Total Pageviews

New Zealand : South Island - Day 7

Summer Road Trip - Purakaunui Waterfall, Nugget Point Lighthouse, Lake Waihola, Dunedin Railway Station, Dunedin Scenic Train Tour, Dunedin Street Art & University Otago 


Isnin - 26.11.2018


Di hari ke tujuh, kami bangun lewat sikit. Semakin liat rasanya nak bangun. Jam dah pukul 5 lebih, paksa juga diri ini bangun. Sejuk gile pagi ni. Nak pergi ke bilik air di luar sana rasa bercinta sangat sebab kena mengharung kesejukan pagi di luar. Walau apa sekali pun keadaannya, kita harus lawan.



Lepas bersiap dan berkemas, kami makan mushroom sup dan roti untuk breakfast hari ni. Selesai masukkan barang dalam kereta, kami jalan-jalan sekejap melihat kawasan sekitar Catlins Coast Newhevan Holiday Park. Semalam sampai malam, jadi tak nampak apa-apa. 



Pagi ni sebelum berangkat, kami tinjau apa yang ada. Holiday Park ni terletak di tepi pantai. Kalau bernasib baik, boleh nampak sea lion. Tapi nasib kami tak begitu baik, tak nampak walau seekor pun sea lion. Cuaca waktu ni mendung menanti hujan.



Selepas seketika, kami beredar dari sini menuju ke destinasi pertama hari ini iaitu Purakaunui Waterfall. Jarak 19 km daripada Holiday Park. Cuaca mendung sangat dan nampak bila-bila masa saje akan hujan. Kami tetap juga teruskan rancangan kami.



Perjalanan ke waterfall mengambil masa lebih kurang 25 minit. Mungkin dijangka lebih lama sebab kena lalu jalan tak berturap. 



Masa kami sampai di Purakaunui Waterfall, hujan sedang turun. Ambil payung dan kami redah masuk ke dalam hutan. Waktu ni hanya kami saje yang ada di sini. Rasa seram pun ada. Kena jalan kaki masuk ke dalam lebih kurang 10 minit. 


Kami ikut laluan yang disediakan. Cantik juga suasana hutan di sini. Walaupun rasa seperti hutan di negara sendiri. 


Selepas beberapa minit jalan kaki, kami lalu sebuah jambatan kayu yang meyeberangi Sungai Purakaunui. 



Jalan lagi ke depan dan kemudian jumpa tangga kayu. 



Kena turun sikit, lepas tu nampak Purakaunui Waterfall. Tengok air terjun ni daripada atas platform kayu yang disediakan. Platform ni betul-betul menghadap air terjun. 


Purakaunui Waterfall adalah air terjun tiga tingkat yang terletak di Catlins, di selatan South Island New Zealand. Merupakan air terjun terkenal di Otago dan menjadi salah satu air terjun yang popular untuk fotografi lebih-lebih lagi pada peak autumn apabila daun sudah bertukar menjadi berwarna-warni. 


Secara jujur, air terjunnya memang nampak cantik. Cuma yang kurang menarik warna airnya yang coklat nampak seperti kurang uumph. Berbeza dan tak setanding air terjun lain yang biasa kami lihat di New Zealand. Tambahan waktu ni hari hujan, warna coklat air nampak lebih pekat dan ketara sekali.


Sekejap saje kami di sini. Lepas ambil gambar kami terus beredar keluar. Sejuk gile dan angin agak kuat. Wife tak berani berada lama di sini. Masa ni hujan masih renyai-renyai. 


Sampai di kereta kami terus gerak menuju ke Nugget Point Lighthouse. Jarak dari Purakaunui Waterfall dalam 48 km. Perjalanan kami melalui ladang-ladang hijau berbukit yang terbentang luas. 


Walaupun cuaca suram, tapi pemandangan hijau tetap nampak cantik di mata kami. Kami berhenti di sebuah ladang kambing selepas nampak kambing biri-biri comel. Hujan dan panas tetap berada di ladang. Rasa kesian pulak.


Jalan ke depan sikit, aku berhenti lagi. Kali ni nampak lembu bertompok putih. Aku memang aim lembu tompok putih. Pada aku lembu ni adalah trademark lembu dari New Zealand. 


Lembu lebih mesra tak seperti kambing. Kambing ni bila orang datang terus lari. Asal nampak kelibat saje lari lintang pukang. Lembu pula makin datang rapat pada orang.



Selepas ambil gambar lembu, sambung pemanduan semula.


Beberapa minit kemudian, kami lalu sebuah jambatan sebelum masuk ke Owaka. 



Aku rasa kalau cuaca cerah cantik juga pemandangan di sini. Selain air terjun, ada beberapa tempat menarik lain boleh dikunjungi. Cuma masa tak mengizinkan kami ke tempat-tempat itu.


Sampai di Kaka Point menuju ke Nugget Point Lighthouse kami lalu jalan raya yang terletak berhampiran pantai. 


Jarak jalan raya dan pantai sangat dekat. Waktu ni angin agak kuat jadi kami dapat dengar bunyi ombak yang agak kuat menghempas ke pantai. Syoknya bila dengar bunyi ombak.



Kami berhenti di beberapa tempat yang ada ruang park kereta untuk ambil gambar. Kalau cuaca cerah mesti lebih cantik pemandangan sepanjang jalan ni.


Tapi pantainya nampak agak bersepah sikit.



Semasa kami ambil gambar di tepi pantai, jumpa beberapa ekor sea bird di sini. Nampak jinak.



Kami sambung semula perjalanan sampai nampak sebuah ladang kambing. Kali ni berhenti sebab tengok banyak sangat kambing di ladang tu. Aku berhenti tepi, minta wife keluar ambil gambar.

Banyaknya kambing

Orang datang mula buat muka heran

Lepas tu semua pakat lari

Kambing pun dah lari ke dalam, kami sambung semula perjalanan. Tak lama pemanduan, kami berhenti di Nugget Point Cliff View


Memandangkan cuaca mendung dan suram, pemandangan tak berapa menarik. Takpe, janji pernah menjejakkan kaki di sini. Ayat penyedap hati.


Di depan sikit kami nampak signboard penguin. Kami assume mesti banyak penguin di sini. Rupanya tak jauh dari signboard tu ada Roaring Bay Penguins & Seals Observatory. Kalau tahu awal boleh singgah. Mana tau ada rezeki boleh tengok penguin comel jalan terkedek-kedek tu.



Perjalanan kami diteruskan sehingga sampai di kawasan parking Nugget Point Lighthouse. 


Masih tak banyak kereta lagi di sini waktu ni. Hanya ada beberapa saje. Mungkin masih awal. Besar ruang parking yang disediakan. Toilet pun ada. Masa ni dorang tengah bersihkan toilet.


Angin tersangat kuat dan sejuk beku. Nasib baik kami standby bawa glove. Selesai tukar baju yang lebih tahan sejuk dan pakai glove, kami jalan kaki menuju ke Lighthouse Viewpoint sejauh 900 meter daripada parking.



Hampir 1 km kena jalan kaki ke sana. Mengambil masa 20 minit ke 30 minit bergantung kepada kelajuan dan stamina individu. Jalan perlahan-lahan sambil layan view dalam kesejukkan.



Kena berhati-hati jalan sebab angin sangat kuat. Hampir melayang badan ini bila ditiup angin. Sejuk tak usah cakap. Rasa beku tangan ni. Jangan jalan dekat sangat dengan tebing takut badan tak balance masa kena tiup angin. Mana tau boleh jatuh.



Faham-fahamlah bila sampai tahap pakai glove sejuknya macam mana. Rasa sejuk macam musim winter. Bukan kami saje yang pakai glove tapi kebanyakkan mereka yang ada di sini pada waktu ini pun pakai.





Nugget Point Lighthouse adalah sebuah rumah api di Nugget Point di rantau Otago di South Island New Zealand yang dibina pada tahun 1870. Ia dimiliki dan dikendalikan oleh Maritim New Zealand.



Sampai di view platform angin sangat kuat. Tak berani ambil gambar guna handphone. Bergoyang dan rasa nak melayang ditiup angin. Wife tak berani ambil risiko. Ambil gambar pakai kamera saje. 


Dari platform dapat lihat panorama Lautan Pasifik yang luas dan kumpulan ketulan batu-batu besar di laut mejadikannya ia satu pemandangan yang unik. Batu-batu itu dipanggil The Nugget. Bukan nugget ayam yang selalu kita makan.


Rumah api di belakang kami saje. Tak boleh masuk dalam rumah api tu. 


Dari sini boleh lihat hidupan laut lain seperti penguin, sea lion, seabird dan dolphins. Seperti biasa, kami tak nampak pun. Mungkin jauh sangat. Waktu paling senang nak tengok hidupan laut ni pada awal pagi dan lewat petang. 

Roaring Bay

Selesai ambil gambar, kami turun kembali ke parking. Jalan kaki hampir 1 km agak jauh sebenarnya. Kami jalan perlahan-lahan sambil menikmati pemandangan dan ambil gambar bagi mengurangkan rasa jauhnya perjalanan.



Menurut sumber, waktu paling cantik di sini adalah pada waktu matahari terbit. Pemandangannya sangat cantik. Tak sempat nak sampai sini waktu sunrise melainkan bermalam di kawasan sini.


Sampai di kereta, kami terus beredar dari sini menuju ke Lake Waihola dengan jarak 73 km dan bakal mengambil masa 1 jam lebih. Dalam perjalanan ke lake kami singgah di ladang kuda sekejap. Macam-macam binatang kami jumpa sepanjang pengembaraan di bumi New Zealand ni.


Cuaca mendung di serata kawasan. Sedih sikit. Hilang semangat nak pergi ke Lake Waihola. Wife tetap nak pergi juga. Dia kata walaupun tasik nampak kelabu sekiranya cuaca masih mendung di sana, sekurang-kurangnya kita pernah jejak kaki di situ. 


Demi tidak menghampakan harapan wife, ayuh teruskan saje. 

Di Balclutha

Di Clarendo

Selepas kami masuk ke Clarendo, google map bawa kami ke Lake Waihola ikut jalan tak berturap. Geram betul. Patah balik risau makin jauh. Aku hanya nak singgah dan tengok Lake Waiho daripada jalan saje. Boleh pulak google map bawa aku masuk ikut jalan dalam. Jalan basah pulak tu. Habis kotor kereta.



Sampai di satu tempat ni air naik sampai ke jalan. Ruang laluan betul-betul kecil. Kiri kanan pula ada tasik atau parit. Seram pula rasanya. Tapi kami redah juga. Banyak pokok-pokok tengelam.



Walaupun nampak pokok tu tenggelam macam seram sikit sebab takut dilanda banjir buruk, tapi bila dilihat sekali imbas nampak cantik pula.



Dalam suasana cuaca mendung dan suram menanti hujan, kelihatan binatang ternakan masih banyak di merata-rata kawasan ladang.



Bila sampai di Lake Waiho seperti yang dijangka pemandangan tasik kelabu dan suram. Tidak begitu menarik. Keluar sekejap lepas tu kami beredar dari sini. Tak berani lama di sini, takut air naik. Dibuatnya banjir, terus tak dapat keluar dari sini. Habislah kami.



Selepas jalan depan sikit, kami berhenti lagi. Nampak pemandangan hijau yang agak cantik walaupun dalam cuaca mendung. Tak mampu tolak tarikannya. Nikmati pemandangan di New Zealand selagi berada di sini walaupun cuaca sendu.




Jalan depan lagi, nampak kambing pula. Kami berhenti lagi. Tak terkira rasanya berapa kali berhenti di ladang kambing. Kambing di New Zealand ni ada aura tarikan yang kuat.

Muka pelik nampak manusia datang

Siap sedia nak lari

Semua berpakat lari jauh

Tak boleh layan sangat. Nanti makin lewat sampai. Kami beredar dari sini menuju ke DunedinKami kena tempuh jalan tak berturap sejauh lebih 15 km. Ini punca perjalanan menjadi lambat, tak boleh bawak laju. Bertabahlah.



Jarak dari Lake Waihola ke Dunedin lebih kurang 50 km dan dijangka mengambil masa 45 minit. 


Pemanduan kami masih disajikan dengan ladang-ladang hijau dan binatang ternakan. 



Kalau cuaca cerah pasti panorama lebih cantik dan menarik.


Selepas masuk kawasan Henley baru kami lalu highway. Lega rasanya. Itulah dugaan dan cabaran pengembaraan kami. Tak semua yang dirancang menjadi dan berjalan dengan lancar. Pasti ada cabaran yang harus dihadapi dan ditempuhi. 



Optimus Prime bertukar!

Sampai di Dunedin kami terus cari tempat letak kereta. Kebanyakkan kotak parking di depan premis ada had masa. Contohnya ada nombor 15 tu bermakna dibenarkan park di situ selama 15 minit saje. Kalau lebih daripada masa yang ditetapkan boleh disaman. Sila berhati-hati. Ini salah satu cabaran bila berada di bandar besar iaitu cari parking.

Selepas beberapa minit mencari, akhirnya kami park kereta di tempat parking awam. Tiada limit masa. Kena bayar NZD4 sekali masuk. Sila sediakan wang syiling yang cukup untuk bayar parking. Kredit kad diterima di mesin autopay tu. 


Aku tak cukup duit syiling. Masa ni autopay tak boleh guna kad kredit pulak. Kecoh sikit. Masa semakin pendek. Wife cuba cari sesiapa di situ yang ada duit tukar. Alhamdulillah jumpa dua perempuan mat salleh muda, sudi tukar duit syiling dengan kami. Selesai hal parking rasa tenang sikit.


Kami terus jalan kaki ke Dunedin Railway Station. Tujuan ke sini sebab kami dah booked Dunedin Scenic Train Tour untuk sessi pukul 2.30 petang.


Sampai di railway station, terus cari kaunter tiket untuk redeem booking receipt yang kami beli 2 minggu sebelum datang ke New Zealand. Kami beli secara online di www.bookme.co.nz dengan harga NZD73.50 seorang.


Lepas dapat tiket, kami cari biskut untuk alas perut dalam train nanti. Tak sempat nak lunch sebelum ke sini tadi. Hal parking antara punca melewatkan kami.


Beberapa minit kemudian kami terus ke platform. Gap masa kami sampai dan time train jalan sangat dekat. Tak sempat nak merayau-rayau keliling stesen. 


Sampai di platform terus naik train. Ambil gambar luar train ala kadar saje. Train nak jalan beberapa minit lagi. Sila ikut nombor gerabak dan seat yang telah diberi. Orang tak ramai. Dalam satu gerabak ada 5 atau 6 pasangan. Selesa. Tepat pukul 2.30 petang, train bergerak memulakan perjalanan.




Dunedin Scenic Train Tour dikendalikan oleh Taieri Gorge Railway. Perjalanan sejauh 58 km dari Dunedin ke Pukerangi yang mengambil masa 4 jam pergi dan balik ini akan melalui bandar, kawasan luar bandar atau countryside, bukit bukau, gua, terowong dan Sungai Taieri.



Ada dua sessi setiap hari. Sessi pertama sebelah pagi pukul 9.30. Sessi kedua pula sebelah petang pukul 2.30. Kami ambil yang 2.30 petang. Panjang juga gerabak keretapi yang kami naik ni. 



Keadaan dalam keretapinya bersih, kemas, klasik dan berhawa dingin. Dibuat menggunakan panel kayu dan tingkapnya bersaiz besar sesuai untuk melihat panorama.



Dunedin Scenic Train Tour diiktiraf sebagai One of The World's Great Train Trips. Ini kerana tour ini menawarkan perjalanan dari Dunedin ke Pukerangi dengan pemandangan panorama yang unik dan landskap yang indah.


Di lokasi tertentu, keretapi akan memperlahankan kelajuannya bagi memberi peluang penumpang untuk menikmati dan mengambil gambar. Penumpang boleh lepak menikmati pemandangan di tempat duduk dalam gerabak atau di platform luar.



Tapi awas, sila jaga kepala sendiri dan jangan melebihi had keretapi. Dikhuatiri nanti tanpa sedar masuk dalam terowong, kepala terlanggar dinding terowong atau batu boleh mendatangkan kecederaan atau kematian. Atau terlanggar pokok dan juga ranting di tepi landasan juga boleh mendatangkan kecederaan. Kena pandai-pandai jaga diri bagi mengelak kecelakaan.




Tour ini sesuai untuk semua peringkat umur. Sambil menikmati pemandangan kita boleh berehat dengan selesa setelah beberapa hari mengembara dengan kereta. Ada snek bar berlesen di dalam keretapi. Boleh lepak di situ sambil makan dan minum.



Kalau di awal penjalanan tour tadi aku rasa sedikit bosan melihat pemandangan luar yang kurang awesome sebab lalu di bandar, kini persepsi aku sudah bertukar. Pemandangan luar semakin menarik dinikmati. Pemandangan bukit bukau berwarna hijau ditambah seri dengan bunga kuning gorse yang tumbuh merata-rata menjadikan view sangat amazing pada aku.


Sampai di Hindon Station, train berhenti sebentar. Semua penumpang dibenarkan turun untuk mengambil gambar dan menikmati pemandangan dari luar. Semua ambil kesempatan ini bergambar bersama train. Begitu juga kami. 


Ada sebuah pondok kecil yang comel di Hindon Station. Menarik untuk ambil gambar.

Comel

Terdapat sebuah patung anjing dibina untuk didedikasikan kepada semua anjing yang telah berkhidmat menjaga ladang-ladang di kawasan ini selama bertahun-tahun. Sampai begitu sekali mereka menghargai jasa anjing mereka.


Cukup masa, hon keretapi berbunyi memberi makna semua penumpang dikehendaki naik semula keretapi kerana keretapi akan menyambung semula perjalanannya ke destinasi seterusnya.


Kemudian keretapi memasuki terowong yang kecil dan sempit di celah bukit bukau. Cantik pemandangannya. Rasa teruja dengan pengalaman baru ini.




Keluar daripada terowong, keretapi melalui landasan di atas jambatan menyeberangi Sungai Taieri.



Pemandangan sungai di celah bukit-bukit batu yang dipenuhi bunga kuning gorse sangat memukau mata ini. Indah dan cantiknya. Bunga-bunga ini tumbuh meriah pada musim bunga dan panas. Jika musim lain pemandangannya pasti berbeza.


Cantiknya walaupun cuaca mendung dan suram. Mungkin disebabkan hujan, jadi air sungai bertukar menjadi coklat. Kalau biru jernih pasti lebih awesome.



Kemudian lalu lagi di jambatan kayu. Trip ini banyak melalui jambatan dan terowong. Laluan landasan yang sempit dan kecil. Paling mencabar untuk ambil gambar adalah semak samun berhampiran landasan kadang kala mencacatkan gambar. 



Pemandangan semakin cantik. Aku lebih banyak lepak di platform luar sepanjang trip ini. Rasa lebih puas menikmati pemandangan dan ambil gambar. Takde kesan bayang dari cermin tingkap.



Manakala wife pula lebih banyak menikmati panorama ini dari dalam sebab tak tahan sejuk. Memang sejuk gile di luar ni. Dalam pun sejuk jugak sebab takde heater.




Sepanjang perjalanan, pemandu keretapi akan memberi penerangan dan maklumat berkaitan dengan kawasan yang dilalui. Aku antara dengar dan tak dengar sebab sibuk ambil gambar.



Sampai di Pukerangi Station, keretapi akan berhenti untuk memindahkan kepala train sebelum patah balik ke Dunedin. Sementara keretapi tukar kepala, semua penumpang dibenarkan turun dan meninjau keadaan sekitar. Landasan di Pukerangi Station ini berada di 250 meter dari paras laut. Tinggikan.


Semua penumpang mengambil kesempatan ini untuk mengambil gambar bersama train dan juga pemandangan luar sekitar Pukerangi. Ada information board boleh dibaca bagi mendapatkan maklumat berkenaan Pukerangi. Kami sempat baca sikit saje. Masa tak cukup lama di sini.



Setelah kepala keretapi selesai dipasang, semua penumpang dikehendaki naik semula kerana keretapi akan mula bergerak sebentar lagi.


Keretapi memulakan perjalanan kembali ke Dunedin melalui landasan yang sama. Jadi kami semua lihat pemandangan yang sama sekali lagi. Kalau tadi masing-masing sibuk merakam gambar dan video, kali ini masing-masing duduk di tempat sendiri sambil menghayati dan menikmati pemandangan.


Sesekali aku keluar semula di platform untuk ambil gambar mana yang terlepas tadi. Ambil gambar banyak-banyak untuk simpanan di masa akan datang. Bila rindu ku renung gambar mu..ewahh.


Ada snek bar dalam train, jadi aku pergi jenguk apa makanan yang boleh kami makan. So aku beli kopi dan sandwich share makan dengan wife. Nikmatnya dapat minum kopi panas-panas dikala cuaca sejuk beku ni.


Sambil makan dan minum, sambil menikmati pemandangan. Betul-betul rasa dapat berehat seketika selepas beberapa hari kami tidak cukup rehat dan tido. Aku pulak dapat rehat sekejap daripada memandu.


Tanpa disedari trip selama 4 jam ini sudah hampir ke penghujungnya. Rasa puas hati juga dengan trip ini walaupun harganya mahal. Wife memang bercadang kalau ke New Zealand dia nak ambil Dunedin Scenic Train Tour. Tercapai juga hajatnya. Ini merupakan tour yang paling mahal kami ambil untuk trip di New Zealand.


Sampai di train station agak lambat sikit dekat pukul 7. Train station dah sunyi sepi. Kami semua adalah antara yang terakhir berada di station. Pekerja pun ramai yang dah balik. Awal orang di sini balik keje.



Di train station kami ambil gambar sikit untuk kenangan sebab cantik sangat luar dan dalam bangunan station ni.


Dunedin Railway Station adalah salah satu mercu tanda seni bina yang paling menonjol di bandar ini. Bangunan indah yang bercirikan Renaissance ini menggunakan batu kapur Oamaru di atas batu basalt hitam dan menjadikannya agak dramatik seperti Gingerbread House. 



Dilengkapi dengan ciri gaya mewah dan lantainya menggunakan mosaic. Stesen ini dibuka kepada orang ramai dan menjadi tempat perniagaan dan menawarkan lawatan menaiki keretapi bagi melihat pemandangan indah Otago.



Di depan station ada taman yang besar. Ada disediakan kerusi dan boleh lepak santai di situ. Kebetulan masa ni nak masuk musim panas, jadi banyak bunga-bunga tengah mekar di taman.



Lawatan kami di Dunedin pada hari ini tak dapat pergi ke Kilang Cadbury yang tak jauh dari train station. Kilang coklat ni dah tutup. So tak dapat tengok coklat dibuat, shopping coklat dan minum air hot chocolate.


Lepas ambil gambar kami jalan-jalan melihat sekitar bandar sambil menuju ke parking kereta. 



Lepas ambil kereta kami ke Dunedin Street Art. Street art ni terletak di tengah bandar Dunedin. Ada peta boleh didapati di Dunedin I-Site. Terkini dalam peta menyenaraikan 30 lukisan di sekitar Street Art ini. 


Lukisan mural Ed Sheeran

Masa kami sampai I-Site dah tutup. Jadi kami redah sendiri. Tak semua kami jumpa. Hanya mana yang nampak saje. 




Street art ni bermula dari seorang pelukis yang telah ditugaskan melukis di satu premis. Kemudian dapat perhatian daripada pemilik bangunan dan Majlis Perbandaran. Jadi dari situ pihak Majlis telah menggalakkan lebih banyak lagi lukisan di lukis di sekitar kawasan bagi tujuan menarik pengunjung selain mencantikkan bangunan.

 


Selepas keluar dari street art, kami jalan kaki menerusi bangunan premis melihat bandar Dunedin. Ada banyak kedai makan, pakaian, cenderahati dan banyak lagi. Banyak juga kedai yang sudah tutup. Di sini waktu operasi mereka cepat habis. Baru pukul 7 dah banyak kedai yang tutup. 




Kami terus berjalan sehingga menuju ke bulatan jalan di tengah bandar Dunedin. Cantik bangunan kedai di kawasan ni. Nampak lebih happening. Ada banyak bar dan pub di sini.


Dari jauh kami dah nampak sebuah gereja besar yang cantik rekabentuknya. Disebabkan nampak menarik, jadi kami pergi ke arah gereja. Nama gereja ni ialah St. Paul's Anglican Cathedral. 


Kami jalan keliling sekitar luar gereja. Jalan sepintas lalu saje sambil ambil gambar sebagai tanda telah sampai ke sini.

 

Selesai ambil gambar di kawasan gereja, kami ke depan sikit. Nampak satu lagi bangunan dengan rekabentuk yang menarik berhadapan dengan gereja tadi. Nama bangunan ini ialah Municipal Chambers. Menarik sangat rekabentuk bangunannya. Di bangunan ini terdapat sebuah menara jam. 



Di depannya pula ada pondok cantik berwarna merah. Aku assume tu pondok telefon macam di London. Lepas ambil gambar, kami lepak sekejap rehatkan kaki di bangku depan pondok telefon tu.


Jam dah pukul 8.15 malam waktu ni. Jadi kami tak boleh berlengah dan terus jalan kaki menuju ke kereta meninggalkan bandar Dunedin yang cantik ini. Sebuah bandar dimana kami dapat melihat gabungan bangunan klasik dan moden di satu kawasan. 



Pada mulanya kami bercadang nak tapau makanan untuk makan malam. Tapi kami tak jadi tapau sebab terasa nak makan masakan melayu. Sampai di kereta kami gerak menuju ke Universiti Otago. Kami ke sini sebab nak tengok bangunannya yang cantik tu. 


Jarak tak jauh dari Center Dunedin. Tapi google map bawak kami ke kawasan asrama bukannya bangunan utama. Tengok ramai orang tengah sibuk dengan hal masing-masing, kami jadi segan. Nampak pula pak guard tengah meronda kawasan. Jadi aku ambil gambar apa yang nampak. Lagi pun hari dah semakin lewat walaupun masih terang.


Aku saje yang keluar. Wife stay dalam kerete. Nak masuk ke bangunan utama tak pasti boleh ke tidak. Jadi aku sekejap saje di sini. Kemudian kami beredar dari sini terus menuju ke penginapan kami malam ni di Dunedin Holiday Park & Motels



Ambil kunci dan terus ke bilik kami. Besar juga kawasan holiday park ni. Sampai di kabin kami, inilah bilik paling kecil sepanjang kami berada di New Zealand. Luarnya nampak comel. Ruang bilik sangat sempit. Dengan beg besar kami. Terpaksa bawa masuk beg ke dalam bilik sebab kena kemas baju.



Selesai turunkan barang dan simpan dalam bilik, kami terus ke kitchen bercadang nak masak untuk makan malam. Sekali bila sampai, kitchen sudah tutup. Masa ni kami sampai dalam 10 lebih. Jadi tak berjaya masak. Balik bilik kami masak maggie dalam periuk nasi.

Sila beri laluan itik melintas

Janji perut berisi. Lepas makan, bersihkan diri dan selesaikan apa yang patut. Selesai semua urusan terus berehat dan tido. Sambung hari ke-lapan. 👈

Perjalanan kami hari ini.

Perbelanjaan hari ke tujuh :-
  1. Parking di Dunedin - NZD4.00
  2. Dunedin Scenic Train Tour - NZD73.50 x 2 = NZD147.00
  3. Beli cookies di Dunedin Railway Station - NZD3.00
  4. Beli kopi dan sandwish - NZD10.00
  5. Dunedin Holiday Park & Motel - NZD57.00
Total - NZD221.00


No comments:

Post a Comment