambil gambar dan kemudian kembali naik semula guna tangga.


Kalau kita tengok macam tu saje memang nampak jalan ni biasa saje, tak curam mana pun. Tapi bila tengok kedudukan rumah di sini, baru kita nampak jelas kecuraman keadaan jalan rayanya. 


Comel juga rumah dorang ni. Bayangkan kalau aku tinggal di sini, rasanya boleh kurus badan aku. Jenuh hari-hari jalan kaki ulang alik naik turun jalan ni. 



Kami jalan kaki sampai ke penghujung jalan. Di hujungnya ada disediakan kerusi sama ada untuk berehat selepas mendaki atau untuk ambil gambar sebagai bukti telah berjaya sampai ke penghujung jalan.

 

Masa kami sampai ada satu group mat salleh muda masih mengah tengah lepak berehat di situ. Kami nak ambil gambar tapi tunggu dorang macam tak nak berganjak pula. Tak lama lepas tu datang pula satu group perempuan mat salleh lain. Dorang bertegur sapa dan borak maka jadi lama pulak. Malas nak tunggu kami pun beransur dari situ.


Kali ni kami turun ikut jalan. Kena berhati-hati jalan turun takut tergelincir boleh jatuh. Wife dah ke depan. Aku lambat sikit sibuk ambil gambar rumah. Bila dah bersama, wife cerita tadi ada seorang pelancong dari Jepun dengan kamera canggihnya jatuh tergolek depan mata wife. 



Punca jatuh sebab turun laju. Lepas tu tak dapat balance badan dan brek. Dari jalan raya sampai ke tangga dia jatuh. Nasib baik kamera dia selamat. Mahal tu kameranya. Orangnya nampak sakit. Nampak susah nak jalan. Harap takde yang patah atau terkehel.


Berbalik kepada cerita Baldwin Street. Jalan ni lurus dan pendek dengan panjang 350 meter saje. Permukaan jalan menggunakan konkrit kerana tar boleh mengalir ke lereng pada hari panas dan juga untuk memberi cengkaman yang lebih kuat pada musim sejuk. Setiap tahun diadakan pelbagai acara tahunan di jalan ini. Ada kedai cederahati dan sijil dijual sebagai kenangan dan bukti telah berjaya jalan hingga ke atas. Sampai begitu sekali mereka tawarkan untuk pengiktirafan. Tapi kena bayar.


Kami singgah masuk kedai tu. Bukan nak beli sijil, cuma nak tengok cenderahati. Sedihnya takde yang menarik. Banyak barangan kraftangan yang dijual. Oleh kerana barang yang dicari takde, tanpa buang masa kami terus ke kereta. Sampai kereta perut buat hal pulak. Nasib baik ada public toilet di tepi jalan dekat dengan Baldwin Street ni.


Selesai melepaskan hajat, kami mulakan perjalanan menuju ke Moeraki Boulders. Dalam perjalanan ke sana kami berhenti di Centenary Lookout. Jarak dari Baldwin Street sejauh 10 kilometer. Tempat berhentinya betul-betul selepas conner tajam. Kena berhati-hati.



Pada mulanya aku malas nak turun. Rasa nak lelapkan mata sekejap. Wife keluar sorang lepas tu dia datang balik ke kereta suruh aku keluar kejap. View nampak lawa dan cuaca pun cerah. Aku pun keluar. Tak jadi tido. Rugi juga kalau tido. Datang jauh-jauh. Kena melintas jalan sikit. Lepas tu nampak terbentang di depan mata pemandangan Port Chalmers.


Sebuah perlabuhan yang penuh dengan kontena-kontena. Cuaca cerah, jadi view nampak menarik sikit. Pada bulan Oktober hingga pertengahan April, perlabuhan ini sangat sibuk dengan kapal yang datang pada waktu pagi dan berlepas pada waktu petang.


Di atas ni ada monumen bagi memperingati Kapten Robert Scott yang di anggap sebagai hero kerana telah melakukan ekspedisi ke Antartika pada tahun 1901 dan 1910 yang mana telah berlepas dari port ini.



Di perlabuhan ini ada terdapat warisan bersejarah seperti Port Chalmers Regional Maritime Museum, galeri-galeri dan restoran. Kalau ada masa boleh explore. Kami tak masukkan tempat ni dalam itinerary.


Selesai ambil gambar dan layan view kami kembali ke kereta. Nak gerak terus ke Moeraki Boulders. Ada 68 kilometer lagi nak sampai sana. Bertabahlah. Perut lapar waktu ni minta diisi. Tak tau nak makan apa dan makan di mana. 


Akhirnya setelah 32 kilometer perjalanan dan sampai di sekitar Waikouaiti, kami ternampak kedai Fish & Chips. Singgah di kedai makanan ini dan order 1 fish & chips dan air botol apple. 


Sementara tunggu makanan kami siap, borak-borak dengan tuan kedai ni. Menurutnya, dia ada sorang kakak yang masuk islam dan kahwin dengan orang melayu. Sekarang tinggal di Terengganu. Pernah datang Malaysia dan suka masakan Malaysia. Rasa bangga dengar.


Nasib baik portion besar. Cukup kongsi makan berdua. Nikmatnya dapat makan. Nasib baik bawak sos cili dari Malaysia. Kenyang perut baru rasa senang hati. Walaupun hanya menu simple.


Selesai makan, kami sambung semula perjalanan menuju ke Moeraki Boulders yang berbaki 36 kilometer lagi. Lebih kurang 40 minit kemudian kami selamat sampai di Moeraki Boulders Car Park.



Terus park kereta di tempat yang disediakan. Kemudian kami jalan kaki menuju ke pantai. Berhampiran tempat parking ada kedai cenderahati dan juga cafe. Ada harapan cari makanan lagi lepas ni.


Kami tak singgah dulu di gift shop dan cafe. Terus saje menuju ke pantai. Kalau boleh kami nak cepat sebab destinasi kami masih jauh dan banyak lagi. Kami ke pantai ikut laluan disediakan dan kemudian turun ikut tangga. 



Ramai orang di pantai ketika ini. Cuaca agak baik. Sebahagian mendung dan sebahagian lagi cerah. Pantainya agak berselerak sikit dengan sampah dari laut mungkin. Kami ke sebelah kiri dimana keadaannya lebih menarik.



Moeraki Boulders merupakan salah satu tempat pelancongan popular di New Zealand. Ini kerana terdapat batu-batu besar yang luar biasa dan unik berbentuk sfera di sepanjang Pantai Koekohe di Moeraki.



Sebahagian ada menyatakan batu-batu ini terjadi akibat daripada hakisan kira-kira 65 juta tahun yang lalu. Menurut lagenda maori pula, batu-batu besar ini dibuang ke darat dari Araiteuru semasa berlaku runtuhan tanah besar beratus-ratus tahun dahulu. 



Apapun pendapat, pada aku inilah bukti kebesaran Allah Yang Maha Besar dan berkuasa atas segalanya. Setiap kejadiannya pasti ada sebab dan hikmah yang tersembunyi. Kagum sangat dengan kejadian ini. Terfikir juga bagaimana semua ini terjadi.


Batu-batu ini ada yang tersebar atau berada di pantai secara berkumpulan dan ada juga bertaburan secara satu-satu. Berat batu ini bertan-tan dan ada yang tinggi sehingga dua meter. Macam rupa telur dinasour kan.



Secara fizikalnya batu-batu ini nampak seperti konkrit dan berwarna abu. Akibat dari kesan hakisan angin dan laut juga menjadikan batu ini ada yang pecah dan tertanam.


Corak geometric dan bentuk seakan kura-kura

Pada aku, tempat ini sangat menarik dan wajib dikunjungi sekiranya datang ke New Zealand. Kejadian alam semulajadinya sangat unik, misteri dan lain daripada yang lain. Mungkin juga tidak ada di tempat lain. Jadi harus ambil peluang ini melihat kebesaran Allah.


Tersumbat di tebing tanah

Bermacam-macam gelagat pengunjung yang merakam gambar untuk kenangan boleh disaksikan di sini. Yang paling mencuri tumpuan dan menjadi perhatian ada satu batu ni yang kita boleh masuk ke dalam. Macam-macam aksi boleh dilihat. Macam batu belah batu bertangkup. 



Kami hanya curi-curi ambil gambar aksi orang dan batu saje. Segan pula nak buat aksi-aksi seperti itu sambil diperhatikan orang yang sedang menunggu giliran nak bergambar di batu tu juga.



Rasa agak lama juga kami di sini. Pada awalnya cadang nak sekejap saje. Biasanya macam nilah yang terjadi pada kami. Pasti akan lama berada disatu-satu tempat tu. Disebab kengkangan masa, terpaksa juga kami beredar dari sini menuju ke destinasi berikutnya. Berat rasa hati ini. 



Kami kembali semula ke atas, bersihkan kasut kemudian masuk ke kedai cenderahati. 



Mari lihat apa yang ada. Kami cari fridge magnet sebenarnya. Tapi takde. Ada jual t-shirt tapi harga boleh tahan mahal jugak. Comel pulak anak patung kambing biri-biri dan binatang lain.



Fridge magnet tak jumpa, kami pun keluar dari kedai cenderahati dan kemudian masuk ke dalam cafe. Aku tengok ada menu boleh dimakan, jadi kami order croissant salmon harga NZD12 dan air botol oren NZD5.50. Share makan dua orang.




Sementara tunggu dorang panaskan makanan kami, aku tumpang toilet di sini sebab lebih selesa. Bila makanan dah dapat, kami terus bergegas ke kereta bagi memulakan pemanduan menuju ke destinasi seterusnya iaitu Oamaru sejauh 37 kilometer.

Bila tiba di Oamaru terus aku tertarik dengan bandar ini. Cuaca terik masa kami sampai sini. Langit biru seperti yang kami selalu harapkan. Memang cantik bila ambil gambar.


Masa buat itinerary dulu, aku plan tak nak singgah di Oamaru walaupun wife minta singgah. Dia kata bandar ni cantik dan menarik. Masa on the way tadi pun aku cakap dengan wife kita tak singgah sebab perjalanan hari ni masih jauh dan kami dah lambat.



Tapi bila dah sampai sini, tak dapat nak tolak daya tarikannya. Oamaru merupakan bandar terbesar di Daerah Waitaki. Kaya dengan sejarah dan warisan yang sangat dibanggakan oleh penduduk tempatan. Kebanyakkan senibina bangunannya dipengaruhi unsur Victoria.



Di bandar Oamaru ini juga terdapat taman tema tertua, restoran, kilang pembuatan barangan kraf, perlabuhan dan banyak lagi. Yang paling menarik perhatian sekali, ada sebuah bangunan Steampunk HQ yang kelihatan agak usang di luarnya. Tapi di dalamnya kita boleh lihat beberapa ciptaan gile dan sentuhan futuristik dipamerkan.


Harga tiket masuk NZD10 bagi dewasa. Aku tak masuk. Hanya tengok dari luar saje. Di luar ni pun ada juga beberapa rekaan pelik dan menarik boleh kita lihat.


Aku saje yang turun kali ni. Kalau wife turun sekali jadi lama pula nanti. So wife tengok dari dalam kereta saje. Memang menarik bandar ni. Aku suka. Kecewa sikit sebab hanya mampu tengok sekejap saje bandar ni. 


Selesai ambil gambar, tanpa berlengah aku kembali ke kereta untuk mulakan perjalanan ke Oamaru Blue Penguin Colony. Jarak tak sampai pun 3 kilometer dari tempat kami berhenti tadi. 



Sebenarnya masa kami sampai ni bukan waktu yang sesuai untuk tengok penguin. Masa yang paling sesuai adalah pada waktu petang sehingga selepas senja. Tapi dah alang-alang kami lalu sini waktu ni, jadi singgah saje tengok suasana tempatnya. Sekurang-kurangnya dah pernah jejakkan kaki di sini.


Kami terus ke Visitor Centre nak tumpang toilet. Kalau tempat macam ni toiletnya lebih selesa. Takde orang pun di sini sebab bukan waktunya kan. Kalau ada pun cuma dua tiga orang saje.


Selesai melepaskan hajat, kami keluar dan meninjau kawasan sekitar. Kami pergi ke kawasan pantai dengan harapan ada penguin sesat. Tapi takde pun.


Oamaru Blue Penguin Colony ni adalah tempat paling popular bagi pengunjung yang ingin melihat habitat penguin dalam persekitaran semulajadi secara dekat. Ini kerana penguin ini bersarang di kawasan kuari batu di pinggir Perlabuhan Oamaru. 


Pada sebelah petang penguin-penguin akan pulang ke sarang selepas melakukan aktiviti 'day fishing' mereka. Jadi itu adalah waktu paling sesuai untuk melihat penguin ini. Ada sebuah pentas disediakan untuk pengunjung menonton aktiviti penguin balik ke sarang. Bayaran bermula daripada NZD10 hingga NZD63 bergantung pada jenis tour yang diambil.


Pada bulan November dan Disember merupakan masa paling banyak penguin dapat dilihat, dimana boleh mencecah sehingga 230 ekor. Waktu penguin mula pulang ke sarang ialah pukul 5.30 petang pada pertengahan musim panas dan pukul 9.30 malam pada musim panas. Manakala pada bulan Mac hingga Ogos hanya 10 hingga 50 ekor saje yang boleh nampak.

Tak dapat real penguin dapat gambar pun jadi la...

Oleh kerana seekor penguin pun tak nampak, jadi kami membawa diri ke Oamaru Harbour Breakwater yang terletak bersebelahan saje. Jalan kaki pun boleh. Kami naik kereta dan berhenti di depan sikit. 


Kami berhenti di sini sebab nampak ada photographer lepak di sini tengah record video. Dan juga sebab nampak banyak burung di atas jambatan ni. Aku tak pasti burung apa. 



Kemudian kami ke depan sikit berhampiran Oamaru Harbour. Pelabuhan ini menyediakan infrastruktur asas bagi industri perikanan tempatan, pengguna rekreasi seperti bot-bot kecil dan mewah serta aktiviti memancing. 


Sekejap saje kami di sini. Selepas menikmati angin laut yang sejuk, kami beredar menyambung semula perjalanan. Memandu melepasi pelabuhan tadi dan memasuki bandar Oamaru menuju ke Elephant Rocks, Island Cliff


Jarak 49 kilometer dari Oamaru. Mata mengantuk tapi terpaksa tahankan juga. Wife masuk kereta dan hanya mampu bertahan sekejap saje. Tak lama lepas tu, aku toleh tengok dia dah terlelap. Asal masuk kereta dan jalan sikit terus rasa mengantuk. 

Beginilah nasib kami setelah berhari-hari road trip di New Zealand. Mungkin sebab badan letih, tak cukup rehat dan tido. Tapi bila berhenti di mana-mana lokasi, automatik mata terus segar. 


Selepas 45 minit memandu, akhirnya kami sampai di Elephant Rocks. Lebih kurang pukul 5.30 petang waktu ni. Masa kami sampai hanya ada dua kereta saje di sini. Aku parking kereta di tepi jalan. 



Kemudian kami ke seberang jalan dan kena masuk dalam melalui ladang ternakan persendirian untuk ke Elephant Rocks. Ladang ni berpagar. Sila berhati-hati sebab pagar ni ada elektrik. Tak pasal-pasal nanti keras.

Buka pagar tu kemudian masuk ke dalam ladang


Banyak lembu-lembu di dalam ladang maka menghasilkan banyak tahi lembu di situ. Tension gile. Nak jalan dengan selesa pun susah. Elak sana elak sini sikit-sikit terpijak juga. Jangan pijak taik basah sudah. Tahi lembu besar-besar boleh nampak nak elak. Tahi kambing kecil-kecil tu paling tension sekali nak mengelak. 


Agak jauh ke dalam juga. Terserempak dengan satu group mat salleh nak keluar dari kawasan ini sambil angkut tilam. Musykil sekejap kami dibuatnya. Setelah beberapa minit jalan kaki menempuh lautan tahi akhirnya sampai juga di Elephant Rocks. Waktu ni hanya kami berdua saje di sini. Kenapa takde orang lain datang? Tempat ni tak cukup popular untuk pelancong datang explore ke? Atau sebab dah lewat petang. Atau sebab banyak tahi jadi orang malas nak ke sini.



Angin agak kuat dan sejuk gile. Wife nampak tension sikit di sini sebab banyak sangat tahi. Tak selesa nak jalan. Area dekat dengan batu-batu ni banyak tahi kambing kecil-kecil. Lagi bertambah tension. Ditambah dengan aroma bau yang menyegarkan menusuk hidung. Fuh! Layan.


Kepala ikan paus


Elephant Rocks terletak di Duntroon, utara Otago. Merupakan kawasan ladang dan menyajikan pemandangan landskap batu-batu dengan bentuk menarik yang hampir menyerupai binatang bergantung kepada imaginasi yang melihatnya.


Bentuk muka, hidung dan mulut

Kawasan ini juga pernah dijadikan sebagai salah satu tempat lokasi pengambaran filem The Chronicles of Narnia untuk scene camp Aslan. Mesti waktu dorang buat pengambaran kawasan ni bersih takde tahi. 


Formasi kepala binatang

Kami sebenarnya gigih mencari batu yang berbentuk gajah. Tapi tak pasti yang mana. Jumpa bentuk binatang lain adalah. Atau mungkin kami kurang imaginasi.


Elephant rock



Tak lama sangat kami di sini sebab dah lewat petang. Perjalanan pun masih jauh lagi. Jadi kami bergegas kembali semula ke kereta dengan menempuh ladang yang hanya lembu saje kelihatan. Mana perginya kambing. Kalau ada boleh main kejar-kejar. Nak kejar lembu nanti tak pasal-pasal aku balik yang kena kejar. Baik jangan cari nahas.


Masa balik terasa jauh pulak nak sampai ke kereta. Sekali lagi kena tempuh lautan tahi lembu dan kambing. Sampai di kereta kami teruskan perjalanan. Kali ni kami singgah di Lake Waitaki Dam Lookout yang jaraknya 35 kilometer dari Elephant Rocks tadi.


Tasik Waitaki ni hanya sebuah tasik yang kecil dan merupakan tasik buatan manusia untuk projek Hidroelektrik Waitaki. Selain itu tasik ini juga popular untuk sukan air dan memancing.



Sekejap saje kami di sini. Selesai melihat-lihat sekitar dan ambil gambar kami terus beredar dari sini dan sambung kembali perjalanan. Selepas 7 kilometer pemanduan, kami berhenti di Lake Aviemore Dam Lookout pula.


Lake Aviemore ini juga adalah tasik buatan manusia yang merupakan sebahagian daripada skim hidroelektrik Waitaki. 


Sekejap saje kami di Lake Aviemore Dam Lookout. Selepas jenguk-jenguk sikit, kami sambung kembali perjalanan dan kali ini kami disajikan dengan pemandangan Tasik Aviemore di sebelah kanan sehingga sampai di satu spot ni, kami berhenti sebab menarik perhatian kami.


Kami parking di tepi jalan, kemudian jalan kaki ke arah tasik. Cantiknya warna air tasik ni bila kena cahaya matahari walaupun di belakang sana ada awan mendung. Lake Aviemore ni lebih besar sikit berbanding Lake Waitaki. Popular dengan aktiviti memancing ikan salmon dan ikan trout sepanjang tahun kecuali pada bulan September. 


Selain itu, terdapat juga dua acara utama yang turut diadakan di tasik ini iaitu perlumbaan kapal layar dan kejohanan windsurfing pada bulan Januari. Ada tapak perkhemahan di tasik ini dengan cas yang murah dikenakan. Bayar semasa ketibaan di Registration Booth dan buat pendaftaran. Kemudahan yang disediakan di sini hanya tandas, recycling dan air sahaje.


Kemudian kami sambung kembali perjalanan. View sangat lawa dengan langit cerah petang tu.



Selepas seketika memandu, aku berhenti lagi di satu tempat. Masih di Lake Aviemore. Parking kereta di tepi jalan. Nasib baik tak banyak kenderaan yang lalu lalang, sekurangnya tak menggangu kenderaan lain.




SubhanAllah, cantiknya pemandangan tasik ni dengan cahaya matahari petang yang memancar terang. Kami berdiri seketika menghadap tasik dan merenung keindahan alam ini. Sukar untuk dilepaskan.


Namun apakan daya masa begitu mencemburuiku. Kami terpaksa beredar juga dari sini meneruskan perjalanan menuju ke destinasi seterusnya hingga destinasi akhir hari ini.


Cantik sangat pemandangan sepanjang jalan di Benmore menghala ke Omarama. Kami disajikan dengan bukit bukau berwarna hijau tanpa pokok-pokok tinggi. Ada Lake Benmore tapi kami tidak singgah sebab tiada tempat berhenti di laluan kami.


Perjalanan diteruskan sehingga kami sampai di Ahuriri Bridge. Jarak dari Lake Aviemore 38 kilometer. Tujuan kami ke sini sebab di situ ada Sungai Ahuriri dan di tepinya ada banyak pokok bunga lupin. Tapi bila sampai sana tak jumpa jalan masuk. Kalau ada pun nampak berpagar.



Sepatutnya kami ke Ahuriri Bridge Campsite, mungkin daripada situ boleh pergi ke kawasan lupin tu. Tapi masa tu tak terfikir pun sebab badan dah letih, otak pun dah letih. Jadi sel-sel otak kurang berhubung dengan pantas. Difikiran hanya fikir nak check in cepat dan rehat. Tambah lagi satu kempunan tak sempat ke High Country Salmon makan sushimi sebab dah tutup.

Memandangkan semuanya tak dapat nak pergi jadi kami buat keputusan terus menuju ke Lake Ruataniwha Holiday Park & Motels penginapan kami malam ini. Malam ni kami bakal tidur dalam khemah. Jarak holiday park dari Ahuriri Bridge lebih kurang 27 kilometer. 


Kali ni kami sampai awal di holiday park dan pejabat masih dibuka lagi. Ambil nombor tapak khemah dan buat pembayaran. Kemudian terus cari tapak perkhemahan untuk pasang khemah. Gigihkan. Padahal dalam hati boleh tak nak duduk kabin.


Bila masuk ke dalam kami tak nampak pun ada khemah orang lain di sini. Tapak perkhemahan nampak tak menarik. Wife minta tanya office kalau ada kabin kosong lagi. Kalau ada nak minta upgrade. Rasa nak rehat dengan lebih selesa dan malas nak pasang khemah. Jadi kami patah balik ke office dan tanya. Alhamdulillah ada kosong lagi. Jadi kami terus ambil dan top-up bayar. Dapat kunci terus ke kabin. 




Settlekan apa yang patut. Lepas bersihkan diri terus ke kitchen untuk masak malam. Ramai orang di kitchen. Nak masak pun segan. Perkakas masak kena ambil di ofis tadi dan kena bayar deposit. Memandangkan kami tak ambil jadi guna periuk nasi yang aku bawak saje. 

Agak susah sikit nak masak bila banyak perkakas tak ada. Jadi masak yang simple dan mudah saje. Malam ni kami makan nasi goreng dan masak spaghetti cabonara untuk esok pagi. Selesai semua hal, terus rehat dan tido. 

Aku ada plan dengan wife malam nanti kita keluar semula, mana tau boleh nampak milky way. Lake Ruataniwha ni merupakan salah satu lokasi melihat milky way. Tapi malangnya itu hanya tinggal plan saje sebab masing-masing terus hanyut dibuat mimpi.

Sambung hari ke-sembilan. 👈


Perjalanan kami hari ini.

Perbelanjaan hari ke lapan :-
  1. Beli Fish N Chip & Air Apple - NZD17.30
  2. Beli Croissant Salmon & Air Oren - NZD17.50
  3. Lake Ruataniwha Holiday Park & Motels - NZD65.00
Total - NZD99.80


No comments:

Post a Comment