Total Pageviews

New Zealand : South Island - Day 6 Part 1

Summer Road Trip - Te Anau & Milford Sound 


Ahad - 25.11.2018


Di hari ke 6 di bumi kiwi, kami bangun seawal pukul 4 pagi dan bersiap. Pukul 5 lebih baru kami keluar mulakan perjalanan ke destinasi pertama hari ini iaitu Milford Sound yang jaraknya 119km. Dijangka mengambil masa 1 jam 45 minit. Pagi ni kami hanya breakfast baki makanan semalam dalam kereta.




Sebelum keluar dari kawasan Te Anau kami singgah di Marakura Yacht Club semata-mata nak ambil gambar di jeti. Masa kami sampai ada pasangan pengantin sedang ambil gambar. Jadi kami tunggu sekejap.


Melihat kami sedang menunggu, tak lama kemudian pasangan pengantin tu berhenti dan beri kami peluang ambil gambar. Sangat memahami. Rupanya pasangan pengantin tu dari Malaysia. 



Sebelum bergambar, borak sekejap dengan mereka. Lepas tu baru ke jeti bergambar dan mereka pula bersiap-siap untuk beredar. 


Menurut couple tu, kalau kami datang awal sikit tadi pemandangan lebih cantik sebab waktu tu cahaya sunrise baru keluar. Masa kami sampai cahaya dah hilang.



Selesai bergambar kami mulakan perjalanan menuju ke Milford Sound. Sebenarnya kami bertolak agak lewat sikit dari jeti tadi. Target kena sampai Milford Sound paling lewat pukul 8.00 pagi sebab kami ambil tour yang paling awal pukul 9.00 pagi. Kena masukkan jugak masa untuk jalan kaki dari parking ke bangunan jeti dan tukar tiket. Jadi kena sampai awal supaya tidak kelam kabut.


Perjalanan kami pagi tu diiringi dengan awan mendung. Namun kami tidak berputus asa mengharap dan berdoa semoga cuaca berubah menjadi cerah dan cantik. Cuaca di New Zealand kadang kala tidak boleh dijangka, boleh berubah secara drastik.


Selepas 20 minit perjalanan, aku nampak ada tempat berhenti. Mulanya wife tak setuju berhenti sekarang sebab kejar masa. Tapi aku berhenti jugak, then minta dia keluar tengok ape yang ada. Jadi wife pergi jenguk sekejap ada platform dan dari situ nampak jeti, boat dan tasik. Nampak cantik juga view pagi di situ.



Kami sambung kembali perjalanan. Pada pagi tu, perjalanan kami tidak kesunyian sangat sebab ada beberapa kereta lain turut sama menuju ke Milford Sound. Jadi bila kereta depan perlahan maka perjalanan menjadi sedikit perlahan. Bertabahlah.



Menurut sumber, banyak menyatakan yang jalan ke Milford Sound agak mencabar dan perlu check di I-Site, Te Anau terlebih dahulu untuk memastikan sama ada jalan dibuka atau tutup pada hari itu. Jalan hanya dibuka sekiranya kondisi jalan selamat dilalui. Jika tutup tiada kenderaan dibenarkan lalu. Jadi kena ubah jadual perancangan.


Ini kerana jalan raya di kawasan ini melalui banyak gunung ganang dan bukit bukau yang mana biasa dan banyak berlaku runtuhan. Oleh kerana kami datang pada musim panas, dengan yakin kami teruskan perjalanan tanpa singgah di I-Site. InsyaAllah selamat. Ini bergantung kepada keadaan cuaca pada hari semalam dan hari ini.


Selain daripada kondisi jalan, yang paling penting juga, sila pastikan minyak kereta penuh sebelum bertolak kerana sepanjang jalan tiada petrol station. Sebab tu aku isi minyak siap-siap semalam lepas sampai di Te Anau supaya tak kelam kabut pagi ni.


Pemandangan sepanjang perjalanan menuju ke Milford Sound sangat cantik. Walaupun keadaan sekitar nampak berkabus, tapi pemandangan tetap mengagumkan. Ditambah dengan pemandangan gunung ganang yang sangat besar dan tinggi, sungguh memukau mata memandang.


Selepas dari perhentian tadi, kami tak berhenti di mana-mana pun sebab kejar masa untuk sampai sana. Walaupun kami nampak ada beberapa tempat menarik, tapi kami cuba menahan diri daripada berhenti.



Sampailah di satu tasik kami nampak refleksi air yang sangat jelas dan cantik. Tapi sayang, ruang nak berhenti di tepi jalan seperti tidak mengizinkan. Kereta di belakang kami semakin bertambah. Jadi tak boleh berhenti secara mengejut. Bahaya.


Selepas 1 jam 30 minit perjalanan, kami sampai di Homer Tunnel. Kena berhenti dan tunggu sehingga lampu merah bertukar hijau bagi memberi laluan kepada kenderaan yang datang dari arah bertentangan melepasi terowong ini dulu.


Jadi kami semua ambil peluang keluar dari kereta dan ambil gambar pemandangan sekitar. Cantik sangat pemandangan gunung ganang yang besar dan tinggi serta rasa dekat dengan kita. Dan yang menariknya, di sini banyak burung kea yang nakal dan tidak takut dengan manusia.


Di celah batu gunung kelihatan banyak air terjun mengalir. Jalan rayanya betul-betul berada berhadapan dengan gunung. Patutlah kita dikehendaki periksa keadaan jalan sebelum memulakan perjalanan. Tak heran kalau cuaca buruk mudah berlaku runtuhan.


Homer Tunnel sepanjang 1.2 km ini dibuka pada tahun 1953 setelah siap pembinaannya yang mengambil masa selama 19 tahun. Terowong ini adalah sebahagian daripada jalan raya yang dikenali State Highway 94 merupakan satu-satunya jalan ke Milford Sound.


Tinggal beberapa minit lampu hijau nak menyala, semua orang mula kembali ke kereta masing-masing bersiap sedia untuk bergerak. Apabila lampu hijau menyala baru boleh masuk ke dalam terowong. Sila nyalakan lampu kenderaan apabila memasuki terowong kerana keadaan di dalam sangat gelap dan tiada lampu.


Sebaik melepasi terowong, perjalanan kami sekali lagi disajikan dengan pemandangan indah gunung ganang yang sangat besar dan tinggi. Jalan rayanya berliku di tepi gaung.


Selepas 15 minit memandu kami sampai di tempat parking. Parking agak penuh pagi tu. 



Dari parking kena jalan kaki mengikut laluan kayu yang disediakan menuju ke jeti terminal lebih kurang 10 ke 15 minit.


Di jeti terminal inilah tempat berkumpul semua pelancong yang ambil cruise untuk berlayar sekitar kawasan di Milford Sound. Harga tiket berbeza mengikut company dan waktu tour. Harga tour yang paling murah adalah pada waktu pagi.


Untuk tour cruise Milford Sound, kami beli awal sebelum ke New Zealand sekitar bulan Julai di www.goorange.co.nz dengan harga NZD45.00 seorang. Kami pilih tour pertama yang paling awal pukul 9.00 pagi. Masuk dalam bangunan terminal, kami terus ke kaunter Go Orange untuk tukar booking resit kepada tiket cruise dan lunch voucher


Tapi masa kami sampai di kaunter Go Orange kosong. Kami tanya kaunter sebelah mana petugas kaunter Go Orange. Kaunter sebelah minta kami ke kaunter Real Journey. 


Jadi kami tukar booking resit di kaunter Real Journey dan akan naik cruise Real Journey. Tak pasti kenapa bertukar daripada Go Orange ke Real Journey. Janji dapat join tour dan cruisenya pun nampak ok.



Selesai hal tiket, kami terus ke luar bangunan menuju ke jeti untuk beratur naik cruise. Ramai gile orang sedang beratur tunggu nak naik cruise pada awal pagi.



Di sini ada banyak cruise daripada company berlainan. Jadi jangan salah naik cruise. Cruise Real Journey antara cruise yang paling besar ada di sini.




Bila semua penumpang dah naik, cruise pun mulakan pelayarannya dengan perlahan. Maka terbentanglah pemandangan indah Milford Sound di depan mata. Cuaca ketika ini semakin cantik. Semua penumpang mengambil tempat masing-masing di bahagian atas untuk menikmati pemandangan lebih luas.



Sepanjang cruise akan ada penerangan berkaitan dengan kawasan sekitar untuk makluman pelancong. Kami antara dengar dan tak dengar saje sebab sibuk bergambar dan menikmati pemandangan.



Apa yang menariknya Mildford Sound ni adalah bentuk muka buminya yang bergunung ganang, berbukit bukau dan air terjun yang terus turun ke laut menjadikan pemandangannya sangat indah.



Setelah agak lama berada di bahagian atas, kami turun ke bawah untuk menikmati kopi pula. Ada disediakan refreshment untuk penumpang. Tapi tak ramai pun yang turun minum. Ramai yang lepak di atas tidak mahu terlepas menikmati pemandangan.



Cruise Real Journey ni besar, sangat luas, bersih dan kemas. Ada 3 tingkat. Ruang tempat duduk dan cafe ada di tingkat bawah. Manakala di bahagian atas adalah terbuka. Jadi boleh layan pemandangan 360 darjah di atas bahagian deck. 


Selepas minum kami naik semula ke deck atas menikmati kembali pemandangan yang lebih luas.



Purata hujan di Milford Sound sangat tinggi dan merupakan kawasan yang paling tinggi menerima hujan di New Zealand. Kira sangat bertuah kalau dapat cuaca cantik ketika tour di Milford Sound sebab biasanya cuaca di sini selalu hujan. Bila hujan pemandangan kelihatan berkabus dan kelam. Pada bulan September hingga Disember adalah bulan paling basah sepanjang tahun di sini.



Kiranya kami datang ke Milford Sound pada musim hujan. Risau juga kalau dapat cuaca mendung dan kelam. Terutamanya biasa berlaku pada sebelah pagi. Itulah salah satu sebab harga tour sebelah pagi paling murah. Tapi Alhamdulillah, kami dapat cuaca cerah ketika sampai di sini walaupun tak dapat langit biru dan agak berawan.



Bila musim hujan, lebih banyak air terjun akan kelihatan turun dari gunung ganang sekitar Milford Sound. Ketinggian gunung ganang di sini yang mencecah 1,200 meter dari tinggi air ini menjadikanya salah satu tempat paling indah di dunia. Memang tidak dapat dinafikan keindahan pemandangan di sini.



Milford Sound terletak di South West New Zealand di dalam Fiordland National Park dan merupakan Tapak Warisan Dunia ('World Heritage Site'). Merupakan destinasi pelancongan paling terkenal di New Zealand. Trip ke New Zealand tidak akan lengkap kalau tidak ke Milford Sound yang turut mendapat gelaran 'Eight Wonder of The World'. 



Cruise yang mengambil masa selama 2 jam ini akan bawa kita sehingga ke laut lepas Tasmanian Sea dan kemudian akan patah balik menuju ke jeti semula. Kalau bernasib baik boleh nampak dolphin, penguin dan sea lion. Masa tour kami ni hanya nampak sea lion saje yang terdampar di atas batu.




Oleh kerana kami naik cruise besar, jadi hanya mampu tengok sea lion daripada jauh saje. Kapal besar tak boleh dekat sangat dengan daratan. Takut tersangkut.


Kemudian cruise akan menghampiri air terjun besar yang ada di sini. Sekali lagi memandangkan kami naik cruise yang besar, jadi takde adegan cruise lalu rapat serapatnya dengan air terjun sehingga boleh membasahkan kita. Kalau nak rasa pengalaman seperti itu kena pilih cruise yang kecil.



Walaupun cruise patah balik menuju ke jeti melalui laluan yang sama, tapi pemandangan tetap tak menjemukan mata memandang.



Semua masih setia menikmati pemandangan indah ini dan kami tetap masih galak mengambil gambar pemandangan sekitar walaupun rasa macam ambil gambar yang sama saje beberapa kali.



Tak kisahlah walaupun ambil gambar yang sama banyak kali. Sebab bukan senang untuk kami datang ke sini. Wang, masa dan tenaga telah dikorbankan. Jadi nikmati saje sepuas-puasnya selagi boleh. Nanti bila balik Malaysia pasti pemandangan ini akan dirindui. Jadi gambar yang banyak tu akan jadi pengubat rindu.



Indahnya alam ciptaan Tuhan. Tak terjangkau di fikiran betapa indahnya syurga Allah nanti. Terasa diri ini sangat kerdil.



Rasa bersyukur sangat dengan nikmat yang Allah berikan. Diberikan rezeki, peluang dan kesempatan untuk menyaksikan keindahan ciptaanNYA.



Semasa cruise menuju ke jeti, cuaca semakin bertambah cantik. Awan semakin berlalu pergi dan menampakkan langit biru. Cahaya matahari semakin terik tapi tetap masih rasa sejuk. 



Beruntung mereka yang ambil tour tengahari. Sebab tu harga tour tengahari paling mahal. Matahari tegak pada tengahari, jadi pemandangan berganda-ganda cantiknya. Pada mulanya kami bercadang nak ambil tour tengahari. Tapi aku tukar sebab susunan itinerary sesuai dibuat sebelah pagi.



Bila cruise sampai di jeti, semua pelancong mula turun dari cruise. Sebelum keluar dari cruise, kami sempat redeem voucher lunch untuk bawak balik. Kami dah pilih menu vegetarian masa booking tiket dulu. So tak perlu risau.



Selesai tour, kami terus keluar dari bangunan terminal menuju ke bahagian benteng pasir untuk ambil gambar pemandangan Milford Sound dari daratan. Memang cantik pemandangan dari sini.



Lepas bergambar, kami kembali semula menuju ke parking dan terus beredar dari sini menuju ke destinasi seterusnya.


Bersambung New Zealand : South Island - Day 6 Part 2 👈


No comments:

Post a Comment