Total Pageviews

South Korea : Jeju - Day 4

Trip Memburu Autumn - Jeju : Mount Hallasan, Oedolgae Rock, Georinsaseum Observatory, Saeyeongyo Bridge, Cheonjiyeon Waterfall, Jeongbang Waterfall, Daepo Jusangjeolli Clift & Yongmeori Coast 


Selasa - 01.11.2016


Hari ke empat pukul 5.30 pagi kitorang keluar mulakan perjalanan hari ini. Destinasi pertama hiking di Mount Hallasan. Terlupa nak ambil nombor GPS. Cadang naik ikut trail Yeongsil. Nombor GPS yang ada trail Eorimok. Tengok peta laluan ke Yeongsil akan tempoh Eorimok dulu. Jadi aku guna nombor GPS Eorimok 7139950. Bila sampai simpang masuk ke Eorimok aku kena teruskan perjalanan sampai nampak signboard ke Yeongsil. Selesai masalah. 


Sebenarnya hiking Gunung Hallasan adalah highlight trip aku di Jeju Island. Sangat dinantikan. Tambahan sepanjang aku berada di Jeju masih tak nampak lagi daun-daun autumn di sini. Semuanya masih hijau. Daripada trip autumn in my heart terpaksa ditukar kepada trip memburu autumn. Tak sangka tahun ni autumn lambat di Korea.



Perjalanan dari hotel ke Mount Hallasan tak sampai satu jam pun. Lebih kurang dalam 45 minit. Kitorang keluar awal pagi sebab nak mula mendaki seawal yang boleh. Mendaki gunung ni biasanya mengambil masa yang lama. Tambahan lagi dengan faktor umur yang semakin mencecah peringkat matang. Jadi kena keluar awal untuk selesaikan cepat. Kemudian boleh sambung ke tempat lain pula. Banyak lagi tempat menarik di Jeju yang masih belum pergi. Kalau boleh nak pergi semua tempat dalam tempoh 5 hari. Tak nak ada rasa kempunan bila balik nanti.



Sepanjang perjalanan di Mount Hallasan ke Yeongsil Trial ada banyak signbord awas rusa melintas. Tak sangka masa drive dapat juga nampak rusa tengah melintas. Excited juga dibuatnya. Almaklumlah, di Malaysia aku nampak rusa di zoo saje.

Dari jalan besar masuk ke Yeongsil Entrance lebih kurang 5 kilometer. Kena bayar entrance fee KRW 1,000. Masa aku bayar entrance fee pada penjaga pondok tiket dia terkejut gile tengok aku pakai baju selapis. Dia tanya pakai ni je ke? Kat atas tu sejuk teramat sangat katanya. Aku bagitau pada dia ada baju dalam kereta. Berulang kali dia beritahu yang cuaca di atas sangat sejuk.


Lepas bayar entrance fee aku parking kereta di kawasan entrance tadi. Pergi toilet nak membuang dulu. Keluar dari kereta saje, mak ai sejuk gile babas. Air dalam toilet, tak usah cakaplah. Cuci rasa guna air batu. Sejuk yang amat. Terus rasa kebas. 

Selesai melepaskan segala hajat, drive kereta masuk ke dalam. Park kereta di 2nd parking. Parking ni lebih dekat dengan trial. Masa kitorang sampai masih banyak parking kosong. Kitorang antara yang terawal sampai. Lepas park kereta, siap-siap pakai winter coat dan sarung tangan kemudian keluar dari kereta.


Lepas keluar kereta, wife aku patah balik masuk semula dalam kereta. Dia kata sejuk gile. Tak tahan. Memang cuaca di luar waktu ni tersangat sejuk. Angin pun terlalu kuat. Melayang badan dibuatnya. Nampak awan bergerak terlalu laju macam tengok video time lapse. Cantik. Terpegun tengok sampai aku terlupa nak record video. Ruginya. Pertama kali aku tengok awan sebegitu laju. 

Wife aku mula teragak-agak sama ada nak teruskan atau tidak. Sebab terlampau sejuk di luar sana. Takut tak tahan nanti di atas. Kalau bawah dah sejuk atas bertambah-tambah lagi sejuk. Kitorang tak sangka yang suhu terlampau sejuk macam ni. Ingatkan sejuk biasa saje. Ni rasa macam winter. Rasa sejuk yang mencecah negative. Aku cuma pakai long john dengan winter coat yang biasa tanpa pakai sweater. Wife aku pulak cuma pakai sweater dengan winter coat tanpa pakai long john. Tak standby mafla pula tu.


Kitorang bawa semua pakaian sejuk dari Malaysia. Dah jangka suhu di Mount Hallasan mesti sejuk gile. Tapi dalam beberapa hari di Jeju rasa sejuk yang tak melampau sangat. Jadi kitorang jangka paling sejuk pun takde sampai tahap melampau. Sekali mak ai, tak boleh nak kata. Dahlah baju tinggal kat hotel.   

Kitorang nekad keluar mulakan pendakian dalam kesejukan. Bila masuk saje trial dah boleh nampak daun-daun autumn berwarna kuning. Cantik sangat. Dalam sejuk membeku tu sempat lagi menikmati keindahan pokok-pokok di Mount Hallasan sepanjang trial. 




Kitorang pun jalan terus masuk ke dalam ikut trial yang disediakan. Teruskan jalan dalam kesejukan. Dalam 15 minit lepas tu, wife aku kata dia rasa macam tak boleh nak teruskan sebab terlampau sejuk. Kaki dan tangan dia dah mula rasa mencucuk-cucuk sejuk macam nak frost. Tapi dalam pada tak tahan kesejukan masih tetap teruskan perjalanan. Sayang nak patah balik. Setelah fikir panjang dan semasak-masaknya, wife aku nekad nak patah balik. Dia takut di atas tu nanti lagi sejuk. Sekarang pun dah tak tertahan.



Wife aku patah balik ke kereta manakala aku masih teruskan perjalanan. Aku jalan terus mengikut trail sambil ambil gambar. Tak lama aku jalan lebih kurang 15 minit lepas tu aku patah balik. Kesian pada wife aku nanti tunggu lama sangat. Jadi aku pun patah balik semula tidak meneruskan pendakian hingga ke puncak.




Masuk kereta wife aku kata sayang kita tak dapat teruskan sampai ke puncak. Rasanya dengan cuaca yang macam ni dengan baju kita yang tak cukup untuk cover sejuk sekarang ni memang patut kita stop. Takut apa-apa hal jadi di atas tu nanti lagi susah. Disebabkan takut menyesal dan kempunan bila balik nanti, jadi kita kena tukar plan. Kita cuba cover semua tempat hari ni dan esok dalam 1 hari. Esok awal pagi kita datang balik cuba naik balik Mount Hallasan dengan baju yang sesuai.

Jadi kitorang sebulat suara setuju tukar pada plan B. Pergi ke tempat lain pula. Setelah berbincang tadi dan tengok peta kitorang decided pergi ke Oedolgae Rock. No. GPS. 7603031. On the way keluar dari Mount Hallasan sempat juga berhenti di tepi jalan ambil gambar. Cantik gile pemandangan sepanjang jalan. Jangan lupa on double signal untuk keselamatan semua orang. 




Selepas bergambar kitorang teruskan semula perjalanan. Cuaca sudah semakin cerah dan cantik. Matahari pun dah bersinar indah. Masa on the way ke Oedolgae Rock tiba-tiba nampak signboard Georinsaseum Observatory. Berhenti sekejap tengok ada apa yang menarik di sini.


Rupanya boleh nampak Bandar Seogwipo dari atas. Cantik juga. Ditambah dengan cahaya matahari yang baru nak naik. Ada sebuah kedai kecil di sini. Mungkin kedai makan atau kedai runcit. Masih tutup lagi masa kitorang sampai. Selesai ambil gambar sikit terus gerak semula ke destinasi yang dituju. 




Itulah bestnya kalau jalan sendiri. Drive kereta sendiri. Suka hati nak berhenti kat mana yang kita nak. Nampak tu cantik berhenti. Nak beli tu boleh berhenti. Janji jangan berhenti sembarangan hingga menjejaskan keselamatan kita dan penguna jalan raya lain.

Tak sampai 30 minit kitorang sampai di Oedolgae Rock. Parking kereta dekat dengan entrance. Kena bayar parking KRW 1,000. Masuk free, tiada bayaran tiket dikenakan. Tak sampai 5 minit jalan kaki masuk ke dalam sudah boleh nampak Oedolgae Rock. Dekat saje.


Oedolgae Rock terletak tidak jauh dari Pantai Sammaebong, Seogwipo. Oedolgae Rock adalah batu yang menakjubkan dengan ketinggian 20 meter dan 10 meter lilit. Turut dikenali sebagai Janggunseok Rock. Batu ini dikelilingi dengan pulau-pulau indah seperti Pulau Bum, Pulau Sae dan Seonnyu Rock.



Ruang nak ambil gambar berlatarbelakang Oedolgae Rock ni agak kecil. Kena tunggu turn untuk ambil gambar sebab orang terlalu ramai. Yang tak bestnya bila turn sendiri sampai nak berposing tu teragak-agak malu. Sebab orang asyik perhatikan. Masing-masing tunggu giliran sambil menghadap orang yang tengah berposing. So tak best kan.



Lepas bergambar di angle ni, kitorang gerak jalan nak tengok apa yang ada lagi di sekitar kawasan ini. Jalan ikut laluan yang disediakan. Ada pagar kayu di sepanjang laluan supaya pengunjung tidak melebihi kawasan yang berbahaya. Tebing agak berbatu dan angin di sini sangat kuat. Dikhuatiri kalau dekat dengan tebing takut badan tak seimbang masa kena tiup angin kuat boleh menyebabkan jatuh. Sini tak main angin sepoi-sepoi bahasa, anginnya ganas. Bila angin tu tiup boleh rasa nak melayang badan.




Oedolgae juga merupakan lokasi penggambaran drama korea Daejangguem atau lebih dikenali dengan tajuk Jewel In The Palace yang popular pada tahun 2003. Drama ni wife aku kata dia tengok. Dia kata memang best drama ni. Aku macam biasa mana layan drama korea. Aku berjiwa mat rock.


Sambung merayau tengok apa lagi yang ada di kawasan ini. Pada aku, tempat ni sememangnya cantik. Dengan laut biru. Ditambah lagi dengan cuaca yang cerah dan langit biru. SubhanAllah. Cantiknya. Bersyukur rasanya dapat melihat dengan mata sendiri keindahan ciptaan Allah.


Syukur hari ini diberi cuaca yang cantik. Terfikir juga kalau hari ni aku tukar pergi ke Seongsan Ilchulbong mesti dapat tengok sunrise. Tapi betul wife aku cakap, kalau semalam datang sini kita tak dapat tengok view cantik seperti hari ini yang kita tengok sekarang sebab semalam cuaca mendung sepanjang hari.


Nak beli sila letak duit dalam bakul

Setelah habis satu kawasan ni di explore, kitorang gerak keluar untuk pergi ke tempat seterusnya Cheonjiyeon Waterfall No. GPS. 7331528. On the way ke Cheonjiyeon Waterfall wife aku nampak signboard Saeyeongyo Bridge. Sebelum sampai ke waterfall tu akan tempoh bridge tu dulu. Jadi dia ajak pergi singgah kejap. Wife aku ada mention pasal bridge ni tapi aku tak masukkan dalam itinerary. Tak cukup masa.

Singgah di Saeyeongyo Bridge nak tengok-tengok kejap. Ambil gambar. Kebetulan cuaca panas terik dengan langit biru buat tempat ni nampak lebih cantik.


Saeyeongyo Bridge terletak di Seogwipo Port. Merupakan jambatan pejalan kaki yang diilhamkan oleh 'Tewu'. Jambatan kabel pertama dibuat di Korea dan mempunyai menara utama diilhamkan daripada angin dan layar. 



Jambatan ini menghubungkan Seogwipo Port dan Bird Island. 




Turut terdapat di sini, Seogwipo Pleasure Boat yang menawarkan pemandangan di sepanjang pantai dan pulau-pulau di sekitar Seogwipo Port. Selain itu terdapat juga Seogwipo Submarine yang merupakan pertama di Asia dan ketiga di dunia. Seogwipo Submarine menawarkan lawatan tour dasar laut dengan kapal selam dengan kedalaman 40 meter. Dapat menyaksikan keindahan dasar laut seperti pelbagai terumbu karang, ikan dan kehidupan dasar laut lain. 




Harganya sudah pasti agak mahal. Wife aku teringin nak try submarine tu tapi memandangkan masa tak cukup terpaksa dipendam dulu. Nanti ada rezeki lagi kita cuba ye.




Selepas melawat sekitar Saeyeongyo Bridge kitorang teruskan perjalanan ke Cheonjiyeon Waterfall semula. Lebih kurang 5 minit sampai ke waterfall tu. Kena bayar entrance fee sebanyak KRW 2,000 seorang. 


Masuk dalam kena jalan kaki lebih kurang 1 kilometer. Ambil masa 10 minit juga untuk sampai ke waterfall. 




Air terjun ni tinggi 22 meter, lebar 12 meter manakala dalam 20 meter. Tak dibenarkan mandi di sini. Hanya untuk dilihat sahaja. Memang nampak cantik air terjun ni. Dengan warna airnya yang biru. Kalau malam akan dipasang spot light di air terjun tu.



Kitorang sekejap saje di sini. Tengok dan ambil gambar lepas tu gerak keluar semula. Seterusnya perjalanan diteruskan ke Jeongbang Waterfall No. GPS. 7331530. Dalam 10 ke 15 minit sampai ke Jeongbang Waterfall dari Cheonjiyeon Waterfall tadi. Dekat sangat. Kena bayar entrance fee KRW 2,000 seorang. 


Masuk ke entrance kemudian kena turun anak tangga. Dari atas dah boleh nampak Jeongbang Waterfall dari jauh. Air terjun ni aku tak masukkan dalam itinerary juga. Takut tak sempat. Tapi wife aku ajak juga pergi. Alang-alang dah dekat sangat singgahlah kejap.




Di hadapannya lautan yang luas terbentang. Tiada pasir di pantai tapi dipenuhi dengan batu-batu. Air terjun ini dikatakan satu-satunya air terjun di Asia yang jatuh terus ke laut. Pada aku memang lain daripada yang lain.




Pemandangan memang cantik di sini. Tapi ramainya orang dekat air terjun tu. Nak bergambar tanpa orang pun tak dapat. Ambillah gambar sikit-sikit buat kenangan. Lepas bergambar sempat juga lepak sekejap di batu-batu di pantai. 




Berdekatan dengan air terjun tu ada Ahjumma jual sashimi. 



Kitorang memang berhajat sangat dari awal nak rasa abalone. Dah 4 hari di Jeju masih belum dapat rasa lagi. Alang-alang ada sashimi jadi kitorang pun try makan kat sini. Order 1 abalone harga KRW 10,000. Boleh tahan mahal harganya. Rasa abalone tu ok juga. Kenyal-kenyal. Kalau banyak duit boleh order lebih. Jadilah buat syarat pernah merasa walaupun sekali seumur hidup.


Bukan kitorang punya

Yang ni baru kitorang punya. Tak cukup duit.

Selesai makan, terus gerak keluar. Singgah beli air jus limau harga KRW 3,000. Tengok limau macam best, aku beli limau yang kecil tu harga KRW 3,000. Sebab beli banyak, Ahjussi kedai tu bagi limau besar 2 biji free. Manis tau limaunya. Selepas membeli sambung semula perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Daepo Jusangjeolli Clift No. GPS. 7381532


Perjalanan agak jauh lebih kurang 1 jam. Sebenarnya takde jauh sangat. Tapi kena fahamlah di Jeju ni tak boleh bawa laju. Kalau di Malaysia distance 1 jam di Jeju ni aku boleh buat 30 minit je.

Masa on the way ke Jusangjeolli Clift ternampak ladang limau. Aku berhenti kejap ambil gambar. Jadilah buat kenangan. Cantik pula ladang limau ni. Rasa nak masuk je dalam. Tapi tak bolehlah sebab kebun orang. Lagi satu kena kejar masa. Banyak lagi tempat nak settle kan hari ni. Lagi-lagi yang ada operation hour. Leceh sikit. Lagi satu malam cepat sangat. Pukul 5.30 dah mula gelap. So agak limited.




No GPS tadi bawa kitorang ke The Seas Hotel and Resort. Pelik jadinya. Tak nampak bayang clift yang nak ditengok tu. Biar betul. Kereta pun tak banyak. Check balik no GPS kat semua sumber yang kitorang ada betul. Last aku keluar kereta kejap nak check sekeliling dulu.



Jalan punya jalan ada nampak signboard. Betul. Tapi kena jalan jauh sikit. So aku patah balik panggil wife aku. Masa on the way panggil wife aku terserempak dengan mat salleh ni pun nampak tercari-cari jugak macam aku. Dia tanya aku, betul ke sini. Aku bagitau dia betul tapi kena pergi sebelah sana.



Jadi dari tempat parking kereta kena jalan jauh juga untuk ke entrance. Ada tempat parking lebih dekat dengan entrance masa kitorang jalan kaki menuju ke clift. Tapi tak tau no. GPS. Asalkan sampai sudah.  


Masuk kena bayar entrance fee KRW 2,000 seorang. 


Rupanya clift yang nak ditengok tu ada di bawah tebing di Pantai Jisatgae. Jusangjeolli Clift terbentuk sejak beratus tahun dahulu semasa gunung berapi hallasan masih aktif. 



Dikatakan cecair lava yang mengalir daripada gunung yang sedang meletus telah meluncur ke laut. Sebaik sahaja lava ini menyentuh pemukaan air yang sejuk, ia menjadi keras dan membeku. Menariknya batu-batu ini berbentuk heksagon yang sempurna di setiap sudut seperti di bentuk dengan tangan. 




SubhanAllah. Allahuakar. Sangat menakjubkan ciptaan Allah. Tak sangka ada batu semulajadi yang berbentuk begini. Kuasa Allah tiada yang mustahil. Terkesima dibuatnya. Syukur Ya Allah, Kau berikan aku peluang untuk melihat kebesaranMu.



Ada disediakan deck. Tapi yang tak bestnya ramai gile manusia kat sini. Nak bergambar susah gile. Bertabahlah. Kitorang kejap saje kat deck tu sebab rimas terlampau ramai orang. Blah dari situ.



Menikmati pemandangan di bahagian lain yang kurang sikit orang. Lebih tenang. Pemandangan sekitar sini sangat cantik. Dengan lautan, pokok-pokok dan rumput hijau. Susah nak diungkap dengan kata-kata. Hanya mata yang melihat saja mampu menilai keindahannya.



Ikut hati nak menikmati lebih lama tapi terpaksa lepaskan sebab kena gerak ke tempat lain pulak. Hari dah semakin petang. Seterusnya kitorang ke Yongmeori Coast No. GPS. 7942940. Perjalanan lebih kurang 20 minit. 

Dekat nak sampai Yongmeori Coast aku ternampak ramai orang kat satu tempat ni. So aku berhenti kejap, parking tepi jalan suruh wife aku turun tengok apa yang ada. 



Aku tunggu dalam kereta. Pesan kat dia jangan lama-lama. Tengok-tengok kejap dan ambil gambar je. Nak kena kejar ke Yongmeori Coast. Takut lambat sampai nanti tutup pulak tak dapat masuk. Wife aku pergi la tengok. Dia pergi naik sampai atas sekali.




Dalam 10 minit macam tu dia sampai kat kereta. Dia bagitau ada nampak signboard Yongmeori Coast masuk situ. Dia pelik. GPS masih belum bagitau dah sampai. 


Check balik GPS jarak memang dah tak jauh sangat. Rupanya tempat aku berhenti suruh wife aku turun tu sebenarnya dah sampai. Situlah Yongmeori Coast. Gelak berdekah-dekah kitorang dalam kereta. 



Lepas parking kereta terus turun masuk ke dalam. Kena jalan kaki lebih kurang 10 minit juga untuk sampai ke pondok beli tiket masuk. 


Di sini juga Mount Sanbangsan terletak. Berdepan dengan Yongmeori Coast. Dekat je. Nampaklah patung budha besar berhampiran dengan Mount Sanbangsan. Mount Sanbangsan ni cantik waktu musim bunga. Penuh dengan bunga canola. Gunung Sanbangsan terbentuk akibat letusan gunung berapi aktif pada beratus tahun dahulu. Sanbang bermaksud gua. Jadi di gunung ini terdapat gua yang terletak di ketinggian 150m daripada aras laut dan menyajikan pemandangan yang indah. Cas parking dikenakan disini sebanyak KRW 1,000.


Yongmeori Coast ni ada 2 entrance. Satu belah kanan dan satu belah kiri. Di bahagian kanan entrance terdapat Memorial Hamel Castaway yang merupakan memorial peringatan Hamel yang hanyut di tempat ini pada 1653. 



Di sebelahnya pula adalah pantai yang berpasir gelap tetapi lembut. Di sini kita boleh tengok haenyeo yang menjual hasil tangkapan mereka seperti gamat, sotong dan hasil laut di sepanjang persisir pantai ini.


Kitorang masuk ikut belah kiri. Harga tiket masuk KRW 2,000 seorang. 


Turun je tangga terus jumpa Ahjumma jual sashimi. Angin sangat kuat waktu ni. Habis berterbangan segala pinggan mangkuk Ahjumma. Berlari berkejaran Ahjumma-ahjumma ni mengejar pinggan mangkuk diorang. Gigih mereka. Cabaran ketika mencari rezeki. Tiada yang mudah dalam hidup ni kalau kita menginginkan sesuatu. 



Yongmeori Coast merupakan tebing tinggi di sepanjang laluan tepi laut. Tebing dengan jaluran semulajadi di permukaannya terhasil akibat daripada hakisan angin sejak beribu tahun hingga membentuk tebing curam dan berjalur menjadikan kawasan ini lain daripada yang lain dan pada aku sangat menakjubkan. 




Kawasan ini ditutup kepada pengunjung sewaktu cuaca buruk dan ketika air pasang. Jadi kena periksa keadaan cuaca sebelum datang. Kalau tak melepas tak dapat masuk.



Pada aku Yongmeori Coast ni tempat wajib datang. Telah diwartakan sebagai Tapak Warisan UNESCO. Bentuk-bentuk batu tebing tu sangat menakjubkan. Sekali lagi aku terpaku dan terkesima bila melihat sendiri formasi batu-batu ini. Sukar untuk diungkap dengan kata-kata.



Masa kitorang tengah leka menikmati batu-batu ni, rupanya masa tu dah lebih pukul 5 petang. Bila dah sampai waktu tutup, pekerja akan buat pemeriksaan sama ada semua pengunjung sudah keluar atau tidak. Kebetulan kitorang ada lagi. Jadi kami diminta keluar dari sini. Tapi mamat yang minta kitorang keluar tu tetap bagi kitorang masa ambil gambar dan tengok-tengok lagi batu ni sambil jalan ke arah pintu keluar bahagian lain. Jalan dengan santai. Tak perlu nak gopoh. Respect pada mamat korea ni.


Masa jalan keluar tu angin bertambah-tambah kuat bertiup. Sampaikan cap aku berterbangan. Bila aku kejar dah dekat, cap tu terbang lagi, kejar lagi terbang lagi sampailah akhirnya cap tu terbang ke laut. Setakat itu saja rezeki aku bersama cap tu. Selamat tinggal cap! Selamat berlayar.


Jauh juga pusingan laluan tebing ni. Patutlah ada yang ambil masa sampai dua jam di sini. Memang panjang. Bila sampai pintu keluar, muzium pun dah tutup. So tak dapat masuk. Kedai-kedai pun dah tutup. Tak dapat aku nak beli coklat dengan makanan. Melepas. Tapi selamat duit aku.


Semua pun dah tutup, jadi marilah kita pulang. Perjalanan balik ke hotel agak jauh juga. Lebih kurang sejam lebih. Lepas itu kitorang singgah di bandar Jeju untuk cari heat pad di convenient store dan juga beli nasi, tuna onigiri dan salmon onigiri. Buat makan malam dan bekal esok. 


Sampai di hotel bagi tau front office esok kitorang akan check out awal pagi buta. Jadi settlekan payment malam tu juga. Sampai bilik makan apa saja yang ada buat isi perut. Lepas tu kemaskan beg semua. Malam ni merupakan malam terakhir di Jeju. Esok dah balik semula ke Seoul. Rasa banyak lagi tempat tak pergi. Sambung hari kelima.

Perbelanjaan hari keempat :
  1. Entrance Yeongsil - KRW 1,000
  2. Parking Oedolgae Rock - KRW 1,000
  3. Entrance Cheonjiyeon - KRW 2,000 x 2 = KRW 4,000
  4. Entrance Jeongbang - KRW 2,000 x 2 = KRW 4,000
  5. Abalone - KR 10,000
  6. Jus limau - KRW 3,000
  7. Buah limau - KRW 3,000
  8. Entrance Jusongjeolli - KRW 2,000 x 2 = KRW 4,000
  9. Entrance Yongmeori Coast - KRW 2,000 x 2 = KRW 4,000
  10. Parking Yongmeori Coast- KRW 1,000
  11. Isi petrol - KRW 40,000
  12. Heat pad & makanan - KRW 6,150
Total perbelanjaan - KRW 81,150


No comments:

Post a Comment