Total Pageviews

New Zealand : North Island - Day 13

Summer Road Trip - Viaduct Harbour, Sky Tower, Mount Eden, Restoran Uncle Man & Auckland International Airport


Ahad - 02.12.2018


Hari ni hari ke 13 merupakan hari terakhir kami berada di New Zealand. Malam ni flight pulang ke Malaysia. Pagi ni, selepas bangun kami terus kemas segala beg sebab lepas check-out terus jalan dan petangnya pulangkan kereta dan kemudian kami akan terus ke airport. Jadi kena kemas segalanya siap-siap dan simpan di dalam kereta. 

Pagi tu kami makan maggie sebab nak habiskan stok. Ada juga stok makanan yang dibawa ke NZ tapi tak sempat masak. Jadi kena bawak balik semula ke Malaysia. Nak buang atau tinggalkan rasa sayang dan membazir pula. Balik rumah nanti boleh masak.

Selepas selesai kemas, bersiap dan makan, kami turun ke bawah dan check-out. Kemudian kami mulakan perjalanan ke destinasi pertama hari ini iaitu ke Viaduct Harbour. Jarak hanya 2.8 kilometer saje dari penginapan kami, Columbia Apartment, Whitaker Place.


Masalah sikit bila bawa kereta di bandar besar adalah parking. Di sini tak boleh sembarangan parking atau parking lebih masa sebab nanti dikenakan saman. Saman di sini mahal wei nak bayar. 

Tak jauh dari Viaduct Harbour, nampak ada satu ruang parking yang tiada limit masa jadi kami parking di situ saje. Kena bayar di mesin NZD3.00.


Selesai hal parking kami jalan kaki menuju ke Viaduct Harbour.


Terus jalan sambil melihat gelagat dan aktiviti manusia di pagi hari di hujung minggu sambil menikmati pemandangan sekitar. 



Viaduct Harbour ni terletak di tengah CBD Auckland. Merupakan kawasan kediaman, komersil dan hiburan. Ada banyak restoran dan bar terbaik di Auckland ada di sini dengan menghidangkan pelbagai jenis makanan laut segar.


Turut ada di sini New Zealand Maritime Museum di mana ada dipamerkan sejarah berkenaan maritim di New Zealand.


Di sini juga kita boleh lihat kapal layar mewah dan kapal layar untuk perlumbaan di samping menikmati pemandangan Viaduct Harbour dan laut.



Viaduct Harbour juga menjadi tuan rumah untuk pelbagai acara hebat daripada jenama terkenal dunia seperti Louis Vuitton, Volvo dan pameran boat international serta fashion week New Zealand.

 

 

Kami terus berjalan.



Jalan hingga ke hujung.



Pada aku biasa saje. Sampai hujung kami patah balik dan kemudian melalui Wynyard Quarter.


Di sini meriah dengan restoran-restoran mewah untuk menjamu selera sambil menikmati harbour side.


Dan bangunan dengan rekabentuk agak menarik.



Kemudian kembali jalan kaki di laluan yang sama masa datang tadi dengan view yang sama.




Kali ni kami lihat restoran dan gerai kecil baru mula hendak dibuka.



Kaki masih terus melangkah.



Membawa haluan yang tiada tujuan.



Walaupun jiwa kami tiada di sini sebenarnya. Kami hanya inginkan alam semulajadi bukan hutan konrit.



Tapi kena juga lihat bandar di negara orang untuk meluaskan pengetahuan am dan menambah pengalaman.


Tujuan utama sebenarnya nak try makan ice cream kat sini. Kami sampai awal pagi jadi banyak kedai yang belum beroperasi lagi. Dekat pukul 10 pagi baru banyak kedai mula dibuka.


Ada banyak kedai ice cream dan yogurt di sini. Kami try beli ice cream di satu kedai ni. Harga NZD9.50. 




Tak tau nak pilih yang mana. Belasah saje. Memang sedap rasa ice creamnya. 


Kami makan ice cream sambil jalan kaki menuju ke kereta. Nak gerak beredar ke destinasi seterusnya.



Dalam perjalanan sebelum sampai ke destinasi seterusnya kami nampak ada kereta berhias. Aku parked kereta tepi jalan dan wife keluar pergi ambil gambar. Aku hanya tunggu dalam kereta.



Kereta berhiasa yang masih dalam proses akhir tapi semua nampak menarik dan comel.



Kemudian wife jalan ke depan lagi sebab dia nampak design bangunan yang menarik.



Selepas tu wife datang kembali ke kereta dan kami ke Sky Tower. Wife saje keluar dan jalan kaki di antara kedai dan restoran menuju ke Sky Tower. Aku masih setia menunggu di dalam kereta.


Wife kata meriah di sekitar Sky Tower. Almaklumlah, tumpuan pelancong. Wife sekejap saje di situ. Cuma tengok dan ambil gambar dari luar saje. Memang niat nak sekejap saje. Ambil gambar sebagai bukti untuk diri sendiri yang kami telah menjejakkan kaki di sini.


Sky Tower ni merupakan menara telekomunikasi dan observation tower di Auckland. Terletak di Victoria Street di kawasan CBD. Tinggi menara adalah 328 meter dari aras tanah dan menjadi menara ke 25 tertinggi di dunia. Merupakan mercu tanda bandar Auckland kerana ketinggian dan rekabentuknya yang unik.


Selesai ambil gambar kami terus keluar dari sini menuju ke Mount Eden. Jarak 4.3 kilometer dari Victoria Street. Sampai di Mount Eden, kena jalan kaki daripada tempat letak kereta masuk ke dalam hingga ke puncak.


Sebenarnya ada banyak jalan masuk. Pada mulanya nak pilih yang paling dekat. Akhirnya tersalah pilih terparking yang jauh juga. Jenuh juga jalan kaki sambil mendaki hingga ke puncak Mount Eden. Bila dah hari ke 13, kaki pun dah mula rasa tak larat sangat.


Namun digagahkan juga semangat dan teruskan mendaki menyusuri jalan tar dan sesekali menaiki anak tangga yang banyak hingga ke puncak.




Mount Eden yang juga dikenali dengan nama Maugawhau ni terletak di pinggir bandar Auckland. Merupakan gunung berapi yang tidak aktif dan puncak tertinggi di Auckland walaupun ketinggiannya hanya 196 meter. Kesan tinggalan gunung berapi ini telah menyebabkan bentuk muka bumi di sini berbukit bukau, beralun dan berkawah.



Di puncak Mount Eden yang terbuka luas ini, kita boleh saksikan pemandangan 360 darjah bandar sekitar Auckland, menara, pelabuhan dan laut.



Di puncak ini juga ada kawah gunung berapi yang sangat besar. Jika biasa kita lihat kawah berwarna kelabu, di sini kawahnya telah dipenuhi rumput hijau. 



Angin sangat kuat dan sejuk ketika berada di sini walaupun ketika ini musim panas. Alhamdulillah cuaca semakin baik waktu kami di sini dan matahari mulai terik di kawasan yang lapang dan luas ini.



Selepas meninjau keadaan sekitar, kami ambil keputusan meninggalkan Mount Eden dan meneruskan aktiviti seterusnya untuk hari ini.

 


Kalau ikut plan destinasi selepas Mount Eden, kami akan ke One Tree Hill dan Cornwall Park. Tapi dengan berat hati aku terpaksa batalkan sebab wife tak nak ke sana atas alasan yang kukuh yang kakinya dah tak larat nak jalan jauh dan hiking.

Puncak One Tree Hill dari Mount Eden

Memandangkan dah tengahari dan perut dah lapar, jadi kami ambil keputusan kembali ke Auckland dan bercadang terus ke Restoran Uncle Man yang terkenal dengan citarasa Malaysia untuk makan tengahari. Jarak hanya 3 kilometer saje dari Mount Eden.

Kami parking di tepi bangunan yang tiada had masa dan percuma. Kemudian jalan kaki menuju ke restoran sambil meninjau kedai-kedai sepanjang perjalanan ke restoran.



Sampai di restoran terus masuk dan order makanan. Bukan saje orang melayu masuk ke restoran ni, malah bangsa lain seperti cina, india dan mat salleh pun ada masa kami ke sini.


 

Rasa makanannya memang sedap dan puas hati. Alhamdulillah kenyang sangat dan dapat juga melepaskan rindu makan makanan selera melayu.


Selepas makan kami jalan-jalan kawasan sekitar sekejap dan kemudian kembali semula ke kereta. Hari pun dah petang, sebelum pukul 5.00 petang kena pulangkan kereta.



Sebelum pulangkan kereta kami pergi ke ParkNSave di Mt. Albert nak beli coklat dan air susu coklat NZ untuk dibawa pulang ke Malaysia. Kami perhatikan harga di sini lebih murah dan selepas bayar dapat voucher diskaun untuk isi petrol. Sebelum pulangkan kereta kena penuhkan tank minyak semula.

Selepas beli, susun barang dan topup petrol, kami terus ke Apex Car Rentals untuk pulangkan kereta. Kemudian mereka hantar kami ke Auckland International Airport.

Sebenarnya flight kami lama lagi tapi sebab tak nak keluarkan kos untuk teksi atau bas semata-mata nak sambung berjalan lagi, jadi kami ambil keputusan lepak dan mereput saje di airport. 

Sampai di airport terus cari port lepak. Tapi nasib tak menyebelahi, kebanyakkan kerusi telah diduduki orang. Jadi kami lepak di depan kaunter check in yang kosong dan duduk di atas lantai. 


Lepak situ sampai kaunter check-in flight kami dibuka. Masa lepak tu, wife ambil kesempatan hantar report ke Jetstar berkenaan beg rosak. Sekurangnya dapat juga settle satu hal.

Lebih kurang pukul 9.30 malam kaunter buka, kami terus beratur check-in. Kemudian terus masuk immigration dan lepak di dalam. Lebih selesa dapat duduk atas kerusi.


Tiba waktu boarding terus masuk flight dan berehat saje. Flight berlepas meninggalkan Auckland pada pukul 11.40 malam. Aktiviti dalam flight layan entertainment in flight, makan dan tido sehingga selamat mendarat di KLIA pada pukul 5.40 pagi.




Dari KLIA kami naik ERL berhenti di Putrajaya Sentral dan kemudian ambil Mycar menuju ke rumah dan berehat sepuasnya.

Tamat sudah perjalanan pengembaraan kami ke New Zealand. Alhamdulillah diberi rezeki dan kesempatan dapat ke negara yang dihajati. Bertahun plan tapi terpaksa dibatalkan sebab harga tiket yang mahal. Telah ditakdirkan, akhirnya tahun 2018 kami berjaya menjejakkan kaki di bumi yang menjadi salah satu idaman dan impian kami. 

Segala kenangan dan pengalaman menjadi pengajaran berharga bagi kami. Ada sambungan lagi di post 'Ringkasan iterneri dan perbelanjaan hangus'. 👈

Perjalanan kami hari ini.

Perbelanjaan hari ke tigabelas :-
  1. Parking Auckland - NZD3.00
  2. Ais krim - NZD9.50
  3. Restoran Uncle Man - NZD30.38
  4. Beli coklat dan air susu di PakNSave - NZD41.37
  5. Petrol PakNSave Mt. Albert - NZD40.00
Total - NZD124.25


No comments:

Post a Comment