Total Pageviews

New Zealand : North Island - Day 11

Summer Road Trip - Auckland, Bethells Beach, Karekare Falls & Matamata

Jumaat - 30.11.2018


Hari ni merupakan hari ke 11 berada di negara yang terkenal sebagai lokasi filem The Lord of The Rings. Hari ni juga merupakan hari terakhir kami berada di South Island dan akan kembali semula ke North Island sebelum pulang ke tanah air tercinta. Perasaan bercampur baur. Rindukan tanah air dan pada masa sama berat hati nak tinggalkan bumi indah New Zealand ini.

Pagi ini, selepas breakfast sekitar pukul 7.45 pagi kami keluar dari bilik dan jalan kaki menuju ke office South North Holiday Park untuk ambil shuttle ke airport pukul 8.00 pagi. Tepat pukul 8.00 pagi sebuah van datang jemput kami dan bawa ke airport yang jaraknya tak sampai 10 minit.

Sampai di Christchurch Domestic Airport, kami terus menuju ke kiosk Jetstar untuk urusan self check-in dan kemudian ke kaunter untuk drop luggage pula. Alhamdulillah, luggage kami lepas walaupun terlebih berat sikit. Syukur dipermudahkan urusan.


Selesai urusan luggage kami terus masuk ke immigration yang prosesnya sangat cepat dan pantas. Alhamdulillah tiada masalah. Selesai urusan immigration kami terus ke pintu gate sambil singgah di kedai dalam balai berlepas. Kebetulan ada orang jual cherry, kami tak lepaskan peluang membeli. 


Bila pintu gate sudah dibuka, kami terus beratur untuk boarding. Ambil tempat duduk dan tak lama kemudian aku terus hanyut dibuai mimpi di awan biru. Mengantuk sangat. Pantang duduk aku pasti terlelap. Pukul 9.40 pagi flight berlepas meninggalkan Christchurch menuju ke Auckland.



Penerbangan mengambil masa 1 jam 20 minit untuk sampai di Auckland Domestic Airport. Alhamdulillah selamat sampai. Kami mendarat awal sikit dari jadual. Rasa seronok sebab boleh selesaikan perkara sepatutnya lebih awal hari ni.


Keluar dari flight, kami terus menuju ke bahagian claim luggage untuk ambil beg. Tunggu punya tunggu, sekali tengok salah satu beg kami rosak. Tayar dah pecah. Terus rasa bengang. Dalam bengang tu, wife terus ajak buat report untuk urusan claim nanti.


Terus jumpa pegawai yang bertugas di situ. Kemudian pegawai tu dapatkan kami borang untuk diisi. Setelah borang siap diisi pegawai tadi akan bawa ke pejabat untuk pengesahan dan kemudian kembalikan kepada kami semula. Kami dikehendaki emailkan borang dan laporan tersebut beserta gambar untuk urusan claim sebab ibu pejabat Jetstar berpengkalan di Australia.

Untuk urusan report ni saje telah mengambil masa kami yang agak lama. Daripada sepatutnya urusan kami boleh selesai awal akhirnya telah jadi lambat. Begitu rencana yang Allah telah tetapkan. Kita manusia hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Pasti ada hikmah disebalik apa yang terjadi.

Selepas selesai urusan beg, kami terus telefon pihak Apex Car Rentals untuk beritahu ketibaan dan pick up kami di airport. Kemudian kami diminta ke Door 4 Domestic Terminal dan tunggu van datang pick up di Park & Ride Bus Stop. Kali ni agak lama juga kami tunggu pihak Apex datang pick up kami.


Setelah menunggu lebih 30 minit, van sampai dan bawa kami ke depot Apex Car Rentals untuk urusan sewa kereta. Untuk di North Island kami sewa kereta Mazda Demio selama 3 hari dengan cas NZD215.04 termasuk insurance dan GPS. Memandangkan GPS tak guna sangat, jadi aku minta pihak Apex cancel kan GPS tu dan harga sewa kereta telah dikurangkan ke NZD189.84.



Selesai urusan sewa dan buat pembayaran, kemudian pegawai bertugas tunjukkan kereta kami. Ada sikit penerangan diberikan. Selesai semuanya, kami terus masukkan segala beg dan mulakan perjalanan hari ni menuju ke arah utara North Island. 

Destinasi pertama kami hari ni adalah ke Bethells Beach yang juga dikenali dengan nama lain iaitu Te Henga. Jarak dari Apex Car Rentals Auckland Airport lebih kurang 49 kilometer. Dijangka mengambil masa hampir 1 jam. 

Pemanduan kami melalui jalan bandar dan highway di sekitar bandaraya Auckland yang sibuk serta banyak kenderaan. Selepas lebih 20 minit pemanduan, baru kami masuk kawasan country side. Pemandangan sepanjang jalan jauh berbeza di South Island. Pemandangannya agak biasa saje.

Selepas 1 jam, akhirnya kami selamat sampai di Bethells Beach. Ketika kami sampai di sini tidak kelihatan pun pelancong lain datang berkunjung di sini. Mungkin sebab pantai ni tak cukup popular di kalangan pelancong luar. Selepas park kereta di kawasan parking yang disediakan, kami kena jalan kaki agak jauh untuk sampai ke pantai. 



Dari jauh kami dapat dengar bunyi ombak yang sangat kuat. Ini kerana pantai ini terkenal dengan ombaknya yang besar serta kuat dan sesuai untuk aktiviti surfing.


Oleh kerana ombaknya kuat, jadi pantai ini tidak sesuai untuk aktiviti berenang kerana tidak selamat kecuali bagi mereka yang pakar.



Wife aku kurang teruja dengan pantai ni. Jadi mood pun ke laut. Masa dah agak lewat semasa kami sampai sini disebabkan hal beg di airport tadi. Ditambah badan pun agak letih dan kaki mula sakit sebab terlampau banyak jalan.


Jadi kami tak sampai betul-betul di pantai dan explore sepanjang pantai ni.



Kalau rajin jalan hingga ke pantai sila ke sebelah selatan pantai ini. Di situ ada sebuah gua besar. Kalau air surut boleh masuk dalam gua tu. Memang cantik. Rasa rugi juga tak sampai situ.

Gambar ihsan daripada google

Kami ambil keputusan patah balik menuju ke kereta semula untuk beredar saje dari sini.


Sampai di kereta, kami terus menuju ke Karekare Waterfalls. Jarak dari Bethells Beach lebih kurang 36 kilometer dan dianggarkan mengambil masa 46 minit. Laluan kami kali ini merentasi kawasan hutan Waitakere Ranges Region Park. Jalannya juga agak kecil dan sunyi.


Alhamdulillah, kami selamat sampai di destinasi yang dituju. Dari tempat parking kereta, kami kena jalan kaki di jalan raya yang agak berbukit sebelum masuk ke laluan dalam hutan.


Memandangkan hari ini dah hari ke 11 kami berjalan tanpa rehat yang cukup, jadi rasa seperti nak menyumpah bila kena mendaki. Namun apakan daya, dah sampai sini kena tempuh segala cabaran dan dugaan yang datang.



Bagi menghilangkan rasa lelah dan mengelakkan daripada menyumpah mendaki jalan raya, jadi kami menikmati pemandangan hutan sepanjang jalan ini. 



Nampak agak berbeza hutan di South Island dan North Island. Tapi pemandangan masih tetap kelihatan cantik di mata kami.


Selepas beberapa minit mendaki jalan raya, akhirnya kami sampai di laluan masuk ke waterfall yang melalui hutan. Nampak sunyi sepi ketika ini. Tambah tak nampak pun orang lain datang. Perasaan ragu mulai menghantui diri kami.



Tapi kami tawakal teruskan juga langkah kaki ini menuju ke air terjun. Selepas beberapa minit melalui hutan, kami jumpa anak sungai.


Jalan lagi ke depan kami jumpa pokok hutan besar yang menarik perhatian kami. Pokoknya besar dengan dahan panjang dan berselirat seperti menjalar dan nampak unik pada kami.




Jika diperhatikan betul-betul macam rupa pokok dalam cerita The Lord of The Ring : The Two Towers rasanya. Scene yang hobbit lari sampai masuk hutan. Lepas tu pokok tu tolong lawan sampai menang masa hujung cerita tu. 



Kemudian tak jauh dari pokok-pokok ini kami dah nampak Karekare Waterfalls. Masa kami sampai nampak beberapa pengunjung sedang beriadah di sini. Rupanya ada juga orang datang ke air terjun ni. Cuma tak berapa ramai.


Karekare Falls ni sebenarnya tak begitu popular di kalangan pelancong. Sebab tu tak ramai yang datang ke sini. Air terjun ni terletak di Karekare Village, 45 kilometer dari Auckland dengan ketinggian mencecah 30 meter. Uniknya air terjun ini jatuh ke dalam kolam bukannya sungai seperti air terjun lain dan dasar kolamnya agak dalam juga.


Airnya sangat sejuk masa ni. Ada beberapa pengunjung cuba mandi sebab nak cabar ketahanan mereka. Rupanya salah sorang daripada pengunjung yang berenang tu pemuda cina dari Malaysia. Datang ke sini bekerja dan cari pengalaman.


Borak-borak sekejap dan kemudian kami beredar dari sini. Kalau tadi kami mendaki kali ni perjalanan ke parking kereta agak senang sedikit sebab menurun.



Sampai di kawasan parking kami tidak terus ke kereta tapi masuk ke dalam menuju ke arah pantai. Hajat nak jalan-jalan sebentar sambil melihat apa yang ada di sini.



Kami jalan kaki sehingga Karekare Stream. Nampak cantik pula stream ni. Dengan di kelilingi rumput hijau dan bunga liar. Sesekali nampak itik berenang riang.



Terasa sungguh tenang dan mendamaikan melihat kehijauan dan keindahan di sini.


Kemudian kami jalan ke depan lagi menghala ke pantai sebab laluannya agak menarik. Tapi kami tak teruskan langkah kaki kami hingga ke pantai sebab masa mencemburui kami. Dan akhirnya kami patah balik semula.


Jalan kaki menuju ke kereta sambil layan view stream di bahagian lain pula. Kemudian berhenti sekejap sambil melihat itik berenang-renang. 



Entah kenapa, walaupun nampak agak bersemak tapi suasana nampak begitu menarik di mata kami.


Eh! tak boleh dilayan sangat. Perjalanan kami selepas ini sangat jauh dan sekarang kami dah lewat sangat. Nanti lambat pula sampai ke destinasi terakhir untuk hari ini. Dengan berat hati kami terpaksa tinggalkan tempat ini.


Dari Karekare kami menuju ke Matamata dengan jarak dari sini sejauh 190 kilometer. Jauh kan. Dijangka mengambil masa 2 jam 45 minit. Ini belum lagi berhenti singgah dan keadaan traffic lagi. Mungkin akan mengambil masa lebih 3 jam.

Selepas 1 jam lebih perjalanan, kami singgah di pasaraya Food For Less di New Lynn nak cari daging halal. Masuk dalam kedai tu tapi tukang daging tu tengah sibuk pula nak potong kambing. Kami kena tunggu. Disebabkan kami tak boleh tunggu jadi kami batalkan saje niat nak beli daging halal. Jadi kami hanya beli maggie dan kebetulan ada samosa vegetarian kami beli untuk makan dalam kereta nanti. Lapar gile kami time ni.


Kemudian kami sambung semula perjalanan menuju ke Matamata. Keadaan traffic di highway mulai sesak bila kami mula memasuki kawasan bandar Auckland. Agak jauh menempuh kesesakan lalu lintas di sini sehingga kami memasuki State Highway 2 sehingga ke Matamata.



Perjalanan yang jauh masih diteruskan dan sering kali diserang rasa mengantuk. Wife aku sesekali tengok tengah membuta. Pantang duduk dalam kereta mesti terlelap tak lama kemudian. Almaklumlah, badan dah letih dan tak cukup tido sepanjang berada di New Zealand.


Nak tak nak aku kena bertahan juga hingga ke Matamata. Dalam perjalanan tu, kami singgah sekejap di stesen Mobil Waharoa untuk topup petrol dan beli air mineral. Sampai di Matamata kami terus menuju ke tempat penginapan kami untuk malam ni iaitu di Ivy Cottage. Kali ni kami menginap ala airbnb. Bermalam di rumah host kami yang comel. Aku booking penginapan ini di www.lookafterme.co.nz.



Sampai di Ivy Cottage kami disambut dengan ramah dan mesra oleh host kami bernama Mrs. Colleen Wolfreys. Berborak-borak dengan host kami sebelum masuk bilik walaupun badan kami sangat letih dan mengantuk setelah menempuh perjalanan jauh.



Selepas berborak kami masuk ke bilik dan kemas barang.



Selesai kemas barang bersihkan diri. Ya Allah, nikmatnya selepas mandi. Terasa segar sangat.


Kemudian ke dapur masak maggie tambah telur tuan rumah punya.


Lepas makan terus masuk bilik tido. Bersambung hari ke-dua belas. 👈

Perjalanan kami hari ni

Perbelanjaan hari ke sebelas :-
  1. Cherry - NZD7.00
  2. Apex Car Rentals - NZD189.84
  3. Beli Maggi & Samosa - NZD5.50
  4. Petrol Waharoa - NZD45.00
  5. Beli air mineral - NZD4.50
  6. Ivy Cottage - NZD50.00
Total - NZD301.84


No comments:

Post a Comment