Total Pageviews

Yogyakarta - Day 2

Ahad - 11.09.2016

Trip Korban : Borobudur, Rumah Kamera, Gunung Merapi, Prambanan Temple & Istana Ratu Boko

Hari kedua seawal pukul 3.15 pagi kitorang bangun dan bersiap. Pukul 4.00 pagi Pak Supir sampai, terus gerak menuju ke destinasi pertama hari ini iaitu Sunrise di Borobudur. Pagi ni hanya makan roti ikan bilis gardenia yang dibawa dari Malaysia. Makan untuk isi perut dalam kereta saje. Perjalanan mengambil masa sejam. Sampai sana lebih kurang pukul 5.00 pagi.

Untuk menikmati pemandangan sunrise di Borobudur kena melalui pintu masuk Hotel Manohara. Harga jauh lebih mahal berbanding dengan harga tiket biasa kalau ikut pintu masuk Borobudur. Tapi pintu masuk utama tersebut hanya dibuka pukul 6.00 pagi. Matahari dah tegak waktu tu. Plan kitorang memang nak tengok sunrise di sini. Harga dikenakan IDR 400,000 seorang. 

Masuk saja di Manohara kena melalui pemeriksaan dulu. Dorang akan check beg yang kita bawak juga. Kemudian buat pendaftaran dan pembayaran di kaunter. Setiap pengunjung akan dibekalkan map dan torchlight sebab jalan menuju ke Borobudur masih gelap. Selesai segala urusan kitorang pergi solat subuh terlebih dahulu sebelum gerak masuk ke Borobudur. Ada mushola berhampiran dengan kaunter daftar tadi.

Sepanjang jalan ada ditunjukkan tanda ni.

Selesai solat terus gerak menuju ke Borobudur. Ikut arah anak panah yang disediakan dan boleh rujuk pada map yang diberi tadi. Suasana sudah agak terang sedikit masa kitorang masuk. Lebih kurang 5 ke 10 minit jalan kaki. Lepas tu kena panjat anak tangga yang tinggi dan menegak. Tercunggap juga dibuatnya. Kitorang naik laju. Takut terlepas sunrise. Exercise pagi buta. 

Kena naik anak tangga tu sampai atas

Sampai atas, mak ai...ramainya manusia yang tunggu sunrise. Di setiap ceruk ada saja orang. Bertabah la. Cuaca agak berawan. Matahari tidak menunjukkan dirinya. Tapi view masih cantik ditambah dengan kabus. Semua masih setia menunggu matahari keluar. Masih menaruh harapan. Jangan mudah kecewa. Setelah menunggu seketika, matahari pun semakin meninggi dan akhirnya menunjukkan dirinya. Tapi cahayanya tidak seperti yang dikehendaki. Bersyukur la.





Candi Borobudur adalah candi buddha yang dikatakan candi terbesar di dunia. Menurut satu sumber candi ini dibina tanpa menggunakan apa-apa jenis simen atau mortar. Strukturnya seperti satu set blok lego. Kuil ini dihiasi dengan ukiran pada batu yang mewakili imej dari kehidupan Buddha. Terdapat stupa-stupa di setiap tingkat dan stupa terbesar terletak di bahagian puncak tengah kuil. 




Borobudur ni berada di dataran berbukit dan dikelilingi gunung ganang. Antara gunung yang mengelilingi candi ini ialah Gunung Merbabu (sebelah timur), Gunung Merapi (sebelah barat laut), Gunung Sumbing (sebelah selatan) dan Gunung Sindoro (sebelah utara).




Disebabkan masa masuk tadi melalui pintu masuk Manohara, jadi kitorang takde pakai kain lilit. Kalau masuk ikut pintu masuk Borobudur baru kena pakai kain lilit. Tapi pada aku best juga kalau dapat pakai kain lilit tu sebab itu trademark nya.



Lepas agak lama bergambar dan mengelilingi Borobudur walaupun candi ni takde la besar mana pun, kitorang decided nak gerak ke destinasi seterusnya. Balik ikut exit Manohara. Exit ni lebih dekat berbanding ikut exit biasa Borobudur. Tapi hanya untuk pengunjung yang ambil package sunrise saja. Ikut laluan ni takde gangguan daripada peniaga-peniaga jalanan. Kalau ikut jalan biasa tu, memang ramailah peniaga jalanan akan mengerumuni pengunjung.


Untuk package ni ada disediakan light meal. Sampai di Manohara makan dan minum dulu. Pergh! memang sedap bila pekena air panas di pagi hari.

Sebab aku antara orang yang terakhir ni je yang tinggal. 

Lepas makan pulangkan semula torchlight di kaunter. Souvenirs akan diberikan kepada sesiapa yang pulangkan semula torchlight tadi. Dapat kain batik sorang satu. Ada section jual souvenir. Aku sempat juga rembat fridge magnet harga IDR 30,000 sebelum keluar tadi. Harga di hotel mahal sikit. Takde fridge magnet yang menarik pun kat sini. Tapi kena beli jugak untuk kenangan.

Daftar di kaunter ni pagi tadi dan di sini juga pulangkan torchlight.

Destinasi seterusnya ke Rumah Kamera. Jarak hanya 5 minit dari Borobudur. Pak Supir tak tau pasal tempat ni. Kitorang yang bagitau dia. First time dia datang sini. Kitorang tak masuk pun. Tujuan ke sini cuma nak ambil gambar saja sebab pada aku rekabentuknya unik. Di dalam Rumah Kamera ni ada 3D art photo. Biasa saje pada aku. Tak masuk pun takpe.


Selesai ambil gambar, Pak Supir bawak pegi breakfast di kedai Rumah Makan Bale Kambang. Mula-mula kitorang nak terus gerak ke destinasi seterusnya tapi disebabkan Pak Supir dah call kedai makan ni untuk breakfast terpaksalah kitorang berhenti makan juga. Kitorang cuma order nasi goreng satu share dua orang. Perut takdelah lapar sangat sebab dah makan roti tadi pastu makan sikit kat Manohara rasa cukuplah untuk breakfast. Lagi pun nak kejarkan masa dengan harapan dapat penuhi semua itinerary aku hari ni.

Sedap nasi goreng. Bila makan rasa tak cukup pulak.

Tanpa buang masa, selesai makan aku ajak Pak Supir gerak terus. Sepatutnya kalau ikut itinerary pegi ke Air Terjun Curuk Sidoharjo tapi aku skip saje. Rasa malas pulak nak ke sana. Jadi kitorang terus ke Gunung Merapi. Perjalanan ke Gunung Merapi mengambil masa lebih kurang sejam. Aku tido sepanjang perjalanan. Almaklum, bangun awal sebelum subuh tadi. Mengantuk juga mata dibuatnya. 

Gunung Merapi dari kejauhan.

Sampai di Gunung Merapi kena bayar tiket masuk IDR 11,000 untuk dua orang. Kalau nak tau, harga tiket yang dicetak IDR 3,000 untuk seorang. Boleh plak dorang markup harga sendiri. Bukan dekat sini saja tapi banyak juga lah tempat-tempat lain yang kitorang masuk kena bayar lebih daripada harga tiket sebenar. Nak kaut untung lebih lah tu. Sabar je la. Kat negara orang kan. Pak Supir ada juga bagitau biasanya harga tiket masuk akan berubah-ubah, hujung minggu dan hari biasa harga berlainan. 

Sampai di pengkalan jeep terus bayar untuk Jeep Tour Merapi. Harga satu jeep IDR 350,000. Untung kalau pegi group. Jadi murah bila dibahagi. Aku kena la bayar harga satu jeep. Naik berdua dengan wife aku.

Jeep yang digunakan untuk Tour Merapi

Untuk tour di Merapi memang kena naik jeep sebab jalannya Ya Tuhan, sangat teruk ditambah dengan berbatu-batu besar lagi. Sakit bontot dibuatnya. Tak boleh duduk selesa langsung. Bergoyang-goyang macam nak tercampak pun ada. Tapi pengalaman ni memang menarik sangat. Pada aku, wajib pegi kalau datang ke Yogyakarta. Memang tak sempurna lawatan kalau tak ke sini.

Tengok la jalannya

Tempat pertama akan dibawa ialah Mini Muzium Sisa Hartaku (The House of Memory) iaitu bekas rumah penduduk kampung yang terkesan akibat letusan Gunung Merapi pada tahun 2010. 

Sisa tulang binatang

Rangka motorsikal


Kesan akibat letusan

Letusan Gunung Merapi bermula pada hari Selasa 26 Oktober 2010. Gunung Merapi memulakan satu siri letusan berterusan sehingga bulan November 2010. Letusan ini adalah yang terbesar sejak tahun 1870 an. 

Gambar kenangan sebelum terjadinya letusan 2010

Letusan bermula dengan terjadi awan panas selama 2 hingga 9 minit berulang kali dari pukul 5.00 petang. Pada jam 5.42 terjadi awam panas selama 33 minit sebelum kedengaran dentuman kuat pada pukul 6 hinggga 6.45 petang dan selepas itu kelihatan debu panas dan lahar mengalir ke arah barat daya dan selatan tenggara.

Gambar asap panas pada hari kejadian

Lava panas yang boleh dilihat dari jarak jauh. Debu panas terbang sehingga ke bandar

Pada 26 Oktober 2010, seramai 18 orang ditemui maut akibat terbakar dan kegagalan penafasan yang disebabkan abu panas. Ribuan penduduk dalam jarak kira-kira 10 kilometer di sekeliling gunung berapi dipindahkan. Pada 26 Oktober 2010, jumlah terkorban meningkat menjadi sekurang-kurangnya 28 orang termasuk penjaganya Mbah Maridjan.

Saat letusan yang paling dasyat berlaku


Aktiviti menyelamat dilakukan

Lebih 100,000 orang telah dipindahkan dari kawasan terbabit. Namun, masih ramai yang tinggal atau kembali ke rumah mereka semasa gunung ini masih meletus. Lebih 150 terbunuh dalam letusan ini sebahagiannya akibat aliran piroklastik. Kepulan abu gunung berapi ini turut menyebabkan gangguan besar terhadap  penerbangan di seluruh Jawa.

Rangka lembu

Bekas rumah yang tinggal

Turut dipamerkan, sisa-sisa barangan harian semasa kejadian. Sedih sangat. Lagi-lagi bila tengok gambar-gambar masa kejadian. Bayangkan semasa hari kejadian. Ya Allah, sangat menakutkan. Alhamdulillah, tak berlaku di Malaysia.

Kitab suci yang masih elok

Gambar yang menceritakan tentang kejadian

Barang-barang yang rosak akibat haba panas

Menunjukkan betapa panasnya haba sehingga menyebabkan kaca bengkok

Selepas habis satu muzium dijelajah, kitorang dibawa ke kawasan lapang, menurut guide dahulunya ada perkampungan di sini dan telah tertimbus sepenuhnya oleh debu dan lava letusan Gunung Merapi. Di kawasan ini juga terdapat sebiji batu yang mereka gelarkan Batu AlienBatu ini dikatakan muncul selepas letusan 2010 dan dipercayai telah jatuh dari gunung semasa letusan tu berlaku. Dipanggil Batu Alien kerana rupanya yang menyerupai muka orang yang sedang bersedih. Kalau diperhatikan betul-betul akan nampak mata, hidung dan mulut yang kesedihan.

Nampak tak? Sapa tak nampak tu tandanya....

Seterusnya kitorang dibawa lebih dekat dengan Gunung Merapi. Di sini ada satu tempat dipanggil Bunker. Bunker ni dibina untuk dijadikan sebagai tempat perlindungan daripada asap-asap panas daripada letusan. 


Lubang bunker

Menurut cerita guide aku, 2 orang tempatan telah mati pada letusan 2010 di dalam bunker ini. 2 mangsa tersebut tidak dapat menyelamatkan diri lalu menyorok di dalam bunker ini. Tapi malangnya bunker ini hanya mampu menahan asap tebal bukannya lava panas letusan.


Keadaan di dalam bunker

Dilengkapi dengan tandas dan kolah mandi

Cuaca ketika ini panas tapi berangin. Nasib tak menyebelahi kami. Awan tebal menutupi puncak Gunung Merapi. Menurut guide, nak dapat pemandangan jelas Gunung Merapi kena datang pada awal pagi atau pun petang. Waktu tu memang boleh nampak jelas. Orang pun tak berapa ramai.


Puncak Gunung Merapi


Bekas laluan lava panas


Bunga dari gunung

Kemudian guide bawak kitorang bergambar bersama jeep dengan berlatar belakangkan Gunung Merapi. Guide jadi cameraman. Maka bergaya sakan masing-masing. Lupa diri. Selesai bergambar sakan maka berakhirlah Jeep Tour Merapi ni. Kitorang dibawa semula ke pengkalan jeep tadi. 

On the way ke destinasi seterusnya, kitorang singgah makan tengahari di Satria Resto. Tempat makan ni sangat cantik dengan permandangan sawah padi yang hijau. Sejuk dan nyaman rasanya. Harga makan kat sini boleh tahan mahal harganya. Kitorang order nasi lauk tomyam, kangkung dan ayam bakar. Rasa makanannya sedap jugak. Selesai makan, pegi solat terlebih dahulu kemudian terus bertolak ke tempat yang ingin dituju.

Kalau kat KL order sayur kangkung dapat batang banyak

Destinasi kami seterusnya ialah Candi Prambanan. Lebih kurang sejam juga perjalanan. Tiket masuk ke Candi Prambanan dan destinasi selepas ni, aku dah beli awal di kedai makan Satria Resto tadi. Pak Supir aku yang cadangkan. Katanya ingin membantu. Boleh dapat diskaun. Sampai sana nanti Pak Supir yang tolong bawak kitorang masuk. Harga tiket IDR 230,000 seorang. Kalau harga beli di kaunter masuk IDR 234,000. Dari kaunter masuk tadi kena jalan kaki agak jauh juga untuk sampai ke Candi. 







Candi Prambanan adalah kompleks candi Hindu yang terbesar di Indonesia. Candi ini mempunyai 3 candi utama iaitu Candi Wisnu, Brahma dan Siwa. Ketiga candi tersebut adalah lambang Trimurti dalam kepercayaan Hindu. Struktur candi ini berbentuk tinggi dan ramping dengan ketinggian 47 meter.




Di sini pun penuh dengan orang. Aku pusing sekeliling dan ambil gambar sikit. Ramai sangat orang. Jenguk pun ala kadar je. View kat sini memang nampak cantik. Ditambah lagi dengan langit biru. Panas terik lagi. Tapi aku dah standby payung. Dapatlah berlindung sikit daripada terik matahari.



Selesai lawatan di sini kitorang terus gerak keluar. Jalan keluar akan melalui gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis souvenir dan kedai makan. Kitorang tak singgah pun. Cuma tengok sepintas lalu sebab nak kejar masa.

Keluar terus cari Pak Supir nak gerak ke Istana Ratu Boko. Nak ber sunset di sini pulak. Jarak ke Ratu Boko dari Prambanan dekat je. Dalam 10 ke 15 minit dah sampai. Tiket masuk aku beli sekali dengan tiket Candi Prambanan di kedai makan Satria Resto tadi. Harga beli di kaunter masuk IDR 110,000. Harga diskaun tadi dapat IDR 100,000 seorang. 

Kena jalan kaki lebih kurang 5-10 minit. Sampai je, ya ampun... penuh dengan manusia. Nak ambil gambar depan pintu gerbang pun penuh dengan orang. Takde ruang kosong langsung. Kecewa.

Istana Ratu Boko terkenal sebagai salah satu spot terbaik untuk menikmati sunset. Dibina semasa pemerintahan Rakai Panangkaran. Istana ini pada mulanya bernama Abhayagiri Vihara yang bermaksud biara di bukit yang penuh kedamaian. Didirikan untuk menyepi dan memfokuskan diri pada kehidupan spiritual. Bila berada di istana ini akan merasakan kedamaian sambil menikmati keindahan sekeliling.

Masuk di pintu gerbang tadi tu merupakan bahagian tengah. Aku tak explore pun tempat ni. Sebab leka nak tengok sunset. Ditambah dengan kesesakan manusia lagi. Terlupa terus nak menjenguk apa yang ada di sekitar istana ini.



Matahari memang tengah cantik waktu ni. Tapi sayang, semua gambar yang diambil penuh dengan orang. Semua setia menunggu matahari betul-betul jatuh di tengah pintu gerbang termasuklah para photographer. Bila saat ditunggu hampir tiba, maka tiba-tiba datang awan melindungi matahari. Maka berakhirlah penantian semua dengan kecewa. 

Hari pun semakin gelap, kitorang ambil keputusan gerak pulang. Sebelum pegi ke kereta, kitorang claim welcome drink di restoran berdekatan dengan pintu masuk tadi. Dapat dua botol air. Wife aku pilih air oren dan delima. Air delima sedap. Untuk package sunset di Istana Ratu Boko ini, ada diberi complimentary welcome drink. Lepas ambil air sempat juga singgah di kedai souvenir tengok kalau ada fridge magnet. Tapi sayang takde. Kat Yogyakarta ni takde jual fridget magnet. Dengan hati kecewa terus membawa diri ke kereta dan gerak ke Malioboro.

On the way balik ke Malioboro kedengaran takbir berkumandangan di sana sini. Almaklum, esok Aidil Adha. Takbir di merata-rata sepanjang perjalanan pulang. Semua yang kitorang dengar semua suara budak. Comel gile suara dorang. Aku tanya Pak Supir kenapa suara budak je aku dengar. Jawapannya yang dewasa tengah sibuk bekerja katanya. Aku dan wife berpandangan. Pada aku bagus juga. Pendidikan dan pendedahan dari awal. 

Sampai di Malioboro terus balik Hotel. Bersihkan diri dan rehat. Penat dan mengantuk. Wife aku dah tak larat. Lepas badan dah segar sikit, aku keluar kejap sorang diri. Jalan-jalan sekitar Jalan Malioboro. Niat dihati nak survey masjid untuk solat Aidil Adha esok. Sambil tu tengok-tengok suasana malam di Malioboro dan cari makanan sekali untuk dinner.

Malam ini aku makan simple je. Beli kat gerai tepi jalan. Bungkus nasi campur berlaukkan mihun dan telor. Harga IDR 10,000. Beli sikit je. Bila makan sedap pulak rasanya. Lepas tu tak cukup sebab share dengan wife aku.

Selesai makan tak lama lepas tu aku tido. Sambung hari ketiga.

Perbelanjaan hari kedua :

1. Sunrise di Manohara - IDR 400,000 x 2 = IDR 800,000
2. Fridge magnet - IDR 30,000
3. Breakfast - IDR 30,000
4. Tiket masuk Gunung Merapi - IDR 5500 x 2 = IDR 11,000
5. Jeep Merapi Tour - IDR 350,000
6. Lunch - IDR 148,500
7. Tiket masuk Prambanan - IDR 230,000 x 2 = IDR 460,000
8. Tiket masuk Istana Ratu Boko - IDR 100,000 x 2 = IDR 200,000
9. Dinner - IDR 10,000

Total - IDR 2,039,500


No comments:

Post a Comment